17 September 2021, 16:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam usaha mencapai aspirasi negara untuk menjadi hab kewangan Islam serantau, terdapat aspek yang perlu diberi perhatian. Antaranya termasuklah pengukuhan kawal selia sektor kewangan Islam, penyeragaman piawaian perakaunan dan laporan kewangan, pembentukan modal insan, serta pembangunan produk dan servis yang lebih inovatif. Namun begitu, pencapaian dalam semua aspek di atas menjadi lebih bermakna sekiranya penembusan pasaran sektor kewangan Islam lebih inklusif (menyeluruh) dan tidak tertumpu terhadap segmen pengguna Muslim sahaja.

Pada masa ini, maklumat demografi pengguna kewangan Islam mengikut agama sukar diperoleh menerusi capaian atau rekod awam. Berdasarkan pemerhatian, kesedaran dan pengetahuan pengguna bukan Muslim tentang produk dan servis kewangan Islam dijangka masih berada pada paras yang rendah. Menyedari situasi ini, sewajarnya kita merangka langkah yang lebih strategik bagi merapatkan jurang kesedaran dan pengetahuan mereka. Hal ini disebabkan kesedaran dan pengetahuan merupakan senjata yang dapat menarik minat pengguna untuk menyertai sektor kewangan Islam.

Bagi meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan pengguna bukan Muslim tentang kewangan Islam, aspek pendidikan merupakan jalan penyelesaian utama. Beberapa minggu lalu, saya membincangkan topik Takaful di dalam kelas tutorial bagi mata pelajaran Kewangan Islam. Pada akhir kelas, seorang pelajar bertanya sama ada sebagai seorang pengguna bukan Muslim, adakah beliau juga boleh mendapatkan produk Takaful? Perbualan tersebut menarik perhatian saya untuk menulis tentang topik kewangan Islam pada kali ini. Sejujurnya, ini bukanlah kali pertama soalan sedemikian diajukan semasa sesi pembelajaran. Saban semester, pasti ada yang bertanya sama ada produk dan servis kewangan Islam turut terbuka kepada pengguna bukan Muslim.

Sebagai pendidik dalam bidang kewangan Islam kepada kelompok pelajar yang hampir 100 peratus bukan Muslim, saya melihat soalan sedemikian sebagai sesuatu yang positif dan memberangsangkan. Hal ini menunjukkan bahawa individu bukan Muslim kini bukan sahaja lebih terbuka dan berminat untuk menerima pakai produk dan servis kewangan Islam, malah ada kalanya soalan-soalan yang diajukan oleh mereka membuatkan saya berfikir dengan lebih kritis berhubung isu-isu yang sebelumnya tidak pernah menjadi persoalan–barangkali kerana sesetengah perkara itu merupakan kelaziman kepada seseorang Muslim, namun tidak kepada individu bukan Muslim. Yang menariknya, hal ini menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran kami sentiasa berjalan seiringan dan secara berterusan. Bukan mereka sahaja yang belajar daripada saya, namun secara tidak langsung saya juga belajar daripada mereka menerusi perbincangan sama ada di dalam mahupun di luar kelas.

Mengajar subjek kewangan Islam kepada pelajar bukan Muslim sememangnya mencabar, namun mendapat kepuasan yang berbeza. Bagi memastikan proses pembelajaran yang lebih efektif, pendekatan yang diambil juga harus kreatif. Penerangan perlu dijelaskan dengan gaya bahasa yang lebih santai dan ringkas, berserta contoh yang mudah difahami. Lebih mencabar lagi apabila kandungan mata pelajaran ini mempunyai pelbagai terma dalam bahasa Arab yang begitu asing kepada mereka.

Berbalik pada isu utama, status sebagai hab kewangan Islam serantau menjadi lebih bermakna jika hal ini tidak hanya bersandarkan pada jumlah aset mahupun peratusan pertumbuhan. Bagi mencapai objektif ini, salah tanggapan bahawa produk dan servis kewangan Islam yang hanya eksklusif untuk pengguna Muslim perlu diperbetul. Masyarakat seharusnya didedahkan dengan aspek kewangan Islam yang sememangnya universal. Sebagaimana yang sering dikongsi bersama-sama para pelajar saya, iaitu “anda mungkin bukan seorang Muslim, maka anda tidak terikat dengan ajaran agama Islam yang mewajibkan anda berurusan mengikut landasan Syariah. Namun begitu, setelah belajar dan mengetahui dengan lebih mendalam tentang kewangan Islam, jika anda merasakan konsepnya merupakan sesuatu yang dekat dan selari dengan prinsip moral dan etika anda, maka teruskanlah”. Tegasnya, pintu kewangan Islam sentiasa terbuka untuk semua.


Dr. Nurul Afidah Mohamad Yusof, Penolong Profesor di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Kewangan, Universiti Tunku Abdul Rahman.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi