Oleh Ritah Yahaya
9 Februari 2022, 15:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bersama-sama agensi di bawah seliaannya iaitu Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia dan Yayasan Hijau Malaysia (YHM) selaku agensi pelaksana berjaya menganjurkan Minggu ke-18 Ekspo 2020 Dubai bertemakan Sustainable Energy and Natural Resources dari 30 Januari 2022 hingga 5 Februari 2022.

Sepanjang Minggu ke-18 ekspo ini, delegasi KeTSA yang turut disertai oleh 13 syarikat tempatan daripada bidang tenaga dan sumber asli berjaya menarik potensi pelaburan dengan anggaran nilai RM5.8 bilion. Daripada jumlah tersebut, potensi pelaburan bernilai RM4.22 bilion adalah melalui dua Memorandum Persefahaman yang telah dimeterai, iaitu antara syarikat Gading Kencana Sdn. Bhd. dengan syarikat March Global LLC dari Arab Saudi untuk pembangunan projek solar berskala besar di Timur Tengah, Afrika dan rantau Asia yang dijangka menjanakan pelaburan bernilai RM4.2 bilion.

Sementara itu, Memorandum Persefahaman antara syarikat Concord Renewable Energy Sdn. Bhd dengan Innio Jenbacher GMBH & CO OG dari Austria, yang akan membekalkan teknologi dan peralatan bagi pembangunan penjanaan loji janakuasa biogas, dijangka melibatkan pelaburan bernilai RM20 juta. Selebihnya, iaitu RM1.6 bilion diperoleh melalui 57 sesi padanan perniagaan antara syarikat tempatan yang menyertai delegasi KeTSA dengan syarikat-syarikat asing yang turut menghadiri Ekspo 2020 Dubai.

Minggu ke-18 ekspo ini juga menyaksikan syarikat Concord Renewable Energy Sdn. Bhd. melancarkan Concord Biogas Cube Srubber System yang merupakan produk bagi penjanaan tenaga daripada sumber biogas yang direka serta dihasilkan melalui inisiatif penyelidikan dan pembangunan syarikat tersebut yang berpotensi untuk diperluas ke negara-negara lain. Selain itu, wakil-wakil industri dari Malaysia, iaitu PETRONAS, Gading Kencana Sdn. Bhd. dan Concord Renewable Energy Sdn. Bhd. menyertai sesi perkongsian maklumat mengenai potensi perniagaan dan peluang pelaburan, terutamanya dalam bidang tenaga lestari di Malaysia.

Delegasi KeTSA dan syarikat-syarikat turut mengambil peluang mengadakan kunjungan rasmi ke pavilion Emirates National Oil Company (ENOC) dan Dubai Electricity and Water Authority (DEWA) untuk berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai strategi serta pelaksanaan usaha peralihan tenaga.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.