Diterbitkan pada 3 November 2025, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai pada 26 Oktober 2025 menandakan satu detik penting dalam sejarah hubungan ekonomi dua hala kedua-dua negara. Ditandatangani di Kuala Lumpur, perjanjian ini berteraskan semangat kerjasama untuk memperkukuh perdagangan, menghapuskan halangan tarif dan bukan tarif, serta menyelaraskan dasar keselamatan ekonomi dan perdagangan digital.

Perkara ini digubal berasaskan prinsip timbal balik dan muhibah demi memastikan pertumbuhan ekonomi yang saling menguntungkan. Namun demikian, di sebalik potensi besar yang dijanjikan, timbul persoalan sama ada perjanjian ini benar-benar mampu memperkukuh kedudukan ekonomi Malaysia tanpa mengorbankan kedaulatan dasar, serta autonomi negara atau sebaliknya.

Dari segi kedudukan semasa, hubungan perdagangan antara Malaysia dengan AS berada pada tahap yang amat kukuh. Menurut laporan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang diterbitkan pada Januari 2025, jumlah perdagangan dua hala bagi tahun 2024 mencecah RM324.91 bilion bersamaan dengan kira-kira USD68.9 bilion. Eksport Malaysia ke AS mencatat RM216.67 bilion (USD45.9 bilion), manakala import dari AS berjumlah RM108.24 bilion (USD23 bilion). Hal ini menjadikan Malaysia menikmati lebihan perdagangan sebanyak RM108.43 bilion (USD22.9 bilion).

Data daripada Office of the United States Trade Representative (USTR) dan United Nations Comtrade Database turut menunjukkan corak yang hampir sama dengan AS mencatat defisit perdagangan kira-kira USD24.9 bilion. Angka ini mengesahkan kedudukan Malaysia bukan sahaja sebagai antara rakan dagang utama AS di rantau ASEAN, tetapi juga sebagai negara yang menikmati kelebihan daya saing dalam sektor pembuatan dan eksport berteknologi tinggi.

Perjanjian baharu ini dijangka mengukuhkan lagi hubungan ekonomi tersebut. Berdasarkan Artikel 1.1 dan 1.2, kedua-dua negara bersetuju mengenakan kadar tarif timbal balik yang adil, serta memansuhkan sekatan kuantitatif mengikut prinsip Perjanjian Am Tarif dan Perdagangan (GATT) 1994. Langkah ini membuka ruang pasaran yang lebih luas kepada eksport Malaysia, khususnya dalam sektor pembuatan dan elektronik yang menyumbang lebih 80 peratus daripada keseluruhan eksport ke AS.

Pada tahun 2024 sahaja, sektor elektronik dan semikonduktor mencatat nilai eksport sebanyak USD28.43 bilion (RM133.9 bilion). Dengan peluasan akses pasaran dan pengurangan halangan perdagangan, nilai ini dijangka meningkat sekitar lima peratus setahun, berpotensi mencapai USD36 bilion (RM171 bilion) menjelang tahun 2030.

Sektor pertanian juga dijangka meraih manfaat besar daripada perjanjian ini. Produk seperti minyak sawit, getah asli dan hasil makanan berpeluang menembusi pasaran AS dengan lebih mudah selagi pematuhan terhadap piawaian teknikal dan fitosanitari seperti yang diperincikan dalam Artikel 2.3 dapat diselaraskan. Berdasarkan unjuran sederhana, nilai eksport pertanian Malaysia ke AS berpotensi meningkat daripada USD4 bilion (RM18.8 bilion) kepada USD6 bilion (RM28.3 bilion) dalam tempoh lima tahun hingga tujuh tahun akan datang.

Dari sudut pelaburan, Artikel 6.1 memperuntukkan kemudahan kepada pelaburan AS dalam sektor strategik seperti tenaga, telekomunikasi, pengangkutan, mineral kritikal dan infrastruktur. Pelaburan ini akan disokong oleh institusi kewangan utama AS seperti Export-Import Bank (EXIM Bank) dan U.S. International Development Finance Corporation (DFC) yang bersedia menyalurkan dana pembangunan di Malaysia.

Sebagai timbal balik, Malaysia berhasrat melabur sekitar USD70 bilion (RM330 bilion) di AS dalam tempoh sepuluh tahun akan datang. Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai rakan ekonomi global yang dipercayai, malah membuka peluang kepada pemindahan teknologi, peningkatan kapasiti tenaga hijau, serta pembangunan teknologi digital berasaskan kelestarian.

Selain peluang pelaburan dan perdagangan, perjanjian ini turut memperkenalkan dimensi baharu dalam aspek tadbir urus ekonomi, hak buruh dan perlindungan alam sekitar. Artikel 2.8 hingga Artikel 2.10 memperincikan komitmen Malaysia untuk menegakkan undang-undang buruh, memerangi buruh paksa dan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang alam sekitar mengikut piawaian antarabangsa. Komitmen ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), serta Deklarasi Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sekali gus meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang beretika dan lestari.

Sektor digital turut menjadi fokus utama. Artikel 3.1 dan 3.2 menetapkan bahawa Malaysia tidak boleh mengenakan cukai digital yang mendiskriminasikan syarikat AS, serta perlu memudahkan pemindahan data rentas sempadan dengan jaminan keselamatan siber yang dipersetujui bersama. Dasar ini seiring dengan agenda Rangka Tindakan MyDIGITAL (2021–2030) yang berhasrat menjadikan Malaysia hab ekonomi digital serantau. Namun begitu, ketiadaan cukai digital terhadap syarikat gergasi seperti Google, Amazon dan Meta boleh menyebabkan Malaysia kehilangan potensi hasil cukai bernilai berbilion ringgit setiap tahun. Oleh itu, kerajaan perlu menilai semula dasar fiskalnya agar negara tidak sekadar menjadi penerima pelaburan digital, tetapi turut memperoleh manfaat kewangan yang mampan.

Peruntukan yang paling mencetuskan perdebatan ialah Artikel 5.1 berkaitan dengan penyelarasan langkah sekatan perdagangan dan keselamatan ekonomi. Artikel ini menyebut bahawa sekiranya AS mengenakan sekatan terhadap sesebuah negara, Malaysia “akan mengambil atau mengekalkan langkah dengan kesan sekatan yang setara atau bersetuju dengan jangka masa yang diterima oleh kedua-dua pihak.” Sekilas pandang, frasa tersebut kelihatan mewajibkan Malaysia mengikuti langkah AS. Namun begitu, bahagian “bersetuju dengan jangka masa yang diterima oleh kedua-dua pihak” memberikan ruang diplomatik kepada Malaysia untuk menentukan bentuk dan tempoh pelaksanaan mengikut kepentingan nasional. Dari perspektif undang-undang antarabangsa, klausa ini lebih menyerupai mekanisme penyelarasan dasar bersama berasaskan rundingan dua hala berbanding dengan paksaan unilateral. Hal ini menunjukkan bahawa kedaulatan dasar Malaysia masih terpelihara dalam kerangka kerjasama strategik ini.

Walau bagaimanapun, cabaran terhadap dasar industri tempatan turut timbul melalui Artikel 6.2 yang menetapkan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu beroperasi atas pertimbangan komersial sepenuhnya tanpa subsidi yang boleh mengganggu pasaran. Walaupun langkah ini dapat meningkatkan ketelusan dan disiplin pasaran, langkah ini juga berpotensi mengehadkan peranan GLC sebagai pemangkin pembangunan nasional. Entiti seperti Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS), Tenaga Nasional dan Khazanah Nasional telah lama menjadi tulang belakang strategi pembangunan negara, justeru pelaksanaan klausa ini perlu diimbangi dengan dasar yang mampu mengekalkan keseimbangan antara liberalisasi pasaran dengan pembangunan domestik.

Dari perspektif geopolitik, perjanjian ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi AS untuk memperkukuh pengaruhnya di rantau Indo–Pasifik. Artikel 5.3(4) yang melarang Malaysia membeli reaktor atau bahan api nuklear daripada negara tertentu kecuali jika tiada alternatif lain menggambarkan usaha AS mengawal rantaian bekalan teknologi dan tenaga strategik di rantau ini. Walaupun langkah tersebut dikatakan bertujuan melindungi keselamatan serantau, hal ini turut menimbulkan persoalan sejauh manakah dasar luar Malaysia mampu kekal bebas dalam konteks hubungan dengan kuasa besar lain seperti China dan Rusia.

Secara keseluruhannya, Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia–AS membawa potensi ekonomi yang besar. Nilai perdagangan tahunan yang mencecah RM324.91 bilion dengan lebihan lebih RM108 bilion menunjukkan manfaat jangka masa panjang yang ketara dalam sektor pembuatan, digital dan pertanian. Peluang pelaburan strategik bernilai ratusan bilion ringgit pula berupaya memperkukuh daya saing Malaysia dalam ekonomi global. Namun begitu, manfaat ini datang bersama-sama tanggungjawab besar dalam memastikan kerjasama ekonomi tidak bertukar menjadi kebergantungan politik atau pengaruh unilateral.

Jika dilaksanakan dengan cermat dan strategik, perjanjian ini mampu menjadi instrumen penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi menengah yang berdaulat, progresif dan terbuka kepada dunia. Namun demikian, sekiranya diurus dengan cuai, perjanjian ini berisiko menjadikan Malaysia terlalu bergantung pada satu blok kuasa. Cabaran sebenar bagi kerajaan bukan sekadar mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, tetapi juga memastikan keseimbangan antara realpolitik global dengan idealisme kedaulatan nasional agar kemakmuran yang dikecapi tidak mengorbankan maruah, serta kebebasan negara.

Profesor Madya Dr. Zainizam Zakariya ialah Ketua Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris. 

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi