Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan sebanyak 30 sen kepada RM4.37 seliter bagi tempoh 18 Jun hingga 24 Jun 2026 selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).
Penurunan ini susulan perkembangan positif dalam konflik di Asia Barat yang menyumbang kepada penyederhanaan harga minyak mentah global.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), perkembangan terkini yang menunjukkan tanda ke arah penyelesaian konflik yang berpanjangan telah membantu menurunkan tekanan terhadap harga minyak mentah dunia berbanding dengan paras tertinggi yang dicatatkan sebelum ini.
Namun begitu, kerajaan berpandangan masih terdapat beberapa risiko jangka pendek yang boleh mengekang penurunan harga minyak dan produk petroleum ke paras sebelum konflik.
Antara risiko yang dikenal pasti termasuklah ketidaktentuan berkaitan dengan pembukaan semula laluan perdagangan di Selat Hormuz, gangguan bekalan yang dijangka mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya dan kemungkinan rundingan damai tidak mencapai penyelesaian muktamad.
MoF memaklumkan bahawa tanggungan subsidi kerajaan berdasarkan harga pasaran semasa masih tinggi, iaitu sekitar RM3.5 bilion sebulan. Daripada jumlah tersebut, subsidi bagi petrol RON95 dianggarkan mencecah RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel pula sekitar RM1.5 bilion sebulan.
Bagi tempoh penetapan harga berkenaan, harga RON97 dikekalkan pada RM4.35 seliter, manakala RON95 kekal pada RM3.72 seliter. Harga diesel di Semenanjung Malaysia pula ditetapkan pada RM4.37 seliter berbanding dengan RM4.67 seliter minggu sebelumnya.
Kerajaan turut mengekalkan harga bahan api bersubsidi, termasuk RON95 di bawah program BUDI MADANI pada kadar RM1.99 seliter. Harga diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, serta di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal pada RM2.15 seliter, manakala petrol di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dikekalkan pada RM2.05 seliter.
Menurut kementerian itu, lebih daripada 14 juta penerima layak terus menikmati harga RON95 bersubsidi melalui program BUDI MADANI. Pada harga pasaran semasa RM3.72 seliter, penggunaan maksimum 200 liter sebulan akan menelan kos RM744. Namun begitu, penerima yang layak hanya perlu membayar RM398 sebulan, sekali gus menikmati subsidi kerajaan sebanyak RM346 bagi setiap pengguna yang menggunakan kelayakan penuh.
MoF menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus memastikan kebajikan rakyat dan kelangsungan operasi sektor tertentu terpelihara melalui bantuan dan subsidi bersasar, di samping mengurus perbelanjaan fiskal secara berhemat dalam suasana ekonomi global yang masih tidak menentu.
Pada masa yang sama, kerajaan memberikan jaminan bahawa bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin. Sehubungan dengan itu, rakyat diseru mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemah menerusi perancangan perjalanan yang lebih cekap dan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi negara.