Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar — Program Women in Search of Excellence (WiSE) 2026 berupaya menjadi platform penting dalam memperkasakan usahawan wanita melalui peningkatan kapasiti perniagaan, pengembangan jaringan profesional dan pengukuhan kemahiran bagi menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, program yang menyediakan ekosistem keusahawanan komprehensif itu mampu melahirkan lebih banyak usahawan wanita yang berdaya saing, berani mencipta peluang, serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi keluarga, negeri dan negara.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan WiSE 2026 bertemakan Elevating Women, Empowering Communities di Dewan Bakawali, Mes Pegawai Kanan PDRM, di sini malam tadi.
Menurut baginda, program tersebut merupakan inisiatif strategik hasil kerjasama antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dalam usaha memperkasakan ekonomi wanita dan memperkukuh peranan mereka sebagai pemangkin pembangunan masyarakat.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyeru wanita agar terus meningkatkan keyakinan, keberanian dan daya saing bagi melahirkan lebih banyak pencipta peluang, serta peneraju perubahan dalam pelbagai sektor.
Sementara itu, Ketua Pengarah MARA, YBhg. Datuk Zulfikri Osman memaklumkan bahawa program WiSE diperkenalkan oleh Raja Muda Perlis pada tahun 2023 sebagai platform pembangunan dan pengukuhan keupayaan usahawan wanita.
