Diterbitkan pada 4 Jun 2026, 08:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Selepas operasi ketenteraan yang dikenali sebagai Operation Absolute Resolve terhadap Venezuela pada 3 Januari 2026 dan peperangan dengan Iran menerusi Operation Epic Fury sejak 28 Februari 2026, sasaran Amerika Syarikat (AS) seterusnya dilihat tertumpu pada Cuba. Presiden AS, Donald Trump, pada 27 Mac 2026 mengeluarkan kenyataan berbaur ancaman terhadap Cuba ketika Persidangan Inisiatif Pelaburan Masa Hadapan di Miami, Florida.

Washington sebenarnya telah mengenakan tekanan ekonomi dan ketenteraan terhadap Cuba sejak tahun 1959. Sebelum itu, hubungan antara kedua-dua negara berada dalam keadaan baik. AS menjalinkan hubungan diplomatik dengan Republik Cuba pada tahun 1902 dan membuka kedutaan di Havana pada tahun 1923.

Pada tahun 1959, Fidel Castro berjaya menggulingkan rejim Fulgencio Batista yang disokong oleh AS. Selepas kejayaan Revolusi Cuba, AS mula mengenakan sekatan ekonomi apabila kerajaan baharu pimpinan Castro meningkatkan perdagangan dengan Kesatuan Soviet, menasionalisasikan harta milik rakyat AS dan menaikkan cukai terhadap import dari negara itu.

Selepas Washington mengurangkan import gula dari Cuba, AS melaksanakan larangan terhadap hampir semua eksport ke Havana. Langkah tersebut kemudiannya diperluas oleh John F. Kennedy menerusi sekatan ekonomi menyeluruh, termasuk sekatan perjalanan yang ketat.

Pada tahun 1961, AS memutuskan hubungan diplomatik dengan Cuba dan mula menjalankan operasi rahsia bagi menggulingkan pemerintahan Castro. Dalam dekad berikutnya, pengasingan ekonomi dan diplomatik menjadi teras utama dasar Washington terhadap Havana.

Pada tahun 1982, Ronald Reagan melabelkan Cuba sebagai negara penaja keganasan susulan sokongan Havana terhadap kumpulan militan berhaluan kiri di Afrika dan Amerika Tengah. Pentadbiran George H. W. Bush dan Bill Clinton pula memperkukuh sekatan menerusi Akta Demokrasi Cuba 1992 dan Akta Kebebasan dan Solidariti Demokratik Cuba 1996 atau Akta Helms–Burton. Undang-undang tersebut menetapkan embargo hanya akan ditamatkan apabila Cuba beralih kepada sistem demokrasi yang tidak melibatkan keluarga Castro, serta menjamin kebebasan rakyat.

Ketika pentadbiran Barack Obama, hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dipulihkan secara rasmi pada 20 Julai 2015. John Kerry menjadi Setiausaha Negara AS pertama melawat Cuba dalam tempoh 70 tahun apabila menghadiri majlis menaikkan bendera di Kedutaan AS di Havana pada 14 Ogos 2015. Obama turut melawat Cuba pada 21 hingga 22 Mac 2016.

Sebagai sebahagian usaha pemulihan hubungan, penerbangan komersial dan perjalanan kapal persiaran antara AS dengan Cuba disambung semula. Kedua-dua negara juga memeterai beberapa perjanjian kerjasama melibatkan bidang kesihatan, alam sekitar, telekomunikasi, serta pembanterasan penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia.

Namun begitu, ketika pentadbiran pertama Trump dari tahun 2017 hingga tahun 2021, AS kembali mengetatkan sekatan perjalanan dan kewangan terhadap Cuba. Washington melarang rakyatnya melakukan perjalanan individu ke Cuba atas tujuan pendidikan dan pertukaran kebudayaan, mengehadkan kiriman wang, serta menyekat penerbangan ke bandar Cuba selain Havana.

Pada tahun 2020, pentadbiran Trump turut melarang pelancong AS menginap di ratusan premis yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Cuba atau Parti Komunis. Walau bagaimanapun, rakyat AS masih memasuki Cuba melalui negara ketiga seperti Mexico bagi mengatasi sekatan perjalanan tersebut.

AS juga berusaha menyekat penghantaran minyak Venezuela dengan mengenakan sekatan terhadap syarikat perkapalan dan minyak milik Cuba. Trump kemudiannya menetapkan semula Cuba sebagai negara penaja keganasan, sekali gus membatalkan keputusan yang dibuat oleh Obama pada tahun 2015.

Seperti Obama, Joe Biden cuba melonggarkan dasar AS terhadap Cuba pada minggu-minggu terakhir pentadbirannya dengan memulakan proses menarik semula status negara penaja keganasan dan membatalkan memorandum era Trump yang mengehadkan pelancongan antara kedua-dua negara.

Selepas kembali memegang jawatan presiden, Trump menandatangani satu perintah eksekutif yang mengisytiharkan Cuba sebagai “ancaman luar biasa dan luar jangka” terhadap keselamatan AS dengan merujuk hubungan Havana dengan pihak yang dianggap bermusuhan seperti Rusia.

Perintah tersebut turut membenarkan pengenaan tarif terhadap barangan dari negara ketiga yang menjual atau membekalkan minyak kepada Cuba. Menurut pemimpin Cuba, tindakan AS itu terus menjejaskan ekonomi negara berkenaan. Perintah tersebut dikeluarkan selepas pentadbiran Trump mengumumkan bahawa Washington akan mengambil alih penjualan minyak Venezuela dan menghentikan penghantaran minyak susulan penangkapan Nicolas Maduro oleh tentera AS pada Januari 2026.

Venezuela merupakan pembekal utama minyak kepada Cuba sedangkan negara pulau itu bergantung pada import bagi memenuhi sebahagian besar keperluan tenaga domestiknya. Pada tahun 2015, Cuba hanya menghasilkan sekitar 49,000 tong petroleum dan cecair lain sehari berbanding dengan penggunaan yang mencecah 172,000 tong sehari.

Pada tahun 2024, penggunaan minyak di Cuba dianggarkan sebanyak 112,423 tong sehari. Negara itu menggunakan sekitar 0.43 gelen minyak per kapita sehari atau kira-kira 157 gelen setahun bagi setiap penduduk berdasarkan jumlah populasi 10.98 juta orang. Setakat tahun 2024, pengeluaran minyak Cuba hanya sekitar 30,542 tong sehari.

Cuba mula menerima minyak mentah Venezuela pada kadar subsidi tinggi selepas perjanjian tenaga dimeterai pada tahun 2000. Kesannya, Havana memperoleh lebih daripada 100,000 tong minyak mentah dan produk petroleum sehari daripada Venezuela pada tahun 2011. Namun begitu, krisis ekonomi dan politik di Venezuela menyebabkan penghantaran minyak bersubsidi ke Cuba merosot daripada 100,000 tong minyak sehari pada tahun 2012 kepada 55,000 tong minyak sehari pada tahun 2014.

Pada tahun 2016, Cuba menerima 53,500 tong minyak sehari daripada Petroleos de Venezuela, S.A. (PDVSA). Minyak pula menyumbang sebanyak 85 peratus daripada penjanaan elektrik Cuba pada tahun 2013.

Setakat tahun 2025, Cuba dianggarkan mempunyai rizab minyak mentah sebanyak 124 juta tong dan 2,500 bilion kaki padu rizab gas asli. Negara itu juga menghasilkan sekitar 32 bilion kaki padu gas asli pada tahun 2014. Walaupun mempunyai sumber tenaga yang berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap import, Cuba masih berdepan dengan pelbagai kekangan untuk mengeksploitasi sumber tersebut.

Antara cabaran utama termasuklah keterbatasan teknologi penggerudian laut dalam. Banyak kawasan simpanan minyak dan gas asli Cuba terletak di perairan dalam atau kawasan yang sukar diakses. Pengeluaran sumber di kawasan sedemikian memerlukan teknologi canggih dan pelaburan yang besar. Cuba pula berdepan dengan kekurangan teknologi akibat kos tinggi, serta sekatan ekonomi yang dikenakan oleh AS sejak dekad 1960-an.

Sekatan tersebut menghalang akses Cuba kepada peralatan dan teknologi penting bagi pengeluaran minyak dan gas asli di perairan dalam. Pada masa yang sama, Cuba memerlukan pelaburan asing untuk membangunkan infrastruktur tenaga, namun sekatan ekonomi dan ketidaktentuan politik mengurangkan minat pelabur antarabangsa.

Akibat sekatan perdagangan yang berterusan, syarikat AS juga tidak dibenarkan memiliki aset minyak di Cuba. Oleh itu, meskipun mempunyai rizab minyak dan gas asli, faktor teknologi, politik, ekonomi dan kos menghalang Cuba muncul sebagai pengeluar utama tenaga.

Keadaan tersebut menyebabkan Cuba terus bergantung pada import minyak, khususnya dari Venezuela. Pada tahun 2025, Venezuela menghantar sekitar 52,000 tong minyak sehari kepada Cuba. Sekatan AS yang berterusan turut memburukkan lagi keadaan ekonomi negara itu sehingga mencetuskan krisis kemanusiaan. Cuba berdepan dengan kegagalan grid elektrik, hospital terpaksa menghentikan pembedahan, manakala sekolah dan perniagaan pula ditutup akibat kekurangan bekalan tenaga.

Selepas tiga bulan berdepan dengan sekatan AS, kapal tangki minyak Rusia, Anatoly Kolodkin, yang membawa 730,000 tong minyak tiba di pelabuhan Matanzas, Cuba pada 30 Mac 2026. Cuba sebelum itu tidak menerima sebarang penghantaran minyak selama tiga bulan sehingga mencetuskan krisis tenaga dan gangguan bekalan elektrik di seluruh negara.

Trump menyifatkan Cuba sebagai negara gagal yang bakal tumbang tanpa sokongan Venezuela. Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, pula menyatakan bahawa Washington mahu melihat perubahan rejim di Cuba.

Walaupun Presiden Cuba, Miguel Díaz-Canel, menyatakan kesediaan untuk berunding dengan Washington tanpa prasyarat, Havana tetap menolak sebarang perbincangan yang melibatkan perubahan sistem pemerintahan negara itu. Cuba juga menolak dakwaan bahawa negara tersebut merupakan ancaman kepada AS, di samping mengecam segala bentuk keganasan, serta menegaskan komitmennya terhadap keselamatan serantau dan antarabangsa.

Kredit Foto: Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi