Diterbitkan pada 2 April 2026, 08:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perkembangan geopolitik yang melibatkan ketegangan antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel memberikan implikasi ekonomi yang melangkaui sempadan serantau, khususnya melalui gangguan terhadap rantaian bekalan tenaga global.

Laluan strategik seperti Selat Hormuz yang terdedah kepada risiko konflik meningkatkan ketidaktentuan bekalan minyak dunia, seterusnya mendorong kenaikan harga bahan api global.

Keadaan ini memberikan kesan langsung kepada kos pengeluaran, pengangkutan dan harga barangan, sekali gus meningkatkan tekanan kos terhadap organisasi dan isi rumah. Dalam konteks ini, jadual kerja anjal wajar dilihat sebagai mekanisme penyesuaian sosioekonomi, bukan sekadar inovasi pengurusan sumber manusia.

Kenaikan harga minyak mentah global lazimnya diterjemahkan kepada peningkatan harga bahan api domestik, kos logistik dan harga barangan keperluan harian. Fenomena ini mencetuskan tekanan inflasi yang menjejaskan kuasa beli rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Struktur perbelanjaan isi rumah menjadi semakin tertekan apabila sebahagian besar pendapatan diperuntukkan kepada keperluan asas seperti makanan, pengangkutan dan perumahan, sekali gus menunjukkan bahawa krisis tenaga turut memberikan kesan langsung kepada kesejahteraan isi rumah.

Dalam persekitaran kos operasi yang meningkat, organisasi cenderung melaksanakan langkah pengoptimuman seperti mengehadkan pengambilan pekerja, menstrukturkan semula waktu kerja dan mengawal perbelanjaan tenaga kerja.

Jadual kerja anjal muncul sebagai pendekatan yang berupaya mengimbangi keperluan pengurangan kos dengan pengekalan tenaga kerja. Melalui pengurangan kebergantungan pada operasi fizikal sepenuhnya, organisasi dapat menjimatkan kos utiliti, penyelenggaraan premis dan logistik, sekali gus meningkatkan ketahanan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Dari perspektif pekerja, kenaikan harga bahan api meningkatkan kos perjalanan harian, sama ada melalui penggunaan kenderaan persendirian atau pengangkutan awam. Dalam konteks bandar besar, keadaan ini memberikan tekanan tambahan kepada isi rumah.

Pelaksanaan kerja dari rumah atau waktu kerja fleksibel dapat mengurangkan kebergantungan pada perjalanan harian, sekali gus menjimatkan kos dan masa, serta meningkatkan kesejahteraan hidup.

Namun demikian, pelaksanaan jadual kerja anjal perlu diurus dengan berhati-hati kerana fleksibiliti yang tidak terkawal boleh menjejaskan keseimbangan antara kerja dengan kehidupan peribadi dan meningkatkan beban kerja tidak formal.

Terdapat juga risiko pemindahan beban kepada pekerja melalui pengurangan jam kerja tanpa pampasan setimpal. Oleh itu, pelaksanaan pendekatan ini perlu disokong oleh garis panduan yang jelas, serta perlindungan buruh yang mencukupi.

Dalam masa yang sama, krisis tenaga global mempercepat transformasi ke arah digitalisasi dan penggunaan teknologi. Keberkesanan jadual kerja anjal bergantung pada keupayaan memanfaatkan teknologi digital bagi menyokong komunikasi dan produktiviti.

Jurang digital menjadi cabaran utama apabila sebahagian pekerja tidak mempunyai akses kepada infrastruktur atau kemahiran yang mencukupi, sekali gus berisiko terpinggir daripada manfaat fleksibiliti kerja. Usaha meningkatkan literasi digital dan akses teknologi amat penting bagi memastikan pelaksanaan yang inklusif.

Implikasi sosioekonomi turut melibatkan perubahan dalam struktur keluarga dan komuniti. Fleksibiliti kerja berpotensi meningkatkan keseimbangan kehidupan dengan memberikan lebih masa bersama-sama keluarga, namun juga boleh mengaburkan sempadan antara ruang kerja dengan peribadi, khususnya bagi isi rumah berpendapatan rendah yang tinggal dalam ruang terhad. Oleh itu, pendekatan dasar perlu mengambil kira kepelbagaian realiti sosial pekerja.

Dalam konteks Malaysia, kesan krisis tenaga global memerlukan pendekatan strategik dan bersepadu. Sebagai ekonomi terbuka yang terdedah kepada turun naik harga global, pelaksanaan jadual kerja anjal boleh menjadi sebahagian daripada strategi mitigasi, namun perlu disokong oleh dasar lain seperti subsidi bersasar, pembangunan pengangkutan awam dan peningkatan kecekapan tenaga bagi mengurangkan tekanan kos terhadap rakyat.

Aspek keadilan sosial juga perlu diberi perhatian kerana tidak semua sektor mampu melaksanakan fleksibiliti kerja, khususnya sektor yang memerlukan kehadiran fizikal seperti pembuatan dan pembinaan.

Dalam situasi ini, jurang antara pekerja yang mempunyai akses kepada fleksibiliti dengan yang tidak berpotensi melebar. Oleh itu, intervensi dasar perlu memastikan agihan manfaat yang lebih saksama, termasuk melalui sokongan kewangan atau insentif kepada sektor terjejas.

Secara keseluruhannya, krisis bahan api global yang berpunca daripada konflik geopolitik memperlihatkan hubungan yang kompleks antara tenaga dengan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Jadual kerja anjal muncul sebagai mekanisme penting dalam menyokong ketahanan organisasi dan kesejahteraan pekerja, namun keberkesanannya bergantung pada pelaksanaan yang inklusif, sokongan dasar yang komprehensif, serta keupayaan menangani jurang sosial. Dalam jangka masa panjang, pendekatan ini perlu dilihat sebagai sebahagian daripada transformasi ekonomi ke arah sistem yang lebih mampan, adil dan berdaya tahan.

YBrs. Dr. Mohd Ridwan Abd Razak dan YBrs. Dr. Subramaniam a/l Kolandan, Pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi