Diterbitkan pada 15 Jun 2026, 10:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –Pertandingan realiti inovasi memperkasakan bakat inovasi murid menerusi platform yang menyediakan ruang kepada pelajar sekolah rendah dan menengah untuk mengetengahkan idea kreatif, menghasilkan penyelesaian praktikal dan mengembangkan potensi dalam bidang inovasi pada peringkat nasional.

Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir menyempurnakan prapelancaran Junior Innovathon 2026 Musim Kedua menerusi program Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Beliau berkata, pertandingan yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), serta Radio Televisyen Malaysia (RTM) merupakan satu pelaburan strategik bagi melahirkan generasi pencipta dan penyelesai masalah yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Menurut beliau, kejayaan penganjuran musim pertama membuktikan bahawa murid Malaysia mempunyai potensi besar dalam bidang inovasi apabila diberikan peluang dan bimbingan yang sesuai. Berdasarkan pencapaian tersebut, Junior Innovathon 2026 Musim Kedua menyasarkan penyertaan sebanyak 3000 murid dari seluruh negara.

Jelas beliau, sasaran itu mencerminkan keyakinan bahawa bakat inovasi tidak hanya tertumpu di bandar besar, malah boleh dicungkil daripada murid di seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar dan wilayah Borneo. Melalui pelaksanaan saringan di lima zon, pertandingan itu bertujuan mengenal pasti bakat muda yang berpotensi tanpa mengira lokasi.

Penganjuran musim kedua turut memberikan tumpuan kepada usaha mencungkil bakat muda, mengarusperdanakan idea kreatif dan membudayakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan murid sejak usia persekolahan.

Inisiatif tersebut juga menyokong agenda pembangunan bakat masa hadapan negara selaras dengan matlamat yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

Bagi memastikan aspek keterangkuman terus diperkukuh, Junior Innovathon 2026 memperkenalkan Anugerah Khas Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) bagi kategori sekolah rendah dan sekolah menengah. Pemenang anugerah tersebut akan menerima hadiah wang tunai RM5,000 untuk kumpulan, RM3,000 untuk sekolah, serta trofi.

Bagi kategori utama pula, johan setiap kategori akan menerima hadiah keseluruhan bernilai RM40,000 yang merangkumi RM30,000 untuk kumpulan dan RM10,000 untuk sekolah berserta trofi.

Naib johan akan menerima hadiah bernilai RM22,000 manakala tempat ketiga membawa pulang hadiah bernilai RM15,000 berserta trofi. Penganjur turut menyediakan ganjaran tambahan berupa peranti pintar seperti iPad atau tablet, serta kursus berkaitan dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan inovasi.

Pendaftaran pertandingan dibuka mulai 14 Jun hingga 14 Julai 2026 dan terbuka kepada warganegara Malaysia berumur antara tujuh hingga 17 tahun yang terdiri daripada murid sekolah rendah, sekolah menengah, kolej vokasional, sekolah teknik dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Setiap penyertaan hendaklah dibuat secara berkumpulan yang terdiri daripada tiga orang murid dan seorang guru pembimbing dari sekolah yang sama.

Bertemakan “Di Sini Inovasi Bermula”, Junior Innovathon 2026 diharapkan menjadi pemangkin kepada kelahiran lebih banyak pencipta, penyelesai masalah dan usahawan teknologi muda yang mampu menyumbang kepada aspirasi Malaysia sebagai negara maju berteraskan teknologi tinggi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi