Diterbitkan pada 16 Jun 2026, 14:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Eksport Malaysia kekal kukuh walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran global apabila prestasi perdagangan dan eksport negara terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pencapaian tersebut direkodkan meskipun dunia berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan yang memberikan kesan kepada perdagangan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), YBrs. Encik Abu Bakar Yusof berkata, jumlah perdagangan negara bagi tempoh Januari hingga April 2026 meningkat sebanyak 15.53 peratus, manakala eksport berkembang 19 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut beliau, prestasi tersebut mencerminkan daya tahan syarikat tempatan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam mengekalkan momentum eksport walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi global.

Beliau berkata, pertumbuhan eksport negara turut disokong oleh permintaan yang berterusan terhadap beberapa sektor utama seperti elektronik, semikonduktor, peralatan optikal dan saintifik, serta gas asli cecair (LNG).

“Walaupun berlaku gangguan rantaian bekalan global dan ketidaktentuan geopolitik, PMKS dan pengeksport tempatan masih mampu mengekalkan momentum eksport negara,” ujar beliau kepada pemberita selepas menghadiri International Healthcare Week (IHW) 2026.

Mengulas mengenai prestasi perdagangan bagi Mei, beliau berkata pihaknya tidak dapat mendedahkan angka rasmi sebelum pengumuman dibuat oleh kerajaan, namun menjangkakan trend pertumbuhan positif akan berterusan berdasarkan petunjuk semasa.

Dalam perkembangan berkaitan dengannya, beliau memaklumkan bahawa MATRADE bersama-sama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi membantu syarikat tempatan mengurangkan kesan konflik di Timur Tengah terhadap aktiviti perdagangan antarabangsa.

Menurut beliau, pasukan tersebut turut melibatkan penggiat industri seperti Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan persatuan ejen penghantaran barang.

Pasukan berkenaan mengadakan mesyuarat secara berkala bagi menilai isu berkaitan dengan logistik, laluan perkapalan dan peningkatan kos perdagangan yang berpunca daripada ketegangan geopolitik.

Beliau menegaskan MATRADE akan terus memastikan akses ke pasaran antarabangsa kekal terbuka bagi membolehkan syarikat tempatan meneruskan aktiviti eksport dan mengekalkan daya saing pada peringkat global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi