Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSejarah ekonomi masyarakat Melayu di Pantai Timur Malaysia memperlihatkan bahawa emas bukan sekadar barangan perhiasan yang bernilai dalam konteks budaya, malah turut berperanan sebagai aset ekonomi yang penting kepada masyarakat tempatan.
Warisan masyarakat Melayu di Pantai Timur membuktikan bahawa emas pernah digunakan sebagai medium pertukaran bernilai dalam urus niaga antara penjual dengan pembeli. Warisan ekonomi ini dapat dilihat dalam kalangan penjaja kecil terdahulu yang menjalankan perniagaan di pasar besar sekitar negeri Terengganu dan Kelantan. Dalam konteks tersebut, emas digunakan sebagai aset jaminan untuk mendapatkan pinjaman kewangan bagi membiayai urus niaga mereka.
Bagi masyarakat yang memiliki aset simpanan peribadi pula, barangan kemas menjadi satu daripada bentuk simpanan harta yang boleh dimanfaatkan nilai kewangannya pada masa hadapan. Kesemua keadaan ini membuktikan bahawa hubungan antara perdagangan harian dengan sistem kewangan tradisional telah wujud dalam sejarah ekonomi masyarakat Melayu di Pantai Timur.
Operasi kebanyakan peniaga kedai emas di Pantai Timur yang terletak berhampiran dengan pasar besar membuktikan bahawa hubungan transaksi tersebut memberikan kemudahan yang signifikan kepada masyarakat pengguna dan penjaja.
Kedudukan ini membolehkan mereka membeli dan menjual semula emas kepada pengusaha kedai emas dengan lebih mudah. Hubungan yang erat antara pengguna dengan penjaja dan pengusaha kedai emas mencerminkan suatu jaringan strategik dalam aktiviti perdagangan harian yang berkaitan dengan pengurusan aset kewangan tradisional dalam masyarakat Melayu.
Bagi mengekalkan warisan ekonomi tradisional ini, masyarakat di Terengganu dan Kelantan menjalin hubungan rapat dengan beberapa buah kedai emas yang menjadi pilihan mereka. Antaranya termasuklah Kedai Emas Wan Endut, Kedai Emas Haji Ismail, Kedai Emas Che Yah, Kedai Emas Nik Abdullah, Kedai Emas Wan Daud dan Kedai Emas Mat Ali yang beroperasi dengan jayanya di sekitar pasar besar.
Apabila warisan ekonomi tradisional di Pantai Timur semakin berkembang, keadaan ini turut menarik perhatian pengusaha Cina untuk menyediakan perkhidmatan pinjaman kewangan melalui pajak gadai emas kepada masyarakat.
Perkhidmatan kewangan ini bukan sahaja memberikan kemudahan pinjaman kepada pengguna, malah turut membuka peluang kepada penjaja untuk memperoleh modal bagi melancarkan aktiviti perdagangan mereka di pasar. Dalam konteks ini, pajak gadai berfungsi sebagai institusi kewangan tradisional yang menjadikan emas sebagai aset bernilai untuk dicagarkan oleh pengguna dan penjaja.
Interaksi kewangan tradisional ini bukan sahaja memberikan keuntungan kepada pengusaha pajak gadai, malah turut menyumbang kepada kestabilan ekonomi tempatan. Secara tidak langsung, warisan ekonomi ini membentuk budaya kewangan yang tersendiri berasaskan kepercayaan dan tanggungjawab antara kaum, sekali gus memperkukuh hubungan ekonomi dan sosial dalam masyarakat.
Fenomena ini menunjukkan bahawa warisan kewangan di Pantai Timur melalui proses asimilasi daripada pengurusan kewangan tradisional kepada sistem yang lebih tersusun dan berinstitusi. Pajak gadai bukan sahaja berfungsi sebagai institusi pinjaman jangka masa pendek bagi memenuhi keperluan kewangan masyarakat, malah turut menyediakan perkhidmatan pengurusan aset peribadi, khususnya emas. Kefahaman dan kepercayaan masyarakat Melayu terhadap perkhidmatan pajak gadai memperlihatkan bahawa mereka semakin bijak memanfaatkan aset simpanan sebagai sumber kecairan kewangan.
Masyarakat mula mengurus kewangan dengan lebih berhemah apabila berhadapan dengan keperluan mendesak, sama ada untuk perniagaan, keluarga mahupun kecemasan. Situasi ini turut menyedarkan masyarakat bahawa emas bukan sekadar perhiasan diri, sebaliknya juga merupakan aset kewangan dalam sistem ekonomi mereka. Oleh itu, kewujudan institusi pajak gadai dapat dilihat sebagai bentuk penyesuaian masyarakat terhadap keperluan ekonomi semasa di samping mengekalkan unsur tradisi dalam pengurusan aset kewangan.
Sejarah Melayu turut mencatatkan bahawa budaya niaga masyarakat Melayu di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu telah terbentuk sejak zaman awal kerajaan Langkasuka dan Pan Pan. Perkembangan budaya niaga di wilayah ini semakin ketara sekitar abad ke-14 apabila kawasan tersebut muncul sebagai pusat perdagangan penting yang berhubung dengan pedagang dari China, India dan Kepulauan Melayu.
Perkembangan ini membentuk warisan ekonomi tersendiri melalui kewujudan pasar besar di Pantai Timur yang menjadi asas kegiatan ekonomi sehingga abad ke-19. Melalui aktiviti perdagangan tersebut, masyarakat tempatan terlibat secara aktif dalam jaringan ekonomi setempat. Jaringan ini mempertemukan peniaga tempatan, penjaja dan masyarakat pengguna yang membeli barangan tempatan, hasil pertanian dan hasil laut.
Beberapa pasar yang beroperasi di kawasan muara laut sehingga kini menjadi teras aktiviti ekonomi tradisional, seperti Pasar Besar Payang, Pasar Chabang Tiga, Pasar Marang dan Pasar Dungun di Terengganu, serta Pasar Besar Siti Khadijah, Pasar Pasir Puteh dan Pasar Besar Tumpat di Kelantan.
Dalam konteks inilah kedai emas muncul sebagai satu daripada komponen penting dalam sistem niaga masyarakat. Kedai emas bukan sahaja menjadi tempat jual beli emas, malah berfungsi sebagai ruang penyimpanan aset yang membolehkan masyarakat membeli, menjual dan menyimpan emas secara teratur.
Pada masa yang sama, pajak gadai turut muncul sebagai institusi penting dalam ekonomi tradisional dengan menyediakan kemudahan pinjaman bercagar emas. Kemudahan ini membolehkan masyarakat mengekalkan kecairan kewangan tanpa perlu melepaskan nilai tradisi mereka. Secara tidak langsung, jaringan niaga antara penjaja di pasar dengan kedai emas dan pajak gadai menggambarkan asimilasi antara nilai tradisi dengan sistem ekonomi yang lebih teratur di Pantai Timur.
Rantaian budaya ekonomi di Pantai Timur juga membentuk warisan ekonomi yang tersendiri. Hal ini selari dengan teori rantaian perniagaan yang menekankan bahawa setiap pelaku dalam sistem ekonomi saling bergantung dan memainkan peranan tertentu bagi memastikan aliran barangan, perkhidmatan dan nilai ekonomi dalam sesuatu rangkaian.
Dalam konteks ini, pengusaha kedai emas berfungsi sebagai institusi perniagaan yang menyokong perdagangan, simpanan aset dan kesinambungan ekonomi komuniti Pantai Timur.
Masyarakat tempatan pula berperanan sebagai pengguna dan peniaga yang menyokong ekosistem warisan ekonomi tersebut. Hubungan sinergi ini memperlihatkan bahawa ekonomi tradisional di Pantai Timur bukan sekadar melibatkan transaksi perdagangan, sebaliknya membentuk jaringan yang menggabungkan aspek kewangan, sosial dan budaya.
Secara keseluruhannya, semua pihak berkepentingan dalam ekosistem ekonomi tradisional ini memainkan peranan strategik dalam membentuk sistem ekonomi yang saling menyokong antara satu sama lain.
Pada masa ini, kerajaan melalui Kementerian Kewangan Malaysia telah memperkenalkan konsep Ar-Rahnu pada 21 Ogos 1993. Melalui integrasi sistem Ar-Rahnu yang menyediakan kemudahan pembiayaan patuh syariah, masyarakat dan penjaja berpeluang mendapatkan pinjaman segera dengan menggadaikan emas sebagai cagaran tanpa melibatkan unsur riba, selaras dengan prinsip kewangan Islam.
Konsep Ar-Rahnu menambah dimensi baharu dalam sistem kewangan ini kerana menyediakan platform pinjaman bercagar emas yang patuh syariah. Sistem ini amat relevan bagi komuniti Pantai Timur yang menganggap emas bukan sahaja sebagai perhiasan, tetapi juga sebagai aset simpanan dan instrumen kewangan tradisional.
Melalui Ar-Rahnu, penjaja dan peniaga kedai emas dapat mengurus modal dengan lebih berkesan, manakala masyarakat setempat dapat memenuhi keperluan kewangan mereka secara beretika dan selaras dengan nilai Islam. Dengan demikian, sistem pajak gadai Islam ini bukan sahaja menyokong kelangsungan perniagaan dan ekonomi tempatan, malah turut mengekalkan unsur tradisi dan budaya dalam amalan ekonomi masyarakat.
Secara keseluruhannya, gabungan peranan pengguna dengan penjaja, pengusaha kedai emas, institusi pajak gadai dan prinsip Ar-Rahnu memperlihatkan satu model warisan ekonomi yang lestari, beretika dan berakar pada tradisi, serta nilai agama Islam. Kesinambungan ekonomi tradisional ini membolehkan masyarakat mengekalkan warisan niaga mereka, sekali gus menyokong kemakmuran berterusan dalam kerangka pembangunan ekonomi moden.