Oleh Ritah Yahaya
11 Februari 2022, 10:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kepala Batas – Sebanyak 37 buah kampung di seluruh negara tersenarai dalam Program Desa Lestari di bawah inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB, yang mula diperkenalkan pada tahun 2013. Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Program Desa Lestari diwujudkan untuk melonjakkan pengupayaan komuniti dalam merancang serta menjayakan pelaksanaan projek pembangunan di kampung.

“Desa Lestari adalah untuk memperkasa aktiviti ekonomi dan keusahawanan penduduk kampung melalui koperasi dengan membuka peluang pekerjaan baharu serta peluang peningkatan pendapatan kepada penduduk. Ia secara tidak langsung akan memajukan kampung yang menyertai program ini selain mengubah cara ke arah penggunaan teknologi digital dan kaedah yang lebih moden dan terkini dalam aktiviti ekonomi.”

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media bersempena dengan Majlis Penyerahan Jentera Tani Program Desa Lestari kepada Koperasi Desa Cemerlang Air Melintas Besar, Kepala Batas Berhad di sini hari ini.

Jelas Mahdzir, kampung yang terpilih di bawah Program Desa Lestari akan menerima geran peruntukan bantuan pelaksanaan projek-projek ekonomi komuniti yang disalur melalui platform koperasi komuniti. Geran bantuan projek meliputi enam sektor utama ekonomi, iaitu pertanian, penternakan, pelancongan, perkhidmatan, pembuatan, dan peruncitan. “Di Negeri Pulau Pinang misalnya, sebanyak sembilan buah kampung menerima geran bantuan di bawah program berkenaan dengan nilai setakat tahun 2020 adalah sebanyak RM7.03 juta.

Kampung Air Melintas Besar di Kepala Batas ini dipilih sebagai sebuah kampung Desa Lestari bagi menjalankan Projek Pertanian dengan jumlah geran yang diperuntukkan sebanyak RM752 300.00

“Saya berharap lebih banyak lagi kampung berusaha untuk menyertai program Desa Lestari ini dalam usaha membangunkan masyarakat di luar bandar seiring dengan perubahan zaman dan lanskap ekonomi dunia,” kata Mahdzir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.