Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Perlis – Rangka kawal selia yang telus, serta dasar ekonomi yang stabil merupakan antara faktor utama dalam menarik pelaburan jangka masa panjang ke Perlis dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kurung Tengar, Kuala Perlis, semalam.
Menurut baginda, kestabilan ekonomi jangka masa panjang tidak wajar dikorbankan demi memenuhi kepentingan jangka masa pendek.
Baginda bertitah bahawa terdapat tiga teras utama yang perlu diberikan perhatian dalam pembangunan ekonomi negeri. Pertama, sistem kawal selia hendaklah telus dan konsisten bagi membolehkan pelabur merancang pelaburan dengan lebih yakin. Yang kedua, pengurusan kewangan perlu dilaksanakan secara berdisiplin dan berasaskan kemampuan sebenar, selain memberikan tumpuan kepada perancangan jangka masa panjang. Yang ketiga, institusi yang kukuh amat penting bagi menjamin kestabilan makroekonomi, serta memastikan harga barangan kekal terkawal.
Pada masa yang sama, baginda mengingatkan bahawa keputusan yang sukar, termasuk pertimbangan antara pelbagai kepentingan ekonomi adakalanya perlu dibuat bagi memastikan kemampanan ekonomi pada masa hadapan.
Program tersebut turut disertai oleh empat orang pelajar peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Sepanyol yang sedang mengikuti program anjuran Yayasan Hasanah dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis. Mereka merupakan pelajar dari Columbia Business School, Columbia University, New York, Amerika Syarikat.
Inisiatif MAIPs Peduli merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MAIPs untuk mengenal pasti keperluan golongan yang memerlukan, di samping memastikan bantuan yang disalurkan sampai kepada penerima yang layak dan memberikan manfaat yang optimum kepada mereka.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan zakat MAIPs kepada tiga penerima, iaitu Encik Azis Kasa, 59, dari Kampung Kurung Tengar; Puan Nah Jaya, 87, dari Kampung Tok Kaya; serta Puan Setemenah Putung @ Munah Hashim dari Kampung Padang Besar (Selatan).
Baginda turut menzahirkan harapan agar semangat kerjasama dan nilai ihsan terus diperkukuh dalam kalangan masyarakat bagi membentuk komuniti yang lebih sejahtera, prihatin dan penyayang.
Dalam program yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengadakan lawatan ke Chalet Kurung Tengar di Jalan Kurung Tengar, Kuala Perlis. Destinasi penginapan tepi pantai itu dilihat berpotensi untuk terus memperkukuh sektor pelancongan negeri, sejajar dengan kempen Tahun Melawat Perlis 2024–2026.
Menurut pengusaha Chalet Kurung Tengar, Encik Ahmad Naim Abdul Latif, premis tersebut menawarkan 28 bilik penginapan yang direka untuk memberikan suasana santai dan selesa kepada pengunjung.
Katanya, tetamu boleh memilih bilik yang menghadap daratan atau laut, sekali gus menjadikan chalet tersebut sesuai untuk percutian keluarga, program korporat, hari keluarga serta pelbagai aktiviti rekreasi.
Selain kemudahan penginapan, Chalet Kurung Tengar turut berfungsi sebagai pusat aktiviti rekreasi pantai yang menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengunjung. Antaranya termasuklah aktiviti sukan air, rekreasi pantai, sukan darat, serta program santai dan acara hujung minggu yang sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat.
Lawatan tersebut turut memberikan peluang kepada baginda untuk beramah mesra dengan komuniti Perlis Parrot Free Fly, sebuah komuniti peminat burung kakak tua yang aktif menjalankan latihan penerbangan bebas bagi burung peliharaan mereka.

Melalui latihan khusus, burung-burung tersebut mampu terbang bebas di kawasan terbuka sebelum kembali semula kepada pemilik masing-masing berdasarkan arahan suara atau bunyi wisel.
Aktiviti unik yang semakin berkembang di Perlis itu bukan sahaja mencerminkan komitmen dan minat mendalam para pencinta haiwan eksotik, malah berpotensi untuk diketengahkan sebagai satu daripada produk rekreasi komuniti yang mampu menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.