Oleh Ritah Yahaya
14 Februari 2022, 16:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mexico City  –  Amerika Syarikat (AS) menggantung import avokado dari Mexico pada malam Super Bowl LVI selepas pemeriksa keselamatan kilang AS menerima ancaman, lapor The Associated Press.

Pihak berkuasa kesihatan AS membuat keputusan itu selepas seorang pegawai mereka yang menjalankan pemeriksaan di Uruapan, Michoacan menerima mesej ugutan melalui telefon bimbit rasminya menurut Jabatan Pertanian Mexico dalam satu kenyataan.

Import avokado digantung “hingga notis lanjut”. Larangan itu dibuat semasa peluang jualan puncak dalam kalangan penanam avokado Mexico. Penggantungan ini akan memberikan sedikit kesan kepada jualan Super Bowl kerana avokado tersebut telah dihantar.

Industri eksport avokado Mexico menjadi mangsa pertempuran perang antara kartel dadah dengan peras ugut penanam avokado di negeri Michoacan, satu-satunya negeri Mexico yang diberi kuasa sepenuhnya untuk mengeksport avokado ke AS. Menurut kebanyakan penanam avokado di Michoacan,  kartel dadah mengancam mereka atau ahli keluarga mereka dengan penculikan atau kematian melainkan mereka membayar wang perlindungan yang boleh menelan kos hingga beribu-ribu dolar setiap ekar.

Pasukan pemeriksa daripada Department of Agriculture, Animal and Plant Health Inspection Services sebelum ini diancam oleh kartel tersebut pada bulan Ogos 2019, menyebabkan agensi tersebut mengeluarkan amaran mengenai tindakan yang mungkin akan dikenakan kepada pihak terbabit akibat menyerang atau mengancam pasukan pemeriksa AS.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.