Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus membuktikan peranannya sebagai tunjang utama ekonomi negara apabila menyumbangkan 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, selain menyediakan lebih lapan juta peluang pekerjaan yang merangkumi hampir separuh tenaga kerja negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan MADANI kekal komited dalam memastikan sektor tersebut terus berkembang mapan melalui pelbagai inisiatif pembangunan dan pembiayaan strategik.
Menurut beliau, sepanjang tahun 2025, sebanyak 344 program keusahawanan dan pembangunan PMKS dengan peruntukan RM31.63 bilion telah berjaya dilaksanakan.
“Hasilnya, sebanyak 6600 usahawan baharu berjaya diwujudkan. Pada masa sama, 50 000 PMKS menunjukkan peningkatan ketara dalam pengurusan perniagaan, manakala 8000 usahawan lagi berjaya mendigitalkan operasi mereka,”jelasnya.
YB Steven Sim Chee Keong menambah bahawa inisiatif kerajaan tersebut turut mencatatkan impak ekonomi yang memberangsangkan abila PMKS terlibat merekodkan peningkatan jualan berjumlah RM870 juta, selain lonjakan jualan eksport sebanyak RM6.8 bilion.
Bagi mengekalkan momentum tersebut, kerajaan telah merancang lebih 300 program pembangunan PMKS bagi tahun 2026 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM60 bilion.
“Peruntukan berkenaan meliputi program pembiayaan, pembangunan modal insan, akses pasaran, penyediaan infrastruktur, serta penerapan teknologi dan inovasi bagi membantu lebih banyak perusahaan tempatan berkembang dan menembusi pasaran global,” katanya.
Jelas beliau, semua program dilaksanakan berteraskan kerangka ABCDKUSKOP, iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran.
Menurutnya lagi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yakin bahawa pertumbuhan sektor PMKS akan terus mengukuhkan ekonomi negara, sekali gus menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Hasrat KUSKOP bukan sekadar melihat PMKS terus maju tetapi membantu mereka memperkukuh imej daripada perusahaan kecil kepada syarikat bernilai tinggi, pasaran tempatan ke pentas antarabangsa, dan pengguna teknologi kepada pencipta nilai dan inovasi,” tambah beliau.
YB Steven Sim Chee Keong turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga PMKS di Malaysia bersempena dengan Hari PMKS Antarabangsa 2026.
“Di sebalik setiap kedai runcit, restoran, kilang kecil, syarikat perkhidmatan dan perniagaan keluarga, terdapat jutaan rakyat yang bergantung kepada PMKS sebagai sumber rezeki dan asas kehidupan mereka,” tambahnya lagi.