Oleh Ritah Yahaya
10 Februari 2022, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya  – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) terus komited memperkukuhkan agenda Sekuriti Makanan Negara dengan mengadakan program Sesi Dialog Industri Agromakanan 2022.

Dialog yang bertemakan “Pemodenan dan Produktiviti Menjamin Sekuriti Makanan” diadakan bertujuan mengenal pasti isu sektor agromakanan, khususnya aspek sekuriti makanan dan mengambil langkah intervensi yang sesuai mengikut perkembangan semasa, menyeluruh serta holistik dalam usaha memperkasa sektor agromakanan negara.

Selain itu, tema ini dilihat selaras dengan penekanan yang diberikan melalui pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 (2021-2030) yang antara lainnya memberikan penekanan terhadap pemodenan sektor pertanian yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

Sebanyak 200 orang peserta secara fizikal dan 1000 orang secara webinar/Facebook Live hadir dan menyertai program dialog ini yang terdiri dalam kalangan pemain industri sektor agromakanan merangkumi subsektor padi, tanaman, ternakan, perikanan dan keseluruhan rantaian agromakanan meliputi persatuan-persatuan dan pemain industri yang terlibat sepanjang rantaian nilai sektor agromakanan seperti wakil pengeluar, syarikat peneraju, pengimport-pengimport dan pengeksport, serta wakil-wakil industri yang aktif terlibat dalam rangkaian pemasaran dan pemprosesan.

Selain pemain industri sektor agromakanan, sesi dialog ini turut
melibatkan penglibatan daripada jabatan dan agensi di bawah MAFI serta jemputan daripada kementerian, jabatan dan agensi lain yang berkepentingan dalam sektor agromakanan.

“Dialog Industri Agromakanan 2022 merupakan inisiatif MAFI, platform komunikasi dua hala secara terus bersama-sama pemain industri selaras dengan pendekatan whole of goverment dan whole of society untuk berkongsi idea, pandangan, cadangan dan hala tuju kerajaan selain mengeratkan kerjasama dan hubungan baik untuk MAFI terus memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat seiring dengan keperluan semasa, khususnya melalui golongan sasar seperti petani, penternak dan nelayan serta semua pemain industri di sepanjang rantaian nilainya,’ ujar Dr. Ronald.

“Selain itu, inisiatif Dialog ini mampu mengenal pasti isu-isu sektor agromakanan, khususnya aspek sekuriti makanan sebelum langkah intervensi yang sesuai diambil mengikut perkembangan semasa, menyeluruh serta holistik dalam usaha untuk terus memperkasa sektor agromakanan serta menjamin sekuriti makanan,” ujar Dr. Ronald.

Menurut Dr Ronald, meninjau prestasi satu dekad yang lalu, sektor agromakanan terus mengekalkan daya tahan, dan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terus meningkat daripada RM26.6 bilion pada tahun 2010 kepada RM51.3 bilion pada tahun 2020.

“Namun begitu, bagi memenuhi keperluan penduduk, negara pada hakikatnya masih perlu bergantung pada import beberapa komoditi makanan utama seperti beras, sayur dan daging untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi pada setiap masa,” jelas beliau.

Tambah Dr Ronald, kita turut menghadapi cabaran perubahan iklim yang akan menjejaskan kemampanan sumber asli untuk aktiviti pertanian. Justeru, tahap penerimagunaan teknologi dan automasi dalam kalangan pengusaha perlu ditingkatkan, dilengkapi dengan pelaburan swasta serta penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi untuk memacu pertumbuhan sektor agromakanan.

Sesi libat urus awal dengan pemain industri diadakan untuk mengenal pasti isu-isu utama setiap subsektor dan cadangan penyelesaiannya. Antara isu yang dibangkitkan adalah berkaitan dengan subsidi/insentif, Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB), pengurusan tanaman padi, pendekatan teknologi Integrated Pest Management, pembangunan industri sarang burung walit, pembangunan industri hiliran, pengurusan buruh
asing, pensijilan, tenaga buruh, lesen, kru asing, pengimportan, tanah Lesen Pendudukan Sementara (TOL), pemasaran dan kenaikan harga input, makanan dan peralatan.

Pandemik COVID-19 dan bencana banjir menguji daya tahan sistem makanan negara dalam mengatasi kejutan ekonomi dan ketidaktentuan. Aktiviti pengeluaran makanan juga tidak dapat dilaksanakan secara optimum akibat  kekangan masa dan tenaga kerja yang mengakibatkan kerugian besar. Kesan limpahan terhadap keseluruhan rantaian sistem makanan dan sekuriti makanan negara sehingga menyaksikan banyak norma baharu terpaksa dilaksanakan dan pendekatan baharu diperlukan bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan sepanjang masa.

Program Sesi Dialog dihadiri oleh Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) selaku panel sesi dialog. Turut serta sebagai panel dialog adalah YB Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri I MAFI, YB Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh, Timbalan
Menteri II MAFI, dan Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.