16 Mac 2021, 12:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Aktiviti jual beli dalam talian yang mencatatkan peningkatan sebanyak 28.9 peratus pada April tahun lalu membuktikan perkembangan teknologi digital terkini membawa perubahan besar dalam model perniagaan sedia.

Peningkatan ini dilihat disebabkan oleh penularan wabak pandemik COVID-19 yang mula melanda di seluruh dunia pada akhir tahun 2019 dan memberikan kesan yang besar kepada sektor ekonomi.

Jika dilihat semula, keusahawanan digital menjadi topik perbualan popular dalam kalangan peniaga di saat penularan wabak COVID-19, apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu yang menyaksikan kesemua sektor ekonomi ditutup.

Bermula saat itulah, banyak perniagaan tidak dapat beroperasi secara fizikal, kedai dan restoran pula terpaksa ditutup, malah sehingga ke hari ini walaupun sudah setahun pandemik tersebut melanda, banyak perniagaan gulung tikar.

Daripada terus menanggung kerugian ataupun tutup perniagaan sedia ada, pemilik perniagaan perlu berfikir kaedah terbaik untuk mempelbagaikan perniagaan, serta mengalihkan kaedah berinteraksi dengan pelanggan melalui perniagaan secara digital.

Situasi ini dilihat membentuk cabaran yang perlu diatasi oleh golongan usahawan mengadaptasikan teknologi yang pelbagai supaya bersesuaian dengan perniagaan semasa.

Peralihan ekonomi sedia ada kepada ekonomi digital dilihat mempercepat pertumbuhan ekonomi tempatan dan nasional, dengan kebanyakannya terdiri daripada usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

(Sumber: Firdaus Roslan)

Oleh sebab itu, pada pertengahan tahun lalu, kerajaan telah melancarkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang memperuntukkan RM700 juta bagi pembangunan platform perniagaan digital menerusi pemberian geran dan pinjaman kepada syarikat berstatus PKS serta syarikat peringkat pertengahan untuk menerapkan penggunaan teknologi digital dalam operasi dan saluran perniagaan masing-masing.

(Sumber: Nicholas Chester Adams)

Bukan itu sahaja, malah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dilancarkan pada 2019 turut menggariskan ekonomi digital sebagai antara pertumbuhan ekonomi negara.

Keadaan ini secara tidak langsung bukan sahaja menyaksikan kehadiran perniagaan secara dalam talian yang banyak memberikan kesan terhadap ekonomi digital, malah mampu meningkatkan dan merangsang daya tahan ekonomi digital negara, sekali gus membantu rakyat serta perniagaan yang terkesan akibat COVID-19.

(Sumber: Kseniia Ilinykh)

Dijangka melalui perkembangan perniagaan digital akan berlaku pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta ekonomi Malaysia dan pada masa yang sama  mampu mewujudkan pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan. Hal ini dapat dilihat apabila banyak peluang baharu dapat diteroka dan dicipta, seperti kaedah penghantaran secara e-panggilan yang semakin menjadi pilihan ramai dalam usaha untuk meneruskan kehidupan. Jika dilihat dari sudut kebaikan, pandemik yang tercetus sehingga hari ini turut memberikan banyak faedah kepada masyarakat terutamanya dalam bidang pendigitalan.

Banyak aplikasi bersemuka dalam talian telah diwujudkan dan boleh dijadikan saluran perniagaan seperti platform YouTube yang juga boleh menjana pendapatan. Jika dilihat secara menyeluruh, banyak ruang serta peluang dapat diteroka dalam dunia pendigitalan ini dan mampu membawa usahawan meneroka lebih jauh dan bergerak seiring dengan perubahan ini untuk terus kekal relevan dalam dunia perniagaan semasa.

Hari ini, kuasa Internet, Facebook secara langsung serta sesuatu yang menjadi tular dalam dunia digital tidak boleh disangkal kerana mampu mencetuskan fenomena baharu dalam semua bidang termasuk perniagaan. Yang paling penting, usahawan tersebut mampu menguasai dan mengendalikan media sosial dengan baik seterusnya menjadikannya sebagai batu loncatan untuk terus berjaya dalam dunia ekonomi digital ini.

Setiap usahawan dinasihatkan serta digalakkan meneroka dunia digital untuk bangkit kembali selepas melalui detik sukar COVID-19 dan pada masa yang sama memantapkan kembali perniagaan yang diusahakan sebelum ini. Untuk itu, usahawan yang terjejas mahupun usahawan sedia ada perlu mengubah minda bahawa perniagaan pascapandemik tidak seharusnya memerlukan modal yang besar dan kedai fizikal. Cukuplah beroperasi dari rumah dan pemasaran dilakukan secara dalam talian melalui platform pendigitalan sedia ada.

Dengan ini, mereka boleh bekerja dari rumah secara dalam talian, atau boleh berurus niaga menggunakan pelbagai pelantar perniagaan beli-belah yang pastinya memberikan keuntungan buat setiap peniaga.

Pada hakikatnya, aktiviti penjualan dan pembelian dalam talian kini dilihat bersesuaian dengan normal baharu pascapandemik dan usahawan perlu terus merangka pelan perniagaan yang komprehensif dan berdaya saing.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi