Diterbitkan pada 5 Jun 2026, 15:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Peralihan tenaga, transformasi digital dan pembangunan ekonomi merupakan tiga komponen yang saling berkait, serta perlu digerakkan secara seiring bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan berdaya saing.

Penegasan itu disampaikan oleh Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir ketika menyertai sesi Ministerial Dialogue sempena The Energy Transitions Conference pada 4 Jun 2026.

Sesi dialog tersebut turut menampilkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YAB Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof dan Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo yang berkongsi pandangan mengenai hala tuju strategik negara dalam mendepani cabaran dan peluang yang dibawa oleh perubahan landskap ekonomi global.

Menurut YB Tuan Haji Akmal Nasrullah, Malaysia perlu bertindak pantas dalam memacu peralihan tenaga dan pendigitalan secara serentak kerana kedua-duanya merupakan pemangkin utama kepada pembangunan ekosistem industri masa hadapan yang bernilai tinggi.

Langkah tersebut penting bagi menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), pusat data, semikonduktor, pembuatan maju dan teknologi tenaga bersih.

Beliau berkata, kerajaan turut memberikan penekanan kepada pelaburan berimpak tinggi yang mampu menjana manfaat ekonomi secara menyeluruh. Menerusi kerangka dasar seperti Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR), setiap pelaburan strategik akan ditumpukan kepada usaha mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan memperkukuh daya saing industri tempatan.

Pada masa yang sama, kerajaan komited untuk memperluas penyertaan sektor swasta melalui kerjasama strategik antara sektor awam dengan swasta dan memberikan keutamaan kepada projek bernilai tinggi. Pendekatan tersebut diyakini dapat mempercepat pelaksanaan agenda peralihan tenaga secara mampan dan inklusif, di samping menyokong proses penstrukturan ekonomi negara.

Beliau menjelaskan bahawa menjelang tahun 2030, Malaysia menyasarkan untuk muncul sebagai hab serantau bagi industri digital dengan ekonomi yang dipacu oleh inovasi, rantaian tenaga yang selamat dan ekosistem digital yang inklusif.

Aspirasi tersebut selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi dan pusat pertumbuhan ekonomi baharu di rantau ini.

Komitmen Kerajaan MADANI adalah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi yang dicapai tidak hanya diterjemahkan dalam bentuk angka dan statistik semata-mata, sebaliknya memberikan manfaat secara menyeluruh kepada rakyat melalui peningkatan peluang pekerjaan, pendapatan dan kesejahteraan hidup.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi