Diterbitkan pada 1 Disember 2025, 09:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Industri getah menjadi antara tonggak utama ekonomi Malaysia, jauh lebih awal daripada kemunculan industri sawit sebagai penyumbang utama negara. Selain berperanan penting sebagai penyumbang eksport, sektor ini menyediakan sumber pendapatan kepada ratusan ribu pekebun kecil dan pekerja ladang di seluruh negara.

Namun begitu, data rasmi menunjukkan bahawa struktur pengeluaran getah Malaysia masih didominasi oleh pekebun kecil dan sangat bergantung kepada tenaga kerja asing untuk menjalankan aktiviti fizikal di ladang dan kawasan pedalaman.

Pada peringkat operasi, kekurangan tenaga kerja tempatan yang sanggup menoreh, menjaga pokok, serta menjalankan kerja penanaman dan pembajaan telah lama menjadi masalah kronik. Kebergantungan berterusan kepada pekerja asing, ditambah pula isu pendokumenan dan peraturan penghantaran wang pulang menimbulkan risiko jangka masa panjang terhadap kelangsungan pengeluaran negara.

Menurut data yang diperoleh penulis, Malaysia mempunyai keluasan tanaman getah berjumlah 1,679,000 hektar. Daripada keluasan ini, sebanyak 585,613 hektar ialah kebun milik 263,897 pekebun kecil manakala selebihnya dimiliki oleh agensi kerajaan dan syarikat swasta. Sama seperti industri sawit yang meliputi 4,691,160 hektar, sektor getah turut bergantung kepada tenaga kerja asing, terutamanya dari Indonesia, Kemboja dan Bangladesh untuk menampung kekurangan pekerja tempatan.

Pekerja asing dari wilayah seperti Lombok Timur, Lombok Tengah, Lombok Utara dan Flores lazimnya dikaitkan dengan kerja mengait sawit, manakala tenaga kerja dari Jambi, Bengkulu, Bengkalis, Jawa, Madura dan Sulawesi lebih terkenal sebagai penoreh getah yang mahir. Pekerja Bangladesh pula lebih banyak terlibat dalam kerja sokongan seperti menebas, meracun dan membaja walaupun terdapat sebahagian kecil daripada mereka yang boleh menoreh.

Namun begitu, kebanyakan pekerja Bangladesh memerlukan pengawasan rapi dan memilih gaji tetap bulanan, sedangkan pekerja dari Indonesia dan Kemboja lebih cenderung terhadap kerja kontrak berdasarkan hasil. Ketiadaan mereka walau seketika akan memberikan kesan langsung terhadap pengeluaran getah negara. Situasi ini boleh bertambah buruk jika isu pendokumenan memaksa mereka pulang atau jika timbul halangan penghantaran wang ke negara asal seperti yang pernah berlaku susulan peraturan Bank Negara Malaysia pada 1 Mei 2017 yang didakwa menyukarkan proses tersebut.

Impak kekurangan tenaga kerja ini bukan sahaja dirasai oleh syarikat perladangan besar, tetapi juga pekebun kecil yang membentuk nadi sebenar industri. Di Pahang, kebun getah pekebun kecil meliputi 112,446 hektar dengan 40,343 pemilik, Kedah mempunyai 106,491 hektar (47,604 pekebun) manakala Kelantan 87,941 hektar (46,709 pekebun).

Keadaan yang sama turut berlaku di Perak, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Melaka, Selangor, Perlis dan Pulau Pinang. Jika pekerja asing meninggalkan negara ini, ladang besar akan berdepan dengan kekurangan tenaga kerja mendesak untuk operasi harian, manakala pekebun kecil pula menghadapi risiko pokok getah tidak ditoreh, hasil terbazir dan pendapatan terjejas seperti isu buah sawit busuk di pokok dalam sektor sawit.

Pada masa sama, negara serantau seperti Thailand, Vietnam dan Laos semakin agresif meluaskan sektor getah mereka. Sekiranya tenaga mahir asing yang selama ini membina kemahiran di Malaysia berhijrah ke negara tersebut, tidak mustahil kedudukan Malaysia sebagai pengeksport getah utama dunia akan diambil alih dalam masa terdekat.

Bagi mengurangkan pergantungan berterusan kepada tenaga kerja asing dan membina semula asas tenaga kerja tempatan yang berdaya saing, penulis mencadangkan penubuhan Kolej Latihan Kemahiran Industri Getah (KLKIG). Kolej ini boleh diletakkan di bawah kelolaan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

KLKIG berfungsi melatih tenaga kerja tempatan dalam kemahiran menoreh profesional, termasuk teknik torehan berkualiti tinggi, pengurusan kesihatan pokok dan kawalan penyakit tanaman. Latihan turut merangkumi pengurusan ladang moden yang menggunakan teknologi seperti penderiaan jauh, aplikasi pemantauan digital dan automasi proses pengumpulan lateks.

Selain itu, latihan keusahawanan juga penting supaya lepasan kolej bukan sahaja menjadi pekerja mahir, tetapi juga pengusaha pekebun kecil berpendapatan tinggi. Bagi mengukuhkan penyertaan, KLKIG boleh menawarkan insentif seperti elaun pedalaman, skim pinjaman mikro untuk memulakan projek getah, serta jaminan pasaran hasil melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Struktur modul latihan KLKIG pula perlu disusun secara holistik dengan gabungan teori, amali dan pembelajaran lapangan. Modul utama merangkumi kemahiran teknikal menoreh, penjagaan pokok, kawalan penyakit, serta pemilihan dan kaedah pembajaan efisien; pengurusan ladang dan teknologi termasuk penggunaan dron, sistem penderiaan jauh dan automasi; serta modul keusahawanan yang memberikan pendedahan kepada rantaian nilai getah, pembuatan produk hiliran, standard eksport dan strategi pemasaran melalui koperasi pekebun kecil.

Sektor getah juga berdepan dengan cabaran besar untuk menarik minat golongan belia yang masih mempunyai persepsi negatif terhadap pekerjaan ladang. Oleh itu, strategi tersusun diperlukan, termasuk insentif kewangan awal seperti biasiswa dan elaun latihan, kempen media sosial yang mempromosikan imej profesional industri getah, pensijilan kemahiran bertaraf antarabangsa, latihan hibrid yang fleksibel, serta jaminan penempatan kerja melalui syarikat perladangan besar dan koperasi.

Dari segi kos, anggaran pembangunan KLKIG berjumlah RM50 juta hingga RM70 juta merangkumi pembinaan kampus dan infrastruktur, manakala kos operasi tahunan dianggarkan RM15 juta hingga RM20 juta. Dengan pengambilan tahunan sekitar 500 orang pelajar hingga 1,000 orang pelajar, pelaburan ini dijangka memberikan pulangan dalam tempoh lima tahun hingga tujuh tahun melalui pengurangan kebergantungan kepada pekerja asing sebanyak 20 peratus hingga 30 peratus.

Pelaksanaan KLKIG memerlukan sinergi kukuh antara KPK sebagai peneraju dasar dengan LGM sebagai pembangun sukatan pelajaran teknikal, KESUMA bagi pensijilan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), syarikat perladangan sebagai penyedia latihan industri, serta koperasi pekebun kecil sebagai platform pemasaran hasil. Hanya melalui kolaborasi menyeluruh inilah sektor getah dapat dibangunkan semula secara mampan.

Malaysia berdepan dengan dilema besar sama ada terus bergantung kepada tenaga kerja asing yang semakin mahal dan terdedah kepada risiko geopolitik atau membina ekosistem tenaga kerja tempatan yang mahir. Penubuhan KLKIG bukan sahaja menjadi langkah strategik mengurangkan kebergantungan tersebut, tetapi juga satu pelaburan jangka masa panjang untuk melahirkan generasi baharu profesional industri getah yang mampu mengembalikan keunggulan Malaysia dalam pasaran global. Jika langkah proaktif tidak diambil segera, tidak mustahil negara akan kehilangan kedudukan kepada jiran serantau yang kini lebih rancak memodenkan sektor getah mereka.

Penulis ialah kontraktor pembekalan tenaga kerja di sektor perladangan.

 

Kredit Foto: jcomp (Freepik)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi