Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap kali laporan kenaikan harga barangan keperluan disiarkan, situasi tersebut sering dianggap sebagai fenomena sementara yang akan reda dengan sendirinya. Namun begitu, di sebalik turun naik harga dalam pasaran, tersembunyi satu isu yang jauh lebih besar dan bersifat struktural. Isu tersebut bukan sahaja menentukan kos sara hidup rakyat, malah turut mempengaruhi kestabilan ekonomi dan daya tahan sesebuah negara, khususnya dari segi keterjaminan makanan.
Dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu akibat ketegangan geopolitik, perubahan iklim yang ekstrem dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa, keterjaminan makanan telah berkembang daripada isu sektor pertanian semata-mata kepada tunjang utama keselamatan ekonomi negara.
Bagi negara yang mengamalkan ekonomi terbuka seperti Malaysia, perkara ini tidak lagi boleh dipandang enteng. Kebergantungan pada import makanan terus meningkat dan mencecah RM78.79 bilion pada tahun 2023.
Tahap kebergantungan yang tinggi ini mendedahkan ekonomi negara kepada risiko kejutan harga global dan turun naik kadar pertukaran mata wang. Keadaan tersebut akhirnya memberikan kesan langsung kepada inflasi domestik.
Inflasi makanan yang membentuk hampir 30 peratus daripada pengiraan Indeks Harga Pengguna (IHP) amat dipengaruhi oleh pergerakan harga dalam pasaran antarabangsa. Kedudukan Malaysia dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) yang merosot daripada tangga ke-33 pada tahun 2012 kepada ke-41 pada tahun 2022 (GFSI, 2022) menjadi petunjuk jelas bahawa satu anjakan dasar yang menyeluruh amat diperlukan.
Sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), transformasi sektor agromakanan tidak lagi bersifat pilihan dasar, sebaliknya menjadi satu keperluan strategik bagi memperkukuh ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Faktor Utama Kenaikan Harga Makanan
Walaupun pelbagai dasar dan inisiatif diperkenalkan, sektor agromakanan negara masih berdepan dengan beberapa cabaran struktur yang menjadi punca utama tekanan inflasi makanan.
Penggunaan tanah pertanian di Malaysia lebih banyak tertumpu pada tanaman industri seperti kelapa sawit yang meliputi lebih daripada lima juta hektar berbanding dengan hanya sekitar satu juta hektar sahaja bagi tanaman makanan. Tanaman agrokomoditi menawarkan pulangan yang lebih tinggi, sekali gus mengehadkan pelaburan swasta dalam subsektor makanan.
Keadaan tersebut diburukkan lagi dengan penurunan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian yang menyusut daripada 1.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2002 kepada hanya 0.85 peratus pada tahun 2017 (Nik Sharifulden, 2024). Akibatnya, kebergantungan pada import berterusan yang seterusnya mendedahkan pengguna kepada risiko “inflasi diimport” setiap kali harga komoditi global meningkat atau nilai ringgit melemah berbanding dengan mata wang utama dunia.
Tahap produktiviti buruh yang perlahan turut menimbulkan kebimbangan dalam sektor agromakanan. Kajian oleh Kamaruddin dan Abd. Rashid (2025) mendapati amalan pascatuaian di jelapang padi utama masih mempunyai kelemahan kritikal. Antaranya termasuklah kegagalan mengeringkan sawah sebelum penuaian yang mengakibatkan kehilangan hasil dalam jumlah besar.
Di samping itu, kelemahan dalam aspek logistik, penyimpanan dan pengedaran mewujudkan kos tambahan yang akhirnya dipindahkan kepada pengguna melalui harga makanan yang lebih tinggi.
Tahap pendigitalan dalam sektor pertanian masih ketinggalan berbanding dengan sektor lain. Kadar penggunaan Internet dalam pertubuhan pertanian direkodkan pada 72 peratus, jauh lebih rendah berbanding dengan sektor pembuatan yang mencapai 93 peratus (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2025).
Sebahagian besar petani berusia masih berdepan dengan kekangan modal dan literasi digital untuk mengadaptasi teknologi moden. Pada masa yang sama, sektor agromakanan gagal menarik minat golongan belia, sekali gus menimbulkan isu kesinambungan dan kekurangan tenaga kerja mahir dalam jangka masa panjang.
Teknologi di Bendang dan Kebun: Senjata Baharu Melawan Inflasi
Penggunaan teknologi di bawah kerangka Pertanian 4.0 menawarkan penyelesaian strategik yang wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan, pemain industri dan komuniti petani. Antara pendekatan utama termasuklah penerapan Internet Benda (IoT) melalui penggunaan sensor pintar yang membolehkan pengurusan air dan baja dilaksanakan secara lebih tepat dan optimum. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran input, malah berupaya menurunkan kos pengeluaran secara keseluruhan.
Selain itu, aplikasi kecerdasan buatan (AI) membolehkan ramalan awal serangan penyakit tanaman dilakukan melalui analisis data visual yang diperoleh daripada dron. Hasil analisis tersebut membolehkan penyemburan racun dilaksanakan secara bersasar, sekali gus meningkatkan keberkesanan kawalan penyakit dan mengurangkan kebergantungan pada penggunaan racun secara berlebihan.
Kaedah pertanian menegak turut muncul sebagai alternatif berpotensi tinggi, khususnya bagi tanaman bernilai tinggi. Kaedah ini membolehkan penanaman dilakukan dalam persekitaran terkawal walaupun di kawasan terhad, di samping mengurangkan keperluan tenaga kerja luar dan kos pengangkutan. Pendekatan sedemikian mampu menyumbang kepada kestabilan bekalan makanan bandar dan mengurangkan tekanan harga dalam pasaran.
Pada peringkat hiliran pula, penggunaan teknologi blok rantai (blockchain) membolehkan setiap produk makanan dikesan dan dipantau secara telus bermula dari peringkat semaian, tuaian di ladang sehingga pengguna akhir. Ketelusan rantaian bekalan ini dapat meningkatkan keyakinan pengguna dan mengurangkan risiko manipulasi harga.
Pada masa yang sama, platform e-dagang membuka ruang kepada jualan terus daripada pengeluar kepada pengguna, sekali gus memutuskan peranan orang tengah yang sering menjadi punca ketirisan nilai dan kenaikan harga tidak munasabah.
Namun demikian, proses adaptasi teknologi pertanian tidak boleh dilaksanakan secara terpisah. Usaha tersebut memerlukan tindakan bersepadu yang melibatkan kerajaan, syarikat pertanian swasta dan pekebun kecil. Tanpa kerjasama menyeluruh, penyelesaian yang bersifat holistik sukar dicapai.
Sehubungan dengan itu, pelaburan dalam infrastruktur digital, khususnya penyediaan Internet jalur lebar di kawasan luar bandar perlu dipercepat. Program peningkatan celik digital dalam kalangan petani juga wajar diperkukuh bagi memastikan teknologi dapat dimanfaatkan secara berkesan.
Dalam konteks pembangunan jangka panjang, usaha merancakkan semula aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian tempatan perlu diberi keutamaan. Walaupun pelbagai agensi pertanian di Malaysia melaksanakan inisiatif inovasi, ketiadaan pangkalan data bersepadu pada peringkat kementerian yang berkaitan dengannya menyebabkan hasil inovasi gagal dimanfaatkan secara optimum. Kekurangan penyelarasan ini berpotensi membantutkan pemindahan teknologi kepada pemain industri dan petani di lapangan.
Oleh yang demikian, reformasi dasar pertanian perlu memberikan penekanan terhadap penstrukturan semula subsidi input kepada bentuk insentif teknologi dan amalan lestari, khususnya bagi petani dan pekebun kecil. Bagi sektor swasta pula, proses libat urus yang lebih kerap antara kerajaan dengan pemain industri perlu dilaksanakan secara konsisten. Pada masa yang sama, ruang penilaian kendiri wajar diberikan bagi menggalakkan inovasi dan peningkatan kecekapan secara berterusan..
Memperkukuh Keterjaminan Makanan Negara
Keterjaminan makanan kini muncul sebagai isu strategik yang melangkaui keperluan asas, seterusnya menjadi teras kepada kestabilan ekonomi dan daya tahan negara. Keupayaan untuk menjamin bekalan makanan domestik mencerminkan tahap kebergantungan kendiri sesebuah negara dalam persekitaran global yang dibelenggu ketidaktentuan geopolitik, perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan.
Kemunculan teknologi pertanian 4.0 menawarkan peluang besar untuk melaksanakan anjakan struktur dalam sektor agromakanan. Teknologi seperti AI, IoT dan blok rantai bukan sahaja berupaya meningkatkan hasil dan kecekapan, malah berfungsi sebagai instrumen berkesan dalam mengekang tekanan inflasi makanan.
Namun begitu, teknologi hanyalah pemangkin kepada perubahan. Kejayaan sebenar bergantung pada keazaman politik, tadbir urus yang cekap dan pendekatan bersepadu merentas keseluruhan jentera kerajaan.
Sekiranya sektor agromakanan dapat dimodenkan berteraskan inovasi dan produktiviti, Malaysia bukan sekadar menjamin keselamatan bekalan makanan, malah berpotensi membina ekonomi yang lebih berdaya tahan, makmur dan sejahtera untuk seluruh rakyat.
Mohamad Fadhlullah Omar, Pegawai Ekonomi di Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Kementerian Kewangan Malaysia dan Profesor Dr. Amirul Afif Muhamat, Pensyarah dan Ketua Penyelidik RIG Climate Risk and Sustainable di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM).