Oleh Ritah Yahaya
14 Februari 2022, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dubai – Expo 2020 Dubai menyaksikan tiga Memorandum Persefahaman bernilai lebih RM100 juta ditandatangani antara tiga buah syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan tiga rakan niaga yang berpotensi dari Emiriyah Arab Bersatu atau United Arab Emirates (UAE). Tiga buah syarikat ini merupakan sebahagian daripada 17 perniagaan permulaan (startup) dan PKS Malaysia berprestasi tinggi yang menyertai delegasi Malaysia ke Expo 2020 Dubai – Minggu PKS Malaysia.

Syarikat-syarikat tersebut ialah. Propeasy Sdn. Bhd dan Mahaley Marketing; Fario Holdings Sdn Bhd dan Miko Koffie NV of Belgium, dan Govicle Sdn Bhd dan Six Day Company LLC. Minggu PKS Malaysia di ekspo ini diketuai oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi  (MEDAC) menerusi agensi pelaksana, iaitu SME Corp yang memfokuskan syarikat permulaan dan PKS dalam memacu pembangunan ekonomi negara melalui syarikat berteraskan inovasi.

Turut serta dalam delegasi ini ialah SME Bank Berhad dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas). Dato’ Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan penglibatan MEDAC di Expo 2020 Dubai adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Malaysia membangkitkan semula peranan perniagaan permulaan, dan PKS sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara melalui sokongan dan kerjasama dengan pelabur dan dua rakan perniagaan berpotensi.

Usaha ini akan meningkatkan ekosistem permulaan bagi memenuhi keperluan industri global. Dalam hubungan ini, 17 buah perniagaan permulaan dan PKS berprestasi tinggi dari Malaysia terpilih untuk diperkenalkan kepada rakan perniagaan global yang berpotensi di Pavilion Malaysia Expo 2020 Dubai, UAE.

Fokus industri yang diketengahkan melalui perniagaan permulaan dan PKS pada kali ini ialah Teknologi Kecerdasan Buatan dan Inovasi; Perubatan dan Kesihatan; dan Perkhidmatan berkaitan Dron. Selain itu, syarikat yang menyertai ekspo ini akan terlibat secara langsung dalam aktiviti yang dianjurkan di Pavilion Malaysia seperti sesi pemadanan perniagaan, sesi pengenalan produk dan perkhidmatan serta pitching perniagaan kepada pelabur berpotensi. Syarikat-syarikat tersebut dibimbing oleh SME Corp. Malaysia serta beberapa agensi MEDAC. Syarikat-syarikat ini terpilih kerana bersedia untuk mencapai standard antarabangsa bagi perkhidmatan atau barangan yang dipasarkan.

Sementara itu, dalam usaha merancakkan sinergi penglibatan MEDAC bersempena dengan Expo 2020 Dubai, dua program tambahan turut dilaksanakan serentak, iaitu Export Acceleration Mission dan Business Export Program 2.0 oleh SME Bank yang melibatkan 11 buah syarikat PKS Bumiputera dan Franchise Engagement Programme oleh Pernas.

Majlis pelancaran Minggu PKS Malaysia ini turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Mohd Tarid Sufian (Duta Malaysia ke UAE), Mohd Hasril Abdul Hamid (Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai), Rizal Nainy (Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia),  Mohd Hilaluddin Abd Shukor (Ketua Pegawai Eksekutif Pernas), Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim (Ketua Strategi Korporat SME Bank), pegawai-pegawai kementerian dan agensi, serta ahli perniagaan dari Malaysia dan luar negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.