16 Februari 2022, 14:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – ┬áProgram Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) bernilai RM40 bilion disediakan bagi mengembalikan keupayaan dan memastikan kelangsungan industri perniagaan terutamanya semasa pasca pandemik, menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Tambah beliau, kerajaan juga sedar betapa pentingnya menyokong perniagaan mikro terutamanya bagi membantu mereka pulih dan bangun semula ketika pasca pandemik.

Pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.8 bilion akan disediakan melalui pelbagai agensi seperti BSN, TEKUN, Agrobank, Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia (melalui bank-bank komersial) menerusi SemarakNiaga.

Langkah-langkah itu termasuklah pembiayaan Ekuiti/Alternatif (RM2.2 bilion), Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil dan Sederhana (RM14.2 bilion) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) (RM22 bilion termasuk peruntukan khas Bumiputera sebanyak RM2 bilion).

Antara ciri yang dirunding khas oleh Kementerian Kewangan semasa menggubal SemarakNiaga ialah moratorium kepada peminjam sekurang-kurangnya enam bulan (sehingga 12 bulan di bawah TEKUN).

Selain itu, beliau berkata koperasi turut mendapat manfaat daripada SemarakNiaga melalui pembiayaan koperasi seperti Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) (RM10 juta), Program pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi (RM30 juta) dan penyediaan tapak perniagaan trak makanan kawasan bandar (RM1.75 juta).

“Bagi sektor pelancongan, kerajaan sedar apabila sempadan dibuka semula, kita memerlukan kapasiti yang sudah siap dibangunkan untuk memaksimumkan potensi hasil dalam sektor ini. Jadi, untuk membina semula sektor pelancongan, kerajaan telah memperuntukkan RM1.6 bilion dalam Bajet 2022,” kata Tengku Zafrul.

Antara yang ditawarkan ialah program subsidi upah kepada pemain industri yang akan memanfaatkan 330,000 pekerja melibatkan peruntukan RM600 juta, pembiayaan RM600 juta di bawah PENJANA Tourism Financing dan bantuan khas kepada lebih 20,000 pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya selama tiga bulan dengan peruntukan RM85 juta.

Selain itu, pelepasan khas cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pelancongan domestik sehingga RM1,000 dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022.

Tengku Zafrul menegaskan Kementerian Kewangan akan sentiasa responsif terhadap keperluan rakyat dan perniagaan dalam mengambil langkah-langkah untuk mempercepatkan usaha pemulihan. Inisiatif lain menerusi SemarakNiaga boleh dilayari di https://budget.mof.gov.my/manfaat/.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!