16 Mac 2021, 16:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pelaburan saham sebagai satu bentuk sumber pendapatan dan simpanan jangka panjang bukanlah perkara baharu bagi penduduk Malaysia, tetapi majoriti pelabur kebiasaannya terdiri daripada orang bukan Melayu dan golongan kaya atau berpendapatan tinggi.

Orang Melayu dilihat golongan yang majoritinya kehilangan sumber pendapatan apabila PKP dilaksanakan.

Sejak sekian lama, orang Melayu rata-ratanya menjauhkan diri daripada pelaburan saham atas beberapa faktor seperti isu halal dan haram atau patuh syariah, kurang ilmu berkaitan cara-cara untuk melabur, mentaliti tiada modal untuk melabur dan kesukaran mendapat akses kepada platform pelaburan. Jika dibiarkan berterusan, orang Melayu akan ketinggalan dan terpinggir dalam satu daripada bidang yang mampu menjana sumber pendapatan dan jaminan masa depan.

Jika dibiarkan berterusan, orang Melayu akan ketinggalan dan terpinggir dalam satu daripada bidang yang mampu menjana sumber pendapatan dan jaminan masa depan.

Nilai pasaran saham dunia kini telah melangkaui A.S.$93 trilion (RM375.8 trilion) dengan kira-kira separuh daripadanya merangkumi nilai saham di AS sebanyak AS$51 trilion (RM206 trilion) manakala nilai saham di Malaysia sekitar A.S.$430 bilion (RM1.7 trilion).

Nilai mata wang kripto pula telah mencecah 1.7 trilion (RM6.9 trilion) walaupun bentuk pelaburan ini baru wujud sejak 2009 dengan Bitcoin menjadi mata wang digital pertama dunia. Bitcoin mencatatkan peningkatan sebanyak 400 peratus sepanjang 2020 dengan harga terendah A.S.$3600 (RM14 524) pada Mac 2020 ketika permulaan wabak COVID-19,dan melonjak kepada A.S.$20 632 (RM83 240) pada Disember tahun sama, sebelum naik dua kali ganda kepada A.S.$51 471 (RM208 037) pada 23 Februari 2021. Selain Bitcoin, banyak mata wang kripto lain muncul bagai cendawan selepas hujan seperti Ethereum, Binance, Tether, Polkadot dan banyak lagi.

Bitcoin menjadi mata wang digital pertama dunia.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 dipercayai mendorong lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu dan golongan yang hilang sumber pendapatan, mencuba nasib melabur secara kecil-kecilan. Hal ini dapat dilihat melalui lonjakan perkongsian ilmu dan pengalaman pelabur di media sosial dan peningkatan tontonan video berkaitan saham dan mata wang kripto khususnya di dalam YouTube, Facebook dan TikTok.

Antara “ilmu” yang dikongsi termasuklah penggunaan aplikasi pintar, seperti Wahed Invest untuk membeli saham patuh syariah dan Luno untuk mata wang kripto, yang bukan sahaja menyelesaikan isu akses kepada platform pelaburan, malah membuka pintu kepada pelabur kecil melabur mengikut kemampuan masing-masing. Aplikasi pintar juga membolehkan orang ramai membeli dan menjual secara terus serta memindahkan modal atau keuntungan secara terus ke akaun bank peribadi. Walaupun dianggap sebagai pelaburan berisiko tinggi, semakin ramai memilih mata wang kripto kerana tidak perlu berurusan dengan orang tengah, agensi mahupun sistem perbankan, sebaliknya jual beli dibuat secara terus dan telus menggunakan beberapa jenis aplikasi pintar yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Tidak kurang juga perkongsian sesetengah pelabur tempatan yang mendakwa telah mengaut keuntungan sehingga puluhan ribu ringgit hasil lonjakan mendadak saham tertentu dan mata wang kripto sejak awal tahun ini. Lonjakan mendadak mata wang kripto antara lain didorong tindakan bilionair, Elon Musk membeli A.S.$1.5 bilion (RM6 bilion) Bitcoin melalui syarikat miliknya, Tesla Inc. pada 8 Februari 2021. Musk turut menggunakan platform media sosial miliknya sejak 2020 untuk mempengaruhi pelabur-pelabur kecil bersatu membeli saham dan mata wang kripto tertentu, menyebabkan nilainya melonjak. Pada masa yang sama, sekumpulan pelabur dikenali sebagai wallstreetbets menggunakan laman web Reddit untuk mengajak golongan pelabur kecil, termasuk di Malaysia, bergabung bagi menentang pelabur besar di Wall Street, New York.

Walaupun PKP dilihat banyak mendorong rakyat Malaysia mencuba pelaburan saham dan mata wang kripto, tindakan terjun melulu sama ada mengikut trend semasa, atau tanpa ilmu dan pemahaman berkaitan dengan prosedur dan peraturan khususnya melibatkan undang-undang pelaburan di negara ini,mungkin mengundang bencana. Urus niaga secara digital memudahkan seseorang melabur, namun masih tertakluk kepada sistem perundangan negara dan juga risiko besar sekiranya pelabur gagal memahami perbezaannya dengan pelaburan berisiko rendah seperti amanah saham yang dilindungi kerajaan.

Pelabur baharu juga perlu melihat sudut tersirat promosi pihak tertentu di media sosial disebabkan rata-ratanya tidak akan berkongsi kisah kerugian yang mereka alami. Aktiviti melabur perlu bersandarkan ilmu dan kesabaran demi kelangsungan berpanjangan, bukannya bersikap tamak haloba demi mengejar keuntungan mudah dan segera semata-mata.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.