Oleh Ritah Yahaya
11 Februari 2022, 11:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui agensinya TEKUN Nasional melancarkan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) bagi membantu usahawan. Skim ini dibuka untuk permohonan dari 1 Januari hingga 15 Januari yang lalu, dengan dana yang diperuntukkan berjumlah RM200 juta.

Dato’ Adam Abdul Ghani, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional berkata, “SPIM merupakan pembiayaan kepada usahawan informal dan mikro sebagai suntikan modal pusingan untuk memulihkan dan memulakan semula perniagaan yang terjejas daripada wabak COVID-19 dan bencana banjir.

“Melalui SPIM, usahawan ditawarkan pembiayaan dengan nilai hingga RM10 000.00 tanpa caj keuntungan dengan tempoh bayaran balik hingga lima tahun dan moratorium selama 12 bulan. TEKUN Nasional menerima permohonan yang terlalu tinggi dalam masa singkat bagi pembiayaan SPIM ini. Dana yang sepatutnya untuk penyaluran setahun habis dalam tempoh dua minggu. Sebanyak 23 767 permohonan diterima dan hingga 8 Februari 2022, 15 880 permohonan diluluskan dengan nilai RM130.3 juta”, tambah beliau.

Beliau turut menjelaskan, “Bagi memastikan kelancaran permohonan SPIM, TEKUN Nasional mengambil langkah penambahbaikan dengan menaik taraf sistem permohonan dalam talian. Penambahbaikan tersebut perlu dilaksanakan bagi menampung bilangan permohonan yang terlalu tinggi. Walau bagaimanapun dalam proses tersebut, terdapat isu teknikal yang timbul dan menyebabkan berlaku kelewatan dalam memproses permohonan, kelulusan dan penyaluran pembiayaan.”

TEKUN cuba mengatasi isu ini secepat mungkin. Sebagai contohnya, pembiayaan dilaksanakan secara manual melalui cetakan cek yang diagihkan ke setiap Pejabat TEKUN Cawangan di seluruh negara. Hal ini demikian kerana penyaluran pindahan dana elektronik tidak dapat dilaksanakan kerana gangguan teknikal tersebut.

Menurut beliau, hingga kini, TEKUN Nasional menyalurkan pembiayaan berjumlah RM105 juta kepada 12 774 orang usahawan di bawah SPIM melalui cetakan cek dan pindahan dana elektronik. “Penyaluran pembiayaan ini dijangka dapat diatasi sepenuhnya selewatnya pada akhir bulan ini. Usahawan akan dihubungi oleh Pejabat TEKUN Cawangan untuk penyerahan cek pembiayaan.”

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.