Oleh Ritah Yahaya
15 Februari 2022, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dubai – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia atau Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi atau Ministry of Entrepreneur Development and Cooperatives (MEDAC) serta SME Bank terus membantu PKS Malaysia bagi pemulihan perniagaan pascapandemik yang melibatkan penyertaan daripada 11 buah syarikat dari pelbagai sektor dalam Misi Pencepatan Eksport atau Export Acceleration Mission (EAM) ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Misi Pencepatan Eksport diadakan bersempena dengan Ekspo Dunia 2020 Dubai. Misi selama seminggu itu bertujuan memberikan peluang kepada PKS mengembangkan kehadiran jenama mereka dalam pasaran dan mewujudkan perkongsian perniagaan dengan UAE dan negara jirannya; Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Mohd Mustafa Abdul Aziz, kerjasama strategik antara MATRADE, MEDAC dan SME Bank menandakan kepentingan sinergi dalam ekosistem perdagangan dalam mengukuhkan daya saing perdagangan Malaysia seperti yang disyorkan oleh Pelan Tindakan Perdagangan Nasional atau National Trade Blueprint.

Pelan Tindakan Perdagangan Nasional itu menggariskan strategi dan inisiatif pembangunan lima tahun (2021–2025) untuk meningkatkan daya saing perdagangan Malaysia, khususnya dalam eksport barangan. Pelan Tindakan Perdagangan Nasional dilancarkan pada bulan Oktober 2021 oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Rangka Tindakan itu bertujuan meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang dinamik dan terkemuka melalui pembangunan dan promosi eksport yang mampan.

Pada tahun ini, MATRADE terus menjalinkan dan memanfaatkan kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian, agensi, kedutaan asing, dan persatuan industri perdagangan dalam melaksanakan program berkaitan eksport untuk mewujudkan lebih banyak peluang kepada komuniti perniagaan.

“MATRADE menggariskan sejumlah 286 program promosi eksport dan pembangunan pengeksport pada tahun ini bagi syarikat Malaysia agar berani menghadapi permintaan pasaran serta mengembangkan jejak global mereka. Oleh itu, adalah penting bagi semua pihak bekerjasama untuk memastikan program tersebut menghasilkan hasil berimpak tinggi dan, akhirnya mengangkat eksport ke trajektori pertumbuhan,” kata Mohd Mustafa.

MATRADE kekal komited memberikan sokongan dan bantuan kepada syarikat Malaysia di barisan hadapan pasaran global. Dengan rangkaian 46 buah pejabat di luar negara dan lima buah pejabat wilayah di Malaysia, MATRADE bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu pertumbuhan eksport negara.

Syarikat-syarikat Malaysia digalakkan untuk berhubung dengan MATRADE melalui pejabat MATRADE, saluran media sosial atau layari www.matrade.gov.my untuk maklumat lanjut mengenai promosi eksport dan program pembangunan pengeksport, atau bantuan MATRADE lain seperti Pusat Maklumat Perniagaan, Pusat Pameran Eksport Malaysia dan khidmat nasihat lain.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.