Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perlis sedang mempergiat usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur fizikal dan digital secara sistematik sebagai persediaan melangkah ke era baharu transformasi ekonomi bagi memacu gelombang perindustrian negeri pada masa hadapan.
Langkah agresif yang sedang dirancang itu merupakan strategi serampang dua mata untuk meletakkan negeri tersebut sebagai hab ekonomi yang lebih kompetitif, dinamik dan berdaya saing pada peringkat serantau.
Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, agenda memperluas kemudahan pelabuhan darat yang kemudiannya disusuli dengan pembangunan pelabuhan laut, pemajuan kawasan perindustrian baharu dan pengukuhan rangkaian telekomunikasi moden merupakan antara prasyarat penting dalam membangunkan ekosistem perdagangan yang kukuh dan mampan.
Baginda bertitah, pengukuhan infrastruktur strategik itu bukan sahaja berupaya menarik kemasukan pelaburan asing, malah akan menjadi tulang belakang kepada kelancaran rantaian bekalan domestik dan antarabangsa.
Pembangunan berimpak tinggi yang diterajui oleh projek strategik seperti Perlis Inland Port (PIP) yang baharu sahaja dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dijangka mampu mengubah landskap sosioekonomi negeri secara menyeluruh.
Dengan kedudukan geografi yang strategik di sempadan Malaysia–Thailand, Perlis kini berada pada landasan terbaik untuk muncul sebagai gerbang logistik yang menghubungkan negara ini dengan pasaran serantau Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Pada masa yang sama, komitmen kerajaan negeri dalam mempertingkatkan utiliti fizikal dan digital dilihat mampu mewujudkan limpahan ekonomi yang lebih inklusif kepada rakyat.
Transformasi tersebut bukan sekadar bertujuan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri, malah diyakini dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang berkualiti dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Perlis secara menyeluruh.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Promosi Masakan Perlis yang berlangsung di Riverside Café & Restaurant, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini.
Program berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik antara restoran tersebut dengan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Restoran Shamiza Mohd Noor Guar Nangka, Perlis. Inisiatif itu mengetengahkan hidangan warisan Kurma Daging Perlis yang disediakan khas oleh Eksekutif Cef restoran berkenaan, Encik Muhamad Rusmi Che Dol.
Sebagai antara hidangan tradisional yang menjadi identiti kulinari negeri itu, Kurma Daging Perlis dipromosikan kepada para pengunjung WTCKL sepanjang berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 dari 29 Mei 2026 hingga 7 Jun 2026.

Program tersebut dilihat sebagai platform terbaik untuk memperkenalkan keunikan gastronomi Perlis kepada pengunjung dari seluruh negara dan pelancong antarabangsa. Selain mempromosikan warisan makanan tradisional, usaha itu turut menyokong agenda memperkenalkan produk pelancongan, budaya, ekonomi dan identiti negeri Perlis kepada masyarakat.
Yang turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda puteri Baginda berdua, Yang Amat Mulia (YAM) Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan YAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Majlis simbolik Promosi Masakan Perlis itu turut disertai oleh Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, YBhg. Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL, YBrs. Encik Fauzy Wahab.
Program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam mengangkat warisan juadah tradisional Perlis sebagai aset budaya yang bernilai tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai destinasi yang kaya dengan keunikan gastronomi, tradisi dan warisan Melayu.