Diterbitkan pada 1 Mei 2026, 08:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sambutan Hari Pekerja di Malaysia pada 1 Mei setiap tahun bukan sekadar simbol penghargaan terhadap sumbangan pekerja, malah menjadi platform strategik untuk memperkukuh keupayaan tenaga kerja negara.

Dalam konteks ekonomi semasa yang semakin dinamik, keseimbangan antara pembangunan dengan kesejahteraan sosial perlu terus diperkasakan bagi memastikan tenaga kerja kekal berdaya tahan dan berdaya saing.

Daya tahan pekerja merujuk keupayaan individu mengurus tekanan, cabaran dan krisis di tempat kerja tanpa menjejaskan prestasi. Keupayaan ini penting bagi mengekalkan produktiviti, di samping mengurangkan risiko keletihan emosi.

Laporan Wellness at Work 2024 oleh Employment Hero menunjukkan peratusan pekerja yang mengalami lesu upaya meningkat daripada 58 peratus pada tahun 2022 kepada 67 peratus pada tahun 2024. Keadaan ini memberikan implikasi langsung terhadap motivasi dan kecekapan kerja.

Sehubungan dengan itu, daya tahan tidak seharusnya dilihat sekadar keupayaan menanggung beban kerja, tetapi melibatkan kebolehan menyesuaikan diri, menangani tekanan, serta berkembang dalam persekitaran kerja yang sentiasa berubah. Usaha memperkukuh aspek ini mampu meningkatkan kepuasan kerja dan kesejahteraan pekerja secara keseluruhan.

Majikan memainkan peranan penting dalam menyokong daya tahan pekerja. Pendekatan komunikasi yang berkesan, kepekaan terhadap perubahan tingkah laku, serta sokongan emosi yang berterusan perlu diberikan penekanan.

Selain itu, amalan layanan adil, perancangan sumber manusia yang strategik, serta pengiktirafan setimpal terhadap sumbangan pekerja turut menjadi faktor penting dalam membina persekitaran kerja yang sihat.

Dalam masa yang sama, daya saing tenaga kerja menjadi penentu utama keupayaan ekonomi negara. Daya saing merangkumi penguasaan teknologi, kemahiran digital, inovasi dan etika kerja yang tinggi.

Laporan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) menunjukkan produktiviti pekerja Malaysia hanya meningkat pada kadar 2.7 peratus setahun bagi tempoh tahun 2021 hingga tahun 2024, lebih rendah berbanding dengan Korea Selatan dan Singapura yang mencatatkan pertumbuhan melebihi 4 peratus.

Jurang ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh kemahiran tenaga kerja, khususnya dalam bidang teknologi dan digital. Laporan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) turut mendapati lebih daripada 40 peratus majikan menyatakan pekerja mereka tidak memiliki kemahiran digital yang diperlukan. Keadaan ini menuntut pekerja agar lebih adaptif, serta bersedia meningkatkan kemahiran bagi memastikan mereka kekal relevan dalam pasaran kerja.

Bagi majikan, pembangunan kemahiran tidak boleh dilaksanakan secara ad hoc, sebaliknya perlu dijadikan sebahagian daripada strategi jangka masa panjang organisasi. Pemetaan jurang kemahiran, penilaian keberkesanan latihan, serta penyesuaian program pembelajaran mengikut keperluan sebenar perlu diberikan keutamaan. Budaya pembelajaran berterusan juga harus dipupuk bagi memastikan impak latihan lebih signifikan.

Dalam era transformasi digital dan globalisasi, perubahan landskap pekerjaan membuka peluang baharu, namun turut membawa cabaran besar. Dianggarkan antara 30 peratus hingga 40 peratus pekerjaan sedia ada berpotensi berubah atau terhapus dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Oleh itu, pekerja perlu proaktif meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri dengan perubahan, manakala majikan perlu mengurus tenaga kerja secara lebih strategik dan berpaksikan data. Gabungan usaha ini penting bagi memastikan tenaga kerja Malaysia kekal berdaya tahan, berdaya saing dan mampu mendepani cabaran ekonomi masa hadapan.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi