Diterbitkan pada 9 Jun 2026, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 yang dianggotai oleh pelbagai kementerian dan agensi telah bersidang bagi merangka hala tuju keterjaminan makanan negara yang lebih inklusif, serta mengesyorkan strategi berfokus untuk menangani pelbagai isu berkaitan dengan sektor makanan negara.

Mesyuarat tersebut membincangkan beberapa inisiatif utama yang berpotensi memperkukuh sistem makanan negara. Antaranya termasuklah meneliti potensi kebolehpasaran penghasilan daging kultur dan produk makanan berasaskan sel (cell-based food) sebagai sumber alternatif kepada daging konvensional.

Perbincangan turut merangkumi aspek teknikal, ekonomi, kawal selia, psikologi sosial, alam sekitar, serta perspektif agama, termasuk keperluan pensijilan halal bagi produk berkenaan.

Selain itu, mesyuarat turut mencadangkan pelaksanaan intervensi secara bersepadu bagi memperkukuh kawalan dan pemantauan isu ketulenan madu. Langkah tersebut dilihat penting bagi memastikan pengguna memperoleh produk yang berkualiti dan memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Dalam sektor perikanan pula, mesyuarat membincangkan strategi memperkasakan operasi sembilan landasan kapal (slipway) milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam industri pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR). Usaha tersebut bertujuan mengatasi pelbagai cabaran yang dihadapi industri, termasuk kapasiti terhad, kos penyelenggaraan yang tinggi, penggunaan sistem manual, serta kekurangan tenaga kerja mahir.

Mesyuarat juga dimaklumkan mengenai status penyelidikan dan pembangunan produk makanan berasaskan protein alternatif yang berpotensi menjadi sumber makanan masa hadapan, serta menyumbang kepada kepelbagaian bekalan makanan negara.

Di samping itu, perbincangan memberikan perhatian khusus pada implikasi fenomena El Nino dan perubahan iklim yang boleh meningkatkan risiko kemarau berpanjangan dan menjejaskan sektor pengeluaran makanan tempatan.

Sehubungan dengan itu, mesyuarat menekankan keperluan mendesak untuk menggubal Akta Keterjaminan Makanan Negara sebagai instrumen perundangan bagi mewujudkan sistem amaran awal, pelan kesiapsiagaan automatik, serta mekanisme penyaluran bantuan kewangan dan input pertanian secara berterusan kepada sektor pengeluaran utama.

Mesyuarat menegaskan bahawa keterjaminan makanan merupakan keutamaan nasional yang memerlukan komitmen dan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak. Pelaksanaan kerjasama strategik yang holistik antara kerajaan dengan industri, institusi penyelidikan dan pihak berkepentingan lain dilihat amat penting bagi memastikan sistem makanan negara kekal berdaya tahan dan mampu menghadapi pelbagai cabaran global pada masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi