Oleh Azman Ibrahim
30 Jun 2021, 13:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dunia kini dihuni lebih daripada 7.8 bilion orang pada tahun 2020, yakni satu angka yang tidak terjejas walaupun 3.84 juta orang meninggal dunia akibat wabak COVID-19. Dengan kadar kelahiran dijangka menurun daripada 2.5 orang bayi bagi setiap wanita kepada 1.9 kelahiran bagi setiap wanita pada abad ini, perangkaan itu dijangka mencecah 10.9 bilion menjelang penghujung abad ke-21.

Kadar kelahiran menjelang abad ke-21 ialah sebanyak 1.9 peratus kelahiran bagi setiap wanita.

Bayangkan dengan jumlah manusia dari pelbagai agama, bangsa dan budaya, pastinya tiada satu, sepuluh mahupun 100 jenis sumber pendapatan sahaja yang sesuai untuk semua. Banyak faktor menjadi penentu sama ada seseorang itu menjadi pekerja makan gaji, peniaga atau usahawan, mahupun cuma menghabiskan harta ibu bapa yang kaya-raya. Kelulusan pendidikan, kecerdasan minda (IQ), kecerdasan emosi (EQ), semangat untuk berusaha, cita-cita mahupun nasib dan keturunan mungkin menjadi penentu.

Anjakan paradigma moden kini lebih beralih kepada mendidik anak untuk menjadi seorang usahawan.

Dalam konteks Malaysia, secara tradisinya ibu bapa melihat kerjaya hebat seperti doktor, peguam dan jurutera sebagai menjamin masa depan anak-anak. Namun begitu, anjakan paradigma moden kini lebih beralih kepada mendidik anak untuk menjadi usahawan dan mengejar kemewahan, tetapi tidak kurang juga lebih gemar anak-anak mengejar apa-apa jua cita-cita khususnya kerjaya mulia seperti guru, imam masjid, tahfiz, pakar budaya serta bermacam-macam cabang ilmu yang semakin berkembang, asalkan dapat menjalani kehidupan dengan tenang dan gembira.

Kerjaya tradisi masih diletakkan pada kedudukan yang tinggi, tetapi tidak lagi eksklusif sebagai sumber ekonomi terbaik untuk kehidupan dan membina keluarga.

Memasuki tahun ke-64 merdeka, kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai pilihan untuk mengejar cita-cita, khususnya bukan berasaskan wang dan kekayaan, malah bebas ke arah yang paling menggembirakan diri atau dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Kebanyakan anak muda yang mendapat inspirasi untuk menyelamatkan nyawa menyertai pasukan beruniform. Mereka yang ingin mewariskan ilmu kepada generasi akan datang menjadi warga pendidik – guru tadika, guru sekolah, pensyarah, penyelidik dan ahli akademik. Tidak kurang juga pilihan cabang agama untuk anak-anak menjadi imam, tahfiz, ustaz dan ustazah walaupun ibu bapanya bukan berlatarbelakangkan agama.

Ada yang mengejar kekayaan melalui pelaburan, sektor kewangan dan insurans, mahupun kerjaya berbahaya yang memberikan pulangan lumayan. Begitu juga jika memilih untuk mewarisi kerjaya tradisi keluarga sebagai ahli perniagaan, ahli politik, petani moden dan penternak, ataupun sebagai sukarelawan dalam pelbagai pertubuhan bukan.

Keadaan ini jelas mewujudkan kepelbagaian sumber pendapatan dan kerjaya pilihan yang terbuka luas kepada semua generasi muda. Situasi ini jauh bezanya berbanding dengan zaman awal kemerdekaan yang menyaksikan datuk, nenek serta ibu bapa kepada anak muda sekarang berdepan peluang terhad dalam usaha mencari rezeki untuk diri dan keluarga. Sememangnya, ada juga yang terpaksa menerima apa-apa sahaja peluang kerjaya demi kelangsungan hidup, tetapi tetap mampu berjaya jika sanggup berusaha.

Zaman sudah berubah. Jika dahulu kerjaya tradisi dijulang sebagai “orang hebat dan berjaya”, zaman sekarang kita tidak boleh berterusan melabel dari segi pendapatan dan milikan harta. Status sosial dalam masyarakat, di sekolah, universiti, hubungan ahli keluarga malah dalam mencari jodoh tidak boleh lagi mengutamakan kerjaya dan pendapatan.

Hasil globalisasi dunia dan semangat kapitalis, begitu ramai (bukan semua) berkejaran memburu kemewahan dengan sebilangan daripadanya mencari dari sudut ekonomi gelap – judi, penipuan dan aktiviti jenayah. Melalui media sosial, ada yang tebal rasa malu berkongsi kerjaya yang dilihat “tidak cukup hebat” sementara yang kaya hasil ekonomi gelap tanpa segan silu menayang kemewahan mereka.

Selagi mana sumber pendapatannya halal dan tidak meragukan, usah diajar anak-anak memandang sinis pilihan kerjaya orang lain. Hargailah sumbangan setiap cabang ekonomi kepada keharmonian hidup seluruh rakyat di bumi bertuah ini kerana nilai atau darjat seorang manusia tidak terletak pada wang dan hartanya.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi