Oleh Ritah Yahaya
10 Februari 2022, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

MPMMN merupakan platform untuk membincangkan dan menyelaraskan hala tuju perancangan, penyelarasan serta pemantauan bagi penyediaan rumah mampu milik (RMM) di seluruh negara selaras dengan matlamat SATU KELUARGA SATU RUMAH.

Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) bersetuju menetapkan hala tuju baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) yang mengambil kira keperluan semasa serta memasukkan komponen baharu ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni atau Liveable Malaysia.

Pembinaan PPR baharu akan mengambil kira elemen seperti keterhubungan dan akses Internet seperti Fibre to The Home (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomi dan lebih selesa.

Selain itu, MPN turut membincangkan strategi penyediaan dan pelaksanaan 500 000 unit rumah mampu milik di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe- 12) melibatkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak pemaju perumahan swasta.

Kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah. Oleh itu, KPKT memperkenalkan Home Ownership Programme (HOPE) bagi melihat ekosistem yang lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia dalam pemilikan perumahan.

Mesyuarat mahu supaya Bank Negara Malaysia (BNM) melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya memudahkan pemilikan perumahan. Hal ini bagi memastikan institusi kewangan mempermudahkan pinjaman untuk B40 dan M40 membeli rumah PPR dan rumah mampu milik. Fokus diberi untuk pembelian terus dan rent to own (sewa untuk milik).

Semua pihak perlu memainkan peranan supaya sasaran SATU KELUARGA SATU RUMAH dapat direalisasikan. Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Persekutuan akan memberikan subsidi, kerajaan negeri menyediakan tanah, manakala bank mempermudah pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga yang berpatutan.

Dalam masa yang sama, kerajaan komited  menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda supaya mereka dapat memiliki kediaman sendiri.

Mesyuarat turut memberikan tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 membeli rumah.

Kebimbingan mesyuarat adalah pada kos bahan binaan seperti besi dan keluli yang semakin meningkat serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan. Oleh itu, Menteri Perumahaan dan Kerajaan Tempatan dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) diarahkan supaya menangani perkara ini. Jika perkara ini berpunca daripada permit import (AP), mesyuarat mencadangkan supaya AP dibuka kepada semua.

MPN juga mendengar pembentangan oleh Khazanah Research Institute dan BNM berkenaan data semasa serta isu berbangkit dalam aspek perumahan rakyat serta akses kepada pembiayaan bagi perumahan mampu milik.

Maklumat ini akan dijadikan asas  kerajaan untuk menambah baik strategi penyediaan perumahan mampu milik serta pengukuhan polisi berkaitan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.