Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTahun 2025 menandakan satu detik bersejarah bagi Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) apabila Malaysia satu daripada negara pengasas rantau ini kembali memegang peranan sebagai Pengerusi ASEAN buat kali kelima. Dalam dunia yang berdepan dengan pelbagai ketidaktentuan daripada kemelut geopolitik sehingga tekanan ekonomi global, Malaysia tampil memainkan peranan penting bagi memastikan Asia Tenggara terus kekal stabil, relevan dan progresif.
Di bawah kepengerusiannya, Malaysia memperkenalkan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” sebagai panduan utama sepanjang tahun kepimpinan ini. Tema ini bukan sekadar slogan semata-mata, malah mencerminkan satu komitmen strategik untuk menjamin manfaat pembangunan serantau agar dapat dinikmati secara adil oleh semua negara anggota tanpa ada yang tertinggal di belakang.
Melalui 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) ASEAN, Malaysia memberikan tumpuan kepada agenda yang menyokong daya tahan ekonomi jangka masa panjang ASEAN. Tumpuan ini bukan sahaja bertujuan memastikan ASEAN bersedia menghadapi masa hadapan yang mencabar, malah menjadikannya lebih berdaya tahan bagi menghadapi sebarang krisis. Sehingga Oktober 2025, Malaysia berjaya mencapai 17 PED di bawah kepengerusiannya, sekali gus menunjukkan kemajuan ketara bagi memperkukuh integrasi ekonomi serantau.
Meskipun dilanda ketidaktentuan ekonomi global, ASEAN di bawah pimpinan Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan. Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau ini diunjurkan mencecah 4.2 peratus pada tahun 2025. Tambahan pula, pelaburan langsung asing (FDI) ke ASEAN meningkat sebanyak lapan peratus pada tahun 2024 menjadikan jumlahnya USD226 bilion, iaitu suatu angka yang membuktikan keyakinan pelabur terhadap rantau ini sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan strategik.
Malaysia juga tidak memandang ringan terhadap potensi pasaran domestik ASEAN. Dengan populasi mencecah 680 juta orang yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan muda dan celik digital, ASEAN berada dalam kedudukan istimewa sebagai antara pasaran paling dinamik di dunia.
Sepanjang tempoh kepengerusiannya, Malaysia giat memperkukuh hubungan perdagangan intra-ASEAN, di samping memperluas kerjasama strategik dengan rakan dialog seperti Jepun, China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. Langkah ini amat penting dalam usaha menyelaras peraturan serantau, memperkukuh kapasiti industri tempatan dan menggalakkan daya tahan ekonomi jangka masa panjang yang lebih kukuh.
Namun demikian, peranan Malaysia tidak terhad kepada aspek ekonomi semata-mata. Sebagai jambatan diplomasi, Malaysia turut memainkan peranan penting bagi memastikan ASEAN kekal bersatu padu. Dalam ucapan sempena Majlis Makan Malam bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-57 di Kuala Lumpur pada 24 September lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Aziz menegaskan bahawa kekuatan ASEAN terletak pada keupayaannya bergerak pantas dengan semangat kebersamaan sebagai teras utama.
Malaysia turut menyuarakan sokongan penuh terhadap Filipina sebagai pengerusi ASEAN yang seterusnya. Malaysia menzahirkan kesediaan untuk berkongsi pengalaman, pelajaran bahkan “resipi makanan enak” yang merupakan simbolik kepada nilai kekeluargaan ASEAN yang tidak hanya tertumpu pada agenda rasmi, tetapi juga hubungan mesra yang tulus dan manusiawi.
Pendekatan ini memperlihatkan bahawa Malaysia menggabungkan elemen diplomasi ekonomi dan diplomasi budaya dalam kepimpinannya. Sebagai contoh, Majlis Makan Malam Gala bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-57 yang diadakan di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur bukan sekadar acara protokol, tetapi juga medan menonjolkan keindahan seni dan warisan budaya Malaysia kepada tetamu antarabangsa.
Kepimpinan Malaysia kali ini membuktikan bahawa sebuah kepengerusian dapat diangkat bukan hanya melalui strategi ekonomi, tetapi juga dengan sentuhan jiwa dan budaya. Hal ini menggambarkan wawasan kepimpinan yang menyeluruh yang merangkumi kekuatan struktur dan kelembutan nilai insaniah.
Lebih penting lagi, Malaysia membuktikan bahawa kepimpinan yang berasaskan nilai kemampanan dan keterangkuman bukan sahaja menguntungkan negara anggota ASEAN, malah turut meningkatkan keyakinan komuniti global terhadap ASEAN sebagai satu blok ekonomi dan politik yang berwibawa.
Malaysia tidak sekadar memimpin ASEAN pada tahun 2025 bahkan meninggalkan jejak kepimpinan yang akan dikenang sebagai satu titik tolak penting ke arah masa hadapan serantau yang lebih bersatu, lebih makmur dan jauh lebih inklusif berbanding dengan sebelumnya. Dalam dunia yang semakin kompleks, ASEAN yang berpaksikan semangat kebersamaan mempunyai potensi untuk bukan sahaja berdiri teguh, tetapi juga mencipta masa hadapan yang lebih baik untuk semua.