13 Jun 2021, 08:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kes COVID-19 kembali meningkat sehinggakan negara sekali lagi menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di samping sebilangan kawasan terpaksa berkurung di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD). Pihak berkuasa sendiri mengakui isu kesihatan mental rakyat antara faktor utama yang harus dipertimbangkan dalam membuat apa-apa jua keputusan. Hal ini demikian dikatakan kerana kes bunuh diri dilaporkan semakin meningkat secara mendadak ketika PKP pertama kali dilaksanakan pada tahun 2020 yang lalu.

Bukan sahaja bimbang tentang isu kesihatan diri dan keluarga, malahan isu pekerjaan dan pendapatan menjadi beban besar disebabkan dikhuatiri jika wang yang sedia ada tidak mencukupi untuk keperluan seharian, lebih-lebih lagi untuk anak-anak dan masa yang mendatang.

PKP turut mengekang aspek sokongan sosial yang selama ini menjadi ruang berkongsi masalah atau meluah perasaan mahupun mengurangkan tekanan. Semuanya dipendam sendiri, tidak kurang juga ada dilepaskan kepada ahli keluarga mahupun orang di sekeliling mereka.

Walaupun kemudahan kesihatan mental di hospital kerajaan semakin maju, rata-rata rakyat Malaysia masih ragu-ragu atau malu untuk mendapatkan bantuan bagi masalah psikologi, tekanan, kemurungan serta kecenderungan mencederakan atau membunuh diri.

Berbanding dengan amalan majikan di negara lain, khususnya di Barat, mereka menyediakan pegawai khas untuk memantau dan menjaga kesihatan fizikal dan mental pekerja. Namun begitu, rata-rata majikan di Malaysia masih melihat isu kesihatan mental bukanlah perkara penting dan kurang mempercayai hal ini boleh menjejaskan prestasi kerja kakitangan mereka. Tidak kurang juga, ada segelintir pihak yang merasakan kesihatan mental seseorang tidak mampu memberikan kesan besar kepada pendapatan syarikat mahupun ekonomi negara.

Keadaan ini boleh dilihat dengan kebanyakan syarikat besar di negara ini hanya menyediakan manfaat atau perlindungan kesihatan untuk masalah fizikal dan pergigian, manakala isu psikologi dan kesihatan mental pekerja dianggap urusan peribadi yang perlu diuruskan secara bersendirian. Sejak sekian lama juga wujud beberapa dakwaan isu kesihatan mental pekerja tidak diberikan perhatian pihak atasan, sebaliknya dijadikan asas untuk menamatkan kontrak kerja.

Secara umumnya, kesihatan mental merujuk cara seseorang berfikir dan bertindak, di samping kesannya untuk mempengaruhi fungsi diri dalam usaha menyelesaikan masalah, menjalinkan hubungan yang baik dan menyumbang manfaat kepada masyarakat.

Kecemerlangan sesuatu organisasi bergantung kepada prestasi pekerja, bukan sahaja berdasarkan tahap kesihatan fizikal, malah kesihatan mental yang baik, lebih-lebih lagi kesihatan fizikal dan mental saling mempengaruhi antara satu sama lain.

Keadaan menjadi lebih kritikal apabila sesetengah tempat kerja yang mempunyai budaya atau persekitaran kurang mesra dalam aspek penjagaan kesihatan mental, contohnya beban kerja yang banyak, tekanan daripada orang atasan atau rakan sekerja, gangguan seksual dan sebagainya. Ketiadaan bantuan profesional dalam usaha mengatasi masalah ini seperti ahli psikologi atau kaunselor di tempat kerja boleh memburukkan lagi keadaan sehingga menyebabkan kesihatan mental pekerja bertambah buruk dan turut menggugat kesihatan fizikal, akhirnya menjejaskan prestasi pekerja dan pendapatan syarikat.

Bayangkan, jika polisi tidak mesra kesihatan mental ini berlaku di begitu banyak agensi atau syarikat yang merangkumi jutaan pekerja, tidak kira pangkat ataupun usia. Jika dibiarkan berterusan, sudah pasti kita dapat melihat prestasi dan produktiviti semakin yang terjejas dan dalam skala besar boleh menggugat ekonomi negara.

Hanya kerana “luka yang tidak nampak” pada aspek psikologi, mental dan emosi, seperti digambarkan pada aspek fizikal, tidak bermakna sakitnya itu tidak wujud atau tidak menjejaskan diri serta orang di sekeliling.

Sekolah sudah menyediakan kaunselor untuk murid, universiti pula menyediakan pegawai psikologi dan pusat kesihatan mental untuk pelajar. Mengapakah aspek ini kurang diberikan perhatian dalam sektor pekerjaan?

Ada sesetengah majikan yang peka tentang situasi pekerja memberi tugas menjaga kesihatan mental kepada pegawai Jabatan Sumber Manusia. Namun begitu, tanpa kelayakan dan pengalaman sewajarnya, pegawai tersebut hanya boleh mendengar masalah pekerja tetapi tidak mampu menyelesaikan atau mencadangkan rawatan sewajarnya.

Kerajaan mungkin boleh mewajibkan manfaat kesihatan mental untuk pekerja, namun langkah sedemikian tidak mencukupi kerana perkara yang paling penting ialah majikan sendiri perlu mengambil berat situasi dan perkembangan pekerja mereka selaku aset paling penting dalam organisasi tersebut. Majikan perlu fahami dan sedar bahawa “luka’”mental itu sama terhadap semua orang, malah mungkin lebih bahaya daripada luka fizikal.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi