Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPelancaran Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) telah mengangkat Sabah sebagai antara nadi utama dalam peta ekonomi biru negara. Tatkala Malaysia melangkah ke fasa Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), aspirasi mentransformasikan sumber marin sebagai enjin pertumbuhan bernilai tinggi menjadi semakin mendesak.
Namun begitu, bagi sebuah negeri yang memiliki garis pantai yang panjang, serta dikelilingi Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Celebes, persoalan utama bukan sekadar potensi keuntungan. Yang lebih penting ialah keupayaan kerangka perundangan sedia ada untuk menjamin kestabilan pelaburan dan menegakkan keadilan sosial.
Dengan khazanah biodiversiti marin yang kaya, pembangunan ekonomi biru di Sabah membawa implikasi besar terhadap rakyat dan alam sekitar. Melalui pendekatan ini, pemanfaatan lestari sumber “emas biru” dapat direalisasikan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, meningkatkan taraf hidup, mencipta peluang pekerjaan, serta memelihara kelestarian ekosistem marin.
Cadangan pembangunan Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat dijangka menarik pelaburan tempatan dan antarabangsa, bukan sahaja dalam industri pengeluaran dan pemprosesan hasil laut, malah sebagai hab teknologi marin, serta tenaga boleh baharu. Inisiatif ini berpotensi memperkukuh rantaian nilai industri berasaskan laut secara menyeluruh.
Walau bagaimanapun, pembangunan ekonomi biru tidak harus dilihat sebagai perlumbaan mengejar keuntungan semata-mata. Pembangunan ini perlu didasari prinsip Keadilan Biru, yakni memastikan pembangunan infrastruktur maritim dan zon ekonomi baharu memberikan manfaat yang saksama kepada rakyat, khususnya komuniti pesisir.
Kelulusan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2025 pula mengembalikan autonomi Sabah dalam merancang pembangunan industri perikanan, selaras dengan kedudukannya sebagai hab tuna dan perikanan laut dalam.
Meskipun Sabah berpotensi menjadi hab makanan laut negara, undang-undang mesti berfungsi sebagai pelindung agar sektor ini tidak dimonopoli entiti korporat besar sehingga meminggirkan nelayan kecil di Sandakan, Semporna dan Kudat.
Dalam masa yang sama, pertindihan bidang kuasa, serta kepelbagaian aktiviti di perairan Sabah menimbulkan cabaran tadbir urus. Fragmentasi antara agensi persekutuan dengan negeri yang mempunyai mandat berbeza boleh merencatkan kemasukan pelabur strategik serta menimbulkan ketidakpastian dasar.
Sehubungan dengan itu, Sabah memerlukan model Perancangan Spatial Marin (MSP) yang lebih bersepadu dan integratif. Tanpa penyelarasan undang-undang yang menyeluruh, pembangunan sektor baharu seperti akuakultur berteknologi tinggi berisiko mencetuskan konflik ruang dengan komuniti pesisir, khususnya nelayan kecil yang sekian lama bergantung pada sumber tradisional.
Sinergi Pelan Tindakan Ekonomi Biru di bawah RMK-13 hendaklah mengambil kira realiti geopolitik dan geografi Sabah. Berteraskan semangat Perjanjian Malaysia 1963, penggubalan kerangka perundangan yang lebih mandiri bagi mengemudi ekonomi biru Sabah wajar dilihat sebagai manifestasi federalisme yang bersepadu, sekali gus memperkukuh autonomi negeri dalam mengurus ruang dan sumber wilayahnya.
Autonomi ini bukan bertujuan mewujudkan persaingan, sebaliknya meningkatkan kecekapan dan keanjalan pengurusan sumber setempat secara lebih responsif.
Ternyata, masa hadapan ekonomi Sabah bergantung pada keupayaannya menyeimbangkan antara eksploitasi ekonomi dengan kelestarian ekosistem. Dengan kerangka perundangan yang kukuh dan tadbir urus yang inklusif, “emas biru” ini bukan sahaja berupaya menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), malah menjadi simbol kemakmuran bersama bagi seluruh rakyat Negeri di Bawah Bayu.
Dr. Farahdilah Ghazali, Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia.