29 Oktober 2021, 19:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Yang Berhormat Mulia, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia, selesai membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat pada petang tadi. Belanjawan itu dijangka mendapat sokongan dwipartisan apabila merujuk memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan pihak pembangkang sebelum ini.

Belanjawan 2022 dianggap sebagai belanjawan terbesar dalam sejarah negara apabila kerajaan memperuntukkan sebanyak RM332.1 bilion, iaitu meningkat sebanyak tiga peratus daripada belanjawan sebelum ini. Jumlah tersebut turut merangkumi belanjawan pengurusan dan pembangunan negara.

Semasa pembentangan Belanjawan 2022, kerajaan menganggarkan ekonomi negara akan mengalami pertumbuhan antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada tahun hadapan. Hal ini membuktikan bahawa kerajaan terus komited untuk terus melonjakkan ekonomi negara berikutan seluruh dunia yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Dari segi peruntukan kepada keseluruhan kementerian, Kementerian Pendidikan Malaysia  terus kekal mendapat peruntukan terbesar berjumlah RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan. Untuk rekod, sebanyak RM150 akan diberikan kepada murid prasekolah, RM1 bilion diperuntukkan untuk proses penambahbaikan sekolah, manakala peruntukan sebanyak RM120 juta diberikan kepada sekolah vernakular Cina dan Tamil.

YBM Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul turut mengumumkan pelbagai insentif kepada pelbagai jabatan dalam perkhidmatan awam. Turut menarik perhatian dalam pengumuman itu termasuklah pengumuman bonus sebanyak RM700 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah dan sebanyak RM350 juga diberikan kepada pesara.

Selain itu, tiada sektor yang terpinggir dalam pengumuman Belanjawan 2022 sebentar tadi. Pelbagai aspek yang berkaitan dengan ekonomi negara turut  disentuh dan yang paling mencuri tumpuan termasuklah cadangan kerajaan untuk menggubal Akta Tanggungjawab Fiskal untuk meningkatkan tanggungjawab dan ketelusan dalam pengurusan fiskal negara. Rang Undang-undang itu dijangka akan digubal pada tahun hadapan. Jika diteliti, hampir tiada sektor yang terpinggir daripada mendapat manfaat dalam Belanjawan 2022.

 

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi