Diterbitkan pada 24 April 2026, 09:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Isu penyelewengan dana yang melibatkan organisasi yang mengurus sumbangan awam sering mencetuskan perbincangan dalam kalangan masyarakat. Tanpa mengira sumber dana sama ada zakat, derma atau sumbangan orang ramai, persoalan utama yang timbul berkait rapat dengan aspek amanah dan integriti dalam pengurusannya.

Dalam kerangka ekonomi sosial, sumbangan masyarakat bukan sekadar aliran kewangan, sebaliknya mencerminkan kepercayaan kolektif. Setiap sumbangan yang diberikan membawa harapan agar dana tersebut diurus secara telus, berhemah dan berkesan. Oleh itu, sebarang penyelewengan bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan, malah turut menghakis asas kepercayaan yang menjadi tunjang kelangsungan sektor kebajikan.

Kepercayaan sosial merupakan elemen penting dalam memastikan kesinambungan aktiviti ekonomi berteraskan solidariti masyarakat. Tanpa kepercayaan, kecenderungan individu untuk menyumbang berkemungkinan menurun, sekali gus menjejaskan keberkesanan program bantuan kepada golongan yang memerlukan. Dalam konteks ini, pendedahan kes penyelewengan berpotensi meningkatkan persepsi risiko dalam kalangan penyumbang dan mempengaruhi tingkah laku mereka pada masa hadapan.

Laporan berkaitan dengan salah guna kuasa dan penyelewengan yang direkodkan saban tahun menunjukkan bahawa isu integriti bukanlah sesuatu yang terpencil, sebaliknya merupakan cabaran berterusan yang memerlukan perhatian serius pelbagai pihak. Hal ini menuntut pengukuhan sistem tadbir urus, serta pemantapan nilai etika dalam organisasi.

Fenomena penyelewengan boleh difahami melalui kerangka Fraud Pentagon yang menekankan lima elemen utama, iaitu tekanan, peluang, rasionalisasi, keupayaan dan keangkuhan. Dalam organisasi yang mengurus dana awam, peluang sering wujud akibat kelemahan tadbir urus seperti ketiadaan pengasingan tugas yang jelas, ketelusan laporan kewangan yang terhad dan pemantauan yang kurang menyeluruh. Rasionalisasi pula mendorong individu membenarkan perlakuan yang menyalahi amanah atas alasan tertentu.

Selain itu, elemen keupayaan dan keangkuhan menunjukkan bahawa individu yang terlibat lazimnya mempunyai pengetahuan, serta kedudukan yang membolehkan mereka memanipulasi sistem dalam tempoh tertentu tanpa dikesan. Keadaan ini memperlihatkan bahawa kewujudan sistem semata-mata tidak memadai tanpa disokong oleh integriti individu yang mengendalikannya.

Pada masa yang sama, tahap literasi kewangan dalam kalangan masyarakat yang masih sederhana turut menjadi faktor yang perlu diberikan perhatian. Sebahagian penyumbang membuat keputusan berdasarkan kepercayaan semata-mata tanpa penilaian menyeluruh terhadap kredibiliti organisasi. Oleh itu, usaha memperkukuh literasi kewangan dan kesedaran integriti wajar dipertingkatkan bagi membolehkan masyarakat membuat keputusan yang lebih bijak dan bertanggungjawab.

Dari sudut tadbir urus, organisasi yang mengurus dana awam perlu memperkukuh mekanisme kawalan dalaman melalui pelaksanaan audit berkala, pengasingan tugas yang jelas, serta peningkatan ketelusan dalam pelaporan kewangan. Pemanfaatan teknologi juga boleh dipertimbangkan bagi meningkatkan kebolehkesanan dan akauntabiliti dalam pengurusan dana.

Kesimpulannya, isu penyelewengan dana wajar dijadikan pengajaran dalam memperkukuh amalan pengurusan amanah dalam ekonomi sosial. Tanpa integriti, sistem kewangan berisiko dimanipulasi, manakala tanpa kepercayaan, fungsi sosial ekonomi tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan. Pada akhirnya, kekuatan sesuatu sistem bukan sahaja terletak pada kecekapan strukturnya, tetapi juga pada integriti individu yang menggerakkannya.

Dr. Radziah Mohd Dani, A.M (M), Pensyarah Kanan Perakaunan di Politeknik Muadzam Shah Pahang.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi