Diterbitkan pada 6 April 2026, 11:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan mengemukakan pelan damai kepada Iran sambil menyatakan keyakinan bahawa perang yang telah hampir sebulan berlangsung dapat ditamatkan. Namun begitu, Iran menafikan bahawa sebarang rundingan dengan AS sedang berlangsung ketika ini.

Konflik berterusan di Asia Barat memberikan kesan ekonomi bukan sahaja kepada negara yang terlibat, malah kepada seluruh dunia. Kebimbangan tercetus memandangkan konflik ini berlaku di rantau yang menjadi nadi utama pengaliran tenaga global.

Bekalan Terjejas

Rantau Teluk Parsi merupakan pembekal utama tenaga global, khususnya minyak mentah. Konflik yang berlaku dilaporkan menyebabkan pengeluaran minyak mentah di rantau tersebut menyusut sebanyak enam juta tong sehari. Selain Iran, negara seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Iraq dan Kuwait turut menjadi pengeluar utama minyak mentah di rantau ini.

Gangguan utama berpunca daripada Selat Hormuz, iaitu laluan perdagangan penting bagi bekalan minyak mentah. Laluan ini terjejas akibat faktor sekatan dan keselamatan. Sejak tercetusnya konflik pada 28 Februari lalu, Iran dilaporkan menutup hampir keseluruhan laluan di selat berkenaan, sekali gus mengganggu aliran harian bekalan minyak mentah.

Untuk rekod, Selat Hormuz terletak antara Iran dengan Oman, serta menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman dan Laut Arab. Laluan ini merupakan antara laluan kapal tangki minyak mentah paling kritikal di dunia. Pada separuh pertama tahun 2025, kira-kira 20.9 juta tong minyak mentah melalui selat ini setiap hari, bersamaan dengan kira-kira satu perlima penggunaan dunia dan satu perempat perdagangan laut minyak mentah global.

Dari sudut permintaan, data Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA) menganggarkan bahawa 89 peratus minyak mentah yang melalui Selat Hormuz disalurkan ke pasaran Asia. China, India, Jepun dan Korea Selatan merupakan destinasi utama dengan China kekal sebagai penerima terbesar, iaitu sebanyak 5.4 juta tong sehari.

Tekanan Inflasi

Kenaikan harga minyak mentah lazimnya meningkatkan tekanan inflasi kerana bekalan global berkurangan sedangkan permintaan kekal tinggi. Harga minyak mentah yang meningkat akan menyebabkan kenaikan harga runcit bahan api domestik, seterusnya meningkatkan kos pengeluaran dan mendorong kenaikan harga barangan.

Walau bagaimanapun, inflasi yang didorong oleh faktor kos ini dijangka tidak memberikan kesan limpahan yang besar terhadap trend harga keseluruhan, memandangkan keadaan permintaan global semasa masih stabil. Secara purata, setiap kenaikan harga minyak mentah Brent sebanyak USD10 setong dianggarkan meningkatkan inflasi keseluruhan sebanyak 0.1 mata peratusan.

Pada 26 Mac 2026, harga minyak mentah melonjak melepasi USD105 setong, meningkat 3.83 peratus kepada USD106.10 setong selepas penurunan mendadak sehari sebelumnya. Ketidaktentuan harga ini dijangka terus memberikan tekanan inflasi global dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Gangguan Bekalan Baja

Kira-kira satu pertiga bekalan baja dunia melalui Selat Hormuz. Gangguan penghantaran melalui laluan ini menimbulkan kebimbangan terhadap pengeluaran makanan global. Kekurangan bekalan baja bukan sahaja menjejaskan jumlah pengeluaran, malah meningkatkan harga makanan.

Menurut Pertubuhan Perdagangan Dunia, kesan gangguan ini boleh berlanjutan hingga tahun berikutnya apabila hasil tuaian berkurangan. Rantau Teluk Parsi yang kaya dengan gas asli, yakni bahan utama dalam pengeluaran baja kimia merupakan antara pengeluar utama dunia. Namun begitu, konflik telah menjejaskan operasi beberapa kemudahan utama.

Negara pengeksport makanan seperti India, Thailand dan Brazil bergantung pada rantau ini untuk mendapatkan urea. Walaupun kekurangan bekalan baja masih belum berlaku, gangguan berpanjangan boleh memberikan kesan besar, terutamanya menjelang musim penanaman.

Sekiranya konflik berlarutan melebihi tiga bulan dan perdagangan melalui Selat Hormuz terus terganggu, impaknya akan menjadi lebih ketara. Negara yang bergantung pada import makanan, khususnya di Afrika Barat dan Afrika Utara dijangka berdepan dengan tekanan yang lebih besar.

Semakan Pelaburan Luar

Beberapa negara Teluk Parsi dilaporkan sedang menilai semula pelaburan luar negara susulan konflik yang melibatkan AS, Israel dan Iran. Menurut laporan media antarabangsa, Arab Saudi, UAE dan Qatar sedang mempertimbangkan semakan terhadap komitmen pelaburan, kontrak perniagaan, serta pegangan aset luar negara.

Langkah ini termasuk meneliti penggunaan klausa keadaan memaksa dalam perjanjian sedia ada. Tindakan tersebut turut menarik perhatian AS memandangkan negara ini mengurus antara dana kekayaan negara terbesar dunia dan memainkan peranan penting dalam pasaran pelaburan global.

Konflik berterusan telah meningkatkan ketidaktentuan pasaran dan mendorong pelabur mengelakkan risiko. Pelabur dijangka beralih kepada sektor komoditi dan sektor defensif seperti utiliti, serta penjagaan kesihatan.

Selain itu, ketegangan geopolitik turut menjejaskan sektor penerbangan apabila ruang udara antarabangsa ditutup sementara. Lebih daripada 2,600 penerbangan telah dibatalkan, sekali gus meningkatkan kos operasi syarikat penerbangan dan risiko kerugian besar.

Konflik ini dijangka tidak akan reda dalam masa terdekat apabila Donald Trump membayangkan bahawa perang mungkin berlarutan hingga bulan September. Keadaan ini diburukkan lagi dengan ancaman Iran terhadap kepentingan AS di rantau Teluk. Ternyata, usaha mencapai gencatan senjata dan menamatkan konflik ini banyak bergantung pada kepimpinan Donald Trump sebagai Presiden kuasa besar dunia.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi