Diterbitkan pada 17 Jun 2026, 10:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – ELSA Berhad mencipta satu lagi pencapaian penting apabila secara rasmi disenaraikan dalam ACE Market Bursa Malaysia, sekali gus membuktikan potensi syarikat bumiputera untuk berkembang dan bersaing dalam sektor ekonomi bernilai tinggi dan pasaran modal negara.

Penyenaraian tersebut mencerminkan keberkesanan ekosistem pemudah cara, pembiayaan strategik dan pembangunan kapasiti yang diterajui oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), agensi di bawah Kementerian Ekonomi dalam menyokong pertumbuhan syarikat bumiputera ke arah penskalaan perniagaan dan penyenaraian awam.

ELSA Berhad merupakan antara 20 syarikat bumiputera generasi baharu berpotensi tinggi yang dikenal pasti dan dipersiapkan untuk penyenaraian dalam Pasaran ACE dan Pasaran Utama Bursa Malaysia menerusi Dana Pemilikan Strategik Bumiputera (BSAF) sejajar dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

Majlis penyenaraian syarikat itu disaksikan oleh Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir bersama-sama kepimpinan Kementerian Ekonomi, Bursa Malaysia, institusi kewangan, pelabur strategik dan penggiat industri.

Menurut beliau, penyenaraian ELSA Berhad sebagai IPO ke-32 Malaysia bagi tahun ini mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap syarikat yang mempunyai asas perniagaan kukuh, tadbir urus yang baik dan hala tuju pertumbuhan yang meyakinkan.

Katanya, pencapaian itu bukan sekadar kejayaan korporat, malah membuktikan bahawa syarikat bumiputera semakin bersedia untuk berkembang, bersaing dan menerajui sektor bernilai tinggi.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus menyokong lebih banyak perusahaan bumiputera berpotensi tinggi melalui usaha memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kesiapsiagaan pelaburan dan memanfaatkan pasaran modal sebagai platform pertumbuhan jangka masa panjang yang mampan selaras dengan aspirasi PuTERA35.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, YBrs. Encik Junady Nawawi berkata, kejayaan ELSA Berhad membuktikan keberkesanan ekosistem sokongan yang dibangunkan oleh TERAJU dalam membantu syarikat bumiputera mempercepat perjalanan mereka ke pasaran modal.

Menurut beliau, melalui pembiayaan strategik menerusi BSAF, syarikat bumiputera dapat memperkukuh kapasiti perniagaan, meningkatkan daya saing dan mempercepat persediaan ke arah penyenaraian awam.

Katanya, TERAJU akan terus memperkukuh ekosistem tersebut bagi melahirkan lebih banyak syarikat bumiputera yang berdaya saing, berimpak tinggi dan bersedia berkembang ke peringkat seterusnya.

Dalam pada itu, BSAF menyediakan pembiayaan strategik hingga RM10 juta bagi setiap syarikat pada kadar keuntungan yang kompetitif untuk membantu syarikat bumiputera melaksanakan inisiatif pertumbuhan dan pengembangan perniagaan, termasuk persediaan ke arah penyenaraian awam (Pra-IPO).

Selain menyediakan sokongan pembiayaan, BSAF turut membantu syarikat menerusi pelbagai inisiatif strategik seperti penggabungan dan pengambilalihan (M&A), pengambilalihan pengurusan (MBO), pengembangan pasaran antarabangsa melalui kerjasama salingan (reverse linkage), serta peluasan operasi perniagaan.

ELSA Berhad merupakan syarikat bumiputera yang menawarkan penyelesaian bersepadu dalam sektor pertumbuhan tinggi merangkumi teknologi tenaga, transformasi digital, keselamatan siber, robotik autonomi dan teknologi bawah laut.

Syarikat itu juga merupakan vendor berlesen PETRONAS dan antara syarikat terawal di Asia yang menawarkan teknologi pemeriksaan paip bawah laut secara autonomi.

Dengan anggaran permodalan pasaran sekitar RM123.83 juta, penyenaraian ELSA Berhad dijangka meningkatkan keyakinan pelabur terhadap syarikat bumiputera dan memperkukuh penyertaan mereka dalam pasaran modal dan sektor ekonomi bernilai tinggi.

Pada masa sama, pencapaian tersebut membuka lebih banyak peluang kepada pembangunan perniagaan, inovasi teknologi dan penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan PuTERA35.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Ekonomi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi