Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Pelan Induk Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Nasional 2021–2030 yang berlangsung pada 8 Jun 2026 membincangkan langkah strategik bagi memperkukuh daya saing industri OGSE Malaysia pada peringkat antarabangsa.
Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir yang mempengerusikan mesyuarat tersebut menegaskan bahawa perkembangan geopolitik dan ekonomi semasa di Asia Barat membuka ruang, serta peluang baharu yang perlu dimanfaatkan oleh syarikat OGSE tempatan.
Sehubungan dengan itu, pemain industri disarankan mempergiat usaha pengantarabangsaan menerusi strategi yang lebih tersusun dan berfokus bagi meningkatkan kehadiran mereka dalam pasaran global.
Menurut perkembangan pelaksanaan Pelan Induk OGSE Nasional hingga 31 Mei 2026, lebih daripada 600 syarikat OGSE telah menerima sokongan dalam aspek pembangunan eksport, teknologi dan akses kepada pembiayaan. Pada masa yang sama, lebih daripada 500 tenaga kerja mahir telah dilatih bagi memenuhi keperluan sektor kritikal dalam industri berkenaan.
Selain itu, program yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berjaya menjana jualan eksport melebihi RM2 bilion. Dalam aspek pembangunan teknologi pula, lebih daripada 100 teknologi berkaitan dengan OGSE telah berjaya dipermudah cara menerusi inisiatif OGSE Technology Network dan Geran Pembangunan OGSE (OGSE DG).
Program OGSE DG turut merekodkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya menjana hasil melebihi RM77.2 juta. Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan bagi meningkatkan keupayaan inovasi, pembangunan teknologi dan daya saing syarikat OGSE tempatan.
Usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh industri OGSE bukan sahaja menyokong pertumbuhan sektor berkenaan, malah turut menyumbang kepada agenda keselamatan tenaga negara yang lebih berdaya saing, berdaya tahan dan mampan dalam jangka masa panjang.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh wakil dari pelbagai kementerian dan agensi, termasuk Kementerian Ekonomi; Kementerian Kewangan Malaysia; Kementerian Pendidikan Tinggi; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), MATRADE, PETRONAS, PETROS, TalentCorp dan TERAJU, selain pelbagai pihak berkepentingan lain dalam industri OGSE negara.