Oleh Ritah Yahaya
15 Februari 2022, 10:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Port Dickson  – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Federal Agricultural Marketing Authority atau FAMA) meneruskan kursus CDERT FAMA yang bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan terhadap bencana, khususnya dalam kalangan kakitangan FAMA.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata selaras dengan Kerangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana Tahun 2015–2030 (Sendai Framework for Disaster Risk Reduction) yang disepakati oleh 187 buah negara, menekankan bahawa pengurangan risiko bencana merupakan tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama dengan semua pihak berkepentingan, membudayakan latihan secara bersepadu, terencana dan berkesinambungan.

Dr. Ronald berkata usaha MAFI melalui FAMA dalam melaksanakan CDERT adalah bertepatan dan seiring dengan semangat Keluarga Malaysia yang dapat dilihat bahawa tugas serta tanggungjawab dalam menghadapi bencana tidak hanya terletak kepada pasukan penguatkuasa semata-mata.

FAMA juga telah diperuntukan dana sebanyak RM30 juta di bawah peruntukanProgram Rangsangan Ekonomi (PRE) bagi melengkapkan kemudahan logistik dan pusat penyimpanan FAMA di seluruh negara. Kelengkapan seperti kemudahan ruang penyimpanan bagi hasil pertanian segar dan proses, kemudahan bilik sejuk dan kenderaan FAMA berjaya memantapkan usaha kerajaan menjamin bekalan makanan negara.

FAMA turut dilantik dan diberi tanggunggjawab sebagai penyedia kit makanan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk disalurkan ke seluruh negaraapabila berlaku sesuatu bencana.

“Atas dasar ini, kakitangan FAMA perlu dilatih dan diberi kemahiran untuk membantu jabatan dan agensi berkuasa awam berkaitan dalam menyalurkan bantuan dan memberikan pertolongan kecemasan kepada kumpulan sasar yang terlibat. Latihan ini juga merupakan satu elemen yang dapat meningkatkan mutu penyampaian peranan FAMA sebagai agensi pelaksana dalam pemantapan jaminan bekalan makanan
semasa krisis dan bencana,” jelas Dr Ronald.

CDERT FAMA dilaksanakan secara bersiri dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bagi siri pertama telah bermula pada 29 November 2021 dengan seramai 44 orang kakitangan FAMA menjalankan latihan asas pertahanan awam selama 56 jam di Institut Latihan FAMA, Port Dickson. Diikuti siri ke-2 dengan penyertaan sebanyak 34 orang dan siri ketiga diadakan dari 13 Februari hingga 18 Februari 2022 dengan penglibatan sebanyak 163 orang. Secara keseluruhannya, sebanyak 241 orang kakitangan FAMA menganggotai CDERT FAMA ini.

Melangkah kehadapan, sebanyak 1000 orang kakitangan akan menganggotai CDERT FAMA pada awal tahun 2023. FAMA sentiasa bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada APM bagi sebarang misi bencana dengan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan FAMA serta mengalu-alukan panggilan dari APM sekiranya terdapat kakitangan FAMA yang layak untuk menyertai misi bencana bagi memanfaatkan ilmu dan latihan yang telah diperoleh.

Simbolik penyampaian watikah pelantikan dan pelancaran CDERT FAMA disempurnakan oleh Datuk Dr. Haji Abd Latiff  Hj. Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Terdahulu, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli, Ketua Pengarah FAMA dianugerahkan pangkat Pegawai Kehormat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang membawa  gelaran  “Penolong Pesuruhjaya Kehormat (PA)” pada 24 Mac tahun 2021. Turut hadir, Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Dato’ Haji Mohd Fasiah bin Haji Mohd Fakeh, Pengerusi FAMA dan Aminurrahim  Mohamed, Ketua Pesuruhjaya APM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.