Oleh Ritah Yahaya
14 Februari 2022, 11:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sik – Berikutan jumlah tunggakan kes pusaka dan permohonan semasa yang meningkat setiap tahun yang amat membimbangkan dan pada masa memahami isu harta pusaka sebagai satu isu dekat di hati rakyat, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mengambil langkah proaktif dengan melancarkan program Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka.

Program ini bertujuan memberi konsultasi dan penerangan mengenai kaedah pengurusan harta pusaka kepada pelanggan dan orang awam. KeTSA juga berharap agar kerjasama erat dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah dalam penyelesaian isu harta pusaka ini dapat mengurangkan tunggakan kes pembahagian pusaka yang dihadapi oleh waris di Negeri Kedah dengan kadar segera.

Pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021 telah dibentangkan dan diluluskan di Parlimen pada 22 Disember 2021. Pindaan tersebut, termasuklah meluaskan bidang kuasa Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dalam pengurusan pusaka kecil dengan peningkatan nilaian bidang kuasa daripada RM2 juta kepada RM5 juta selari dengan peningkatan nilaian hartanah semasa.

Sehubungan dengan itu, usaha ini dilihat dapat membantu rakyat tanpa perlu membawa kes pembahagian ke Mahkamah yang pastinya memerlukan kos khidmat guaman yang tinggi.

Sebelum pindaan dikuatkuasakan, terdapat keperluan bagi pihak kerajaan untuk menggunakan segala kapasiti yang ada, termasuklah usaha sama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri untuk menyegerakan penyelesaian tunggakan kes pusaka. Hingga bulan Disember 2021, didapati tunggakan kes pusaka di negeri-negeri keseluruhannya berjumlah 72 348.

Isu tunggakan kes pusaka yang tinggi, khususnya bagi negeri Kedah perlu diberi tumpuan terutama sejak dua tahun kebelakangan ini.  Hal ini berikutan proses perbicaraan yang tertangguh bagi satu tempoh agak panjang apabila dunia dilanda pandemik COVID-19.

Satu daripada program yang dirancang bagi penyelesaian isu tunggakan adalah dengan mendapatkan input pada peringkat lapangan melibatkan program turun padang bersama-sama rakyat. Malah, pertemuan bersama-sama ketua-ketua komuniti secara langsung dapat memberikan maklumat mengenai permasalahan yang dihadapi rakyat dalam urusan pentadbiran harta pusaka.

Usaha sama berterusan antara pihak Kementerian dengan Kerajaan Negeri Kedah secara khusus bagi menangani isu tunggakan kes harta pusaka akan dilaksanakan melalui penubuhan sebuah pasukan petugas yang melibatkan penugasan kepada pegawai Unit Petugas Khas JKPTG bersama-sama Pentadbir Tanah Negeri Kedah untuk membantu perbicaraan kes, di samping menyediakan kemudahan infrastruktur dan penyelarasan pemakaian sistem kelak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.