Oleh Ritah Yahaya
14 Februari 2022, 12:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam dua siri serbuan yang dilakukan ke atas sebuah premis beralamat di Jalan Klang Banting, Jenjarom Kuala Langat, Selangor yang disyaki dijadikan stor tempat penyimpanan minyak diesel haram dan aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi yang dibeli daripada stesen minyak pada 10 Februari 2022.

Serbuan juga dilakukan serentak terhadap sebuah stesen minyak yang beralamat di Jalan Klang Banting, 42600 Jenjarom, Kuala Langat, Selangor dalam lingkungan jarak lima  kilometer dari premis stor terbabit. Serbuan yang diketuai oleh Rosli Bin Ismail yang bermula pada pukul 2.50 petang dengan kekuatan seramai 20 orang anggota Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya serentak di kedua-dua buah lokasi tersebut adalah hasil risikan pihak KPDNHEP sejak sebulan lalu. Ketika serbuan, terdapat dua buah lori seberat lima tan dilitupi kanvas sedang mengisi minyak diesel bersubsidi menggunakan dua nozel di pam stesen minyak berkenaan ke dalam tangki lori yang telah diubah suai.

Hasil serbuan terhadap premis disyaki stor penyimpanannya pula mendapati aktiviti pemindahan minyak diesel sedang dilakukan daripada dua buah lori lima tan dilitupi kanvas yang lain yang disyaki daripada sindiket yang sama ke dalam lori jenis tangki untuk  penjualan atau penghantaran ke lokasi lain.

Kesemua barang kes terbabit telah disita termasuk lori terbabit, minyak diesel sebanyak 26 459 liter, alatan sambungan berupa saluran (hos), lima  unit pemampat (compressor), meter aliran (flow meter), dokumen dan resit untuk siasatan lanjut. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM215 680.30.

Pasukan serbuan juga menahan lima orang pemandu lori, lelaki warga tempatan dan seorang penjaga stor yang berumur dalam lingkungan 25 tahun hingga 50 tahun. Seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun juga yang mengaku sebagai pemilik stesen minyak berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut dari stesen minyak ke tempat penyimpanan hingga pada peringkat pembeli. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada

RM1 000 000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) bagi orang perseorangan atau  penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi

RM 3 000 000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta).

Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen berkaitan dengan barang kawalan oleh syarikat yang terlibat hingga siasatan selesai dijalankan. Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2011) (Akta 613), iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutamanya berkaitan minyak diesel ini.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau

RM5 000 000.00  (Ringgit Malaysia Lima Juta) yang mana yang lebih tinggi.

KPDNHEP ingin memberikan amaran keras kepada semua peniaga dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini. Tindakan tegas akan di ambil termasuk mendakwa mereka di mahkamah  berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Orang ramai disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi ini bagi memastikan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi ini dapat dibanteras hingga ke akar umbi yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada rakyat dan negara.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi ini boleh menyalurkan aduan kepada pihak KPDNHEP melalui saluran yang berikut:

i.              WhatsApp           :           019-279 4317

ii.            Portal Aduan  :            e-aduan.kpdnhep.gov.my

iii.           Call Centre     :           1-800-886-800

iv.           E-mel              :           [email protected]

v.            Ez ADU KPDNHEP

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.