Oleh Ritah Yahaya
9 Februari 2022, 08:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya –  Kerajaan komited menyediakan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang komprehensif bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara.

Mengambil kira cabaran yang dihadapi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terkesan ekoran banjir untuk memulihkan perniagaannya dan beroperasi semula, Kerajaan telah memutuskan untuk menambahbaik bantuan kepada perniagaan tersebut.

Sebelum ini, pada bulan Disember 2021, kerajaan telah pun mengumumkan dana pinjaman RM500 juta untuk Kemudahan Bantuan Bencana yang melibatkan pinjaman kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) hingga RM700 000.000  pada kadar faedah hingga 3.5% setahun dengan moratorium enam bulan.

Di samping itu, dana sebanyak RM30 juta disediakan melalui TEKUN Nasional untuk pinjaman hingga RM10 ribu kepada usahawan mikro dan informal.

Sukacita diumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia untuk membantu PMKS yang terjejas akan ditambah baik seperti berikut:

Pertama, kerajaan akan memberi geran bernilai RM3000.00 melalui TEKUN Nasional kepada setiap perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir dengan peruntukan disediakan sebanyak RM50 juta yang bakal memanfaatkan lebih 15 000 perniagaan mikro dan informal.

Kedua, dana tambahan RM50 juta akan disediakan melalui Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah TEKUN Nasional khusus untuk perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir dengan pinjaman mikro hingga RM10 000.00 tanpa faedah di mana tempoh bayar balik adalah hingga lima tahun dengan moratorium 12 bulan.

Ketiga, dana sebanyak RM100 juta akan disediakan melalui Program SME Emergency Fund (SMEEF) di bawah SME Corp untuk PKS terjejas, pinjaman hingga RM100 000.00 tanpa faedah yang tempoh bayar balik adalah hingga lima tahun dengan moratorium 12 bulan.

Keempat, dalam sektor pertanian, sehingga kini jumlah kerugian yang dilaporkan kesan daripada bencana banjir pada bulan Disember 2021 adalah sebanyak RM91 juta dan jumlah bantuan yang telah disalurkan adalah sebanyak RM21 juta. Kerajaan meluluskan bantuan tambahan kepada pengusaha Agromakanan yang terjejas banjir melalui suntikan dana sebanyak RM20 juta untuk Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Di bawah TBTP, pesawah yang mengalami kemusnahan tanaman padi akibat banjir bakal menerima bantuan secara tunai hingga RM1800 per hektar dengan had maksimum hingga tiga hektar. Bagi pengusaha pertanian lain pula, RM50 juta tambahan akan disediakan di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).

Di bawah PPSPA, petani, penternak dan peladang yang terjejas akibat kerosakan banjir, layak untuk memohon untuk bantuan hingga maksimum 50% daripada jumlah kerugian. Kadar dan had bantuan adalah mengikut Garis Panduan tabung tersebut dan diberi dalam bentuk barangan atau benda (in-kind), iaitu seperti input pertanian atau peralatan.

Kerajaan akan terus komited dalam usahanya meringankan beban semua golongan yang terjejas akibat banjir seperti PMKS dan Pengusaha Agromakan dengan sentiasa bersedia untuk menyediakan bantuan yang sewajarnya.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!