Diterbitkan pada 9 November 2025, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perbincangan mengenai reformasi fiskal semakin mendapat perhatian masyarakat, terutamanya dalam konteks usaha kerajaan untuk menstabilkan kedudukan kewangan negara. Ahli ekonomi sering menekankan kepentingan memastikan kadar defisit fiskal berada pada paras yang terkawal.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen dan tumpuan untuk menurunkan kadar defisit fiskal kepada bawah tiga peratus menjelang tahun 2030 seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang dibentangkan pada 31 Julai 2025. Hal ini berikutan kelulusan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (AKTA 850) pada 27 November 2023 menetapkan bahawa kadar defisit fiskal (baki fiskal) kepada keluaran dalam negeri kasar perlu berada di bawah tiga peratus dalam tempoh antara tiga tahun hingga lima tahun.

Namun begitu, sejauh manakah masyarakat memahami maksud sebenar defisit fiskal? Secara mudah, defisit fiskal merujuk keadaan apabila perbelanjaan melebihi pendapatan yang diterima. Sebagai contoh, bayangkan seorang pekerja yang baharu memulakan kerjaya dengan gaji sekitar RM1,500 sebulan. Jika perbelanjaan asas kehidupannya ialah sekitar RM1,632, maka terdapat defisit sebanyak RM132. Dalam kes ini, individu tersebut perlu mencari sumber pendapatan tambahan bagi menampung defisit tersebut. Sebaliknya, jika pendapatan melebihi perbelanjaan, hal ini dinamakan lebihan fiskal.

Defisit ini perlu ditampung sama ada dengan mengurangkan perbelanjaan atau dengan membuat pinjaman. Begitu juga dengan kerajaan apabila berlaku defisit fiskal. Kerajaan tiada pilihan selain meminjam untuk menampung jurang tersebut. Jika pinjaman digunakan untuk perbelanjaan mengurus seperti emolumen dan subsidi, keadaan ini ibarat seseorang terpaksa berhutang hanya untuk membeli makanan. Ternyata, perkara ini merupakan situasi yang membimbangkan dan mencerminkan ketidakcekapan dalam pengurusan kewangan.

Statistik menunjukkan bahawa hasil negara masih melebihi perbelanjaan mengurus (OE), namun untuk menampung perbelanjaan pembangunan (DE), kerajaan perlu mencari sumber tambahan sama ada melalui pinjaman domestik atau antarabangsa. Tanpa pengurusan yang baik, kerajaan mungkin terpaksa meminjam bagi membiayai perbelanjaan mengurus.

Dalam konteks fiskal, dua komponen utama yang sering menjadi tumpuan ialah cukai dan subsidi. Cukai merupakan sumber utama hasil negara, manakala subsidi ialah komponen besar dalam perbelanjaan mengurus selepas emolumen. Masyarakat lazimnya lebih cenderung untuk mengurangkan cukai, serta meningkatkan subsidi, namun realitinya tidak semudah itu. Setiap bentuk subsidi yang diberikan oleh kerajaan adalah bersumberkan hasil negara, terutamanya daripada kutipan cukai sama ada langsung mahupun tidak langsung. Maka, jika subsidi ingin ditingkatkan, hasil negara juga perlu ditambah dan hal ini lazimnya melalui peningkatan cukai.

Peningkatan subsidi tanpa kenaikan hasil negara merupakan satu delusi. Sebagai analogi, bayangkan seorang individu yang berpendapatan RM1,900 sebulan. Jika beliau berbelanja RM63 sehari, kewangannya masih terkawal. Namun begitu, jika beliau berbelanja RM100 sehari, beliau perlu mengurangkan perbelanjaan pada hari lain atau mencari pendapatan tambahan. Begitu juga dengan kerajaan; jika subsidi ditambah, perlu ada peningkatan hasil atau perbelanjaan lain yang boleh dikurangkan.

Oleh itu, kerajaan berada di persimpangan pilihan sama ada mengekalkan kadar defisit fiskal yang rendah melalui reformasi fiskal sebagaimana dalam RMK-13 demi masa hadapan negara atau terus berbelanja besar melalui pengagihan subsidi. Cabaran utama kerajaan ialah memastikan golongan rentan terus mendapat manfaat walaupun ruang fiskal semakin terhad. Reformasi fiskal boleh mengambil kira dua komponen utama, iaitu subsidi dan cukai.

Dalam hal subsidi, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh kerajaan sebagai langkah awal reformasi fiskal dalam usaha menstrukturkan semula perbelanjaan negara agar lebih cekap, bersasar dan berimpak tinggi. Antara inisiatif utama termasuklah Sistem Kawalan Diesel Bersepadu dan yang terbaharu subsidi bersasar petrol RON95 yang dikenali sebagai BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Langkah ini bertujuan memastikan perbelanjaan kerajaan lebih tersasar kepada golongan yang berhak menerima, sekali gus mengurangkan ketirisan yang selama ini berlaku akibat subsidi pukal yang tidak berkesan. Subsidi pukal sering kali dinikmati oleh bukan warganegara menyebabkan kerajaan menanggung kos yang tinggi tanpa pulangan yang sepadan.

Sebagai contoh, pelaksanaan BUDI95 yang diumumkan pada 22 September 2025 dan mula dilaksanakan pada 30 September 2025 mendapat sambutan positif daripada masyarakat. Warganegara sahaja menikmati penjimatan sebanyak enam sen bagi setiap liter petrol terhad kepada 300 liter sebulan yang menjadikannya lebih bersasar dan adil.

Dari perspektif kerajaan, pelaksanaan subsidi bersasar ini membolehkan penjimatan besar dalam perbelanjaan negara. Menurut kenyataan Menteri Kewangan II, kerajaan dijangka dapat menjimatkan kos antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun hasil daripada penstrukturan semula subsidi RON95. Penjimatan ini bukan sahaja mengurangkan beban fiskal, tetapi juga membuka ruang kepada kerajaan untuk menyalurkan lebihan dana kepada sektor yang lebih kritikal.

Lebih penting lagi, penjimatan ini menyumbang secara langsung kepada usaha mengurangkan kadar defisit fiskal negara ke paras yang lebih sihat. Hal ini menunjukkan bahawa reformasi fiskal bukan sekadar tentang pengurangan perbelanjaan, tetapi tentang penyusunan semula keutamaan fiskal agar setiap ringgit yang dibelanjakan memberikan pulangan sosial dan ekonomi yang optimum. Inisiatif seperti BUDI95 juga mencerminkan keupayaan kerajaan untuk mengimbangi antara tanggungjawab sosial dengan disiplin fiskal yang ketat. Dengan pendekatan subsidi bersasar, kerajaan masih dapat membantu rakyat yang memerlukan tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara secara keseluruhan.

Perkara ini ialah contoh terbaik cara reformasi fiskal boleh dilaksanakan secara berperingkat dan pragmatik tanpa menimbulkan kejutan ekonomi kepada rakyat. Namun begitu, perlaksanaannya adalah optimum jika ketirisan dapat ditambah baik dari masa ke masa berdasarkan maklum balas yang diterima.

Selain memastikan pengagihan subsidi dilakukan secara lebih bersasar, usaha untuk meningkatkan hasil negara juga perlu diberi tumpuan selaras dengan pertumbuhan ekonomi dalam negara yang dapat dilihat melalui peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Peningkatan dalam pendapatan cukai langsung dan tidak langsung sangat diperlukan bagi mengimbangi tuntutan perbelanjaan atau subsidi yang turut meningkat. Hal ini demikian kerana dengan peningkatan hasil yang lebih signifikan, subsidi boleh diagihkan dengan lebih banyak secara bersasar sebagai mekanisme untuk membantu masyarakat.

Sebagai langkah untuk meningkatkan hasil negara, penggunaan teknologi dalam sistem cukai negara secara langsung dapat memperkukuh pentadbiran cukai dan meningkatkan kecekapan. Pelaksanaan e-invois misalnya, merupakan satu daripada langkah reformasi fiskal yang penting dalam mengatasi ketirisan cukai. Di sebalik peningkatan hasil negara, kerajaan tidak boleh terlalu bergantung pada sesuatu sumber pendapatan bagi memastikan keadaan kewangan tidak terlalu rapuh.

Ternyata, dengan pendekatan yang adil, bersasar dan berhemat, reformasi fiskal boleh menjadi landasan untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi negara secara berterusan. Hal ini menjawab persoalan utama bahawa tiada pilihan perlu dibuat antara reformasi fiskal atau tanggungjawab kepada rakyat kerana kedua-duanya adalah penting demi menghadiahkan negara yang lebih baik kepada generasi akan datang. Reformasi fiskal bukan sekadar perubahan sistem, tetapi satu tindakan bertanggungjawab demi rakyat dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

 

Kredit Foto: jannoon028 (Freepik)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi