Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Malaysia kekal komited menyokong usaha kolektif dalam kerangka kerja Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) bagi menggalakkan kestabilan pasaran minyak global, serta memperkukuh keselamatan tenaga.
Menurut kenyataan media Kementerian Ekonomi yang dikeluarkan semalam, komitmen tersebut ditegaskan semula dalam Mesyuarat Peringkat Menteri OPEC dan Bukan OPEC Ke-41 ketika negara pengeluar minyak berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik, risiko gangguan bekalan, serta perubahan landskap tenaga global.
Sebagai negara pengeluar minyak dan pada masa yang sama pengimport bersih tenaga, Malaysia melihat kestabilan pasaran sebagai faktor penting untuk memperkukuh keyakinan pelabur, menyokong pengeluaran domestik, memudahkan perancangan pelaburan, serta menjamin keselamatan tenaga dalam jangka masa panjang.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Menteri Ekonomi, YB Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang menyertai mesyuarat tersebut secara maya.
Mesyuarat yang dikendalikan oleh Sekretariat OPEC di Vienna, Austria pada 7 Jun 2026 itu berlangsung secara hibrid dan menghimpunkan negara anggota OPEC, serta negara bukan OPEC untuk membincangkan isu utama yang mempengaruhi kestabilan pasaran minyak global dan keselamatan bekalan tenaga jangka masa panjang.
Antara fokus utama mesyuarat tersebut termasuklah penilaian Kapasiti Lestari Maksimum (MSC) dalam kalangan negara peserta.
Malaysia berpandangan bahawa kerangka MSC merupakan mekanisme penting untuk meningkatkan ketelusan pasaran, menambah baik penetapan garis dasar pengeluaran serta menyokong perancangan bekalan yang lebih mampan dan boleh diramal pada masa hadapan.
Malaysia turut menegaskan komitmennya terhadap Piagam Kerjasama (CoC) yang berasaskan Deklarasi Kerjasama (DoC) yang diperkenalkan pada tahun 2016.
Menurut Malaysia, meskipun DoC telah menyediakan platform yang berkesan untuk penyelarasan usaha penstabilan pasaran, CoC menawarkan kerangka kerjasama yang lebih menyeluruh dan tersusun bagi jangka masa panjang, termasuk dalam bidang pembangunan teknologi, pengurangan pelepasan karbon, serta peralihan tenaga global.
Sehubungan dengan itu, Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama dengan negara anggota dalam bidang tenaga, perdagangan dan pelaburan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan, serta menjamin keselamatan bekalan tenaga.
Malaysia juga kekal komited untuk mematuhi sasaran pengeluaran yang ditetapkan bagi tahun 2026, di samping terus terlibat secara konstruktif dalam memastikan sebarang semakan garis dasar pada masa hadapan di bawah kerangka MSC dilaksanakan secara adil, realistik dan selaras dengan prospek pengeluaran negara peserta selepas tahun 2026.
Yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Datuk Seri Nor Azmie Diron; Naib Presiden Kanan Strategi Korporat, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), YBrs. Puan Marina Md. Taib; dan pegawai kanan daripada Kementerian Ekonomi dan Kedutaan Malaysia di Austria.