Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKetidaktentuan harga minyak mentah dunia kekal menjadi pemacu utama kepada kedinamikan makroekonomi global. Sebagai komoditi teras yang menggerakkan sektor perindustrian dan rantaian logistik, sebarang lonjakan harga bahan api akan memberikan impak rantaian dengan meningkatkan kos operasi sekali gus membantutkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Peningkatan kos akibat kenaikan harga minyak ini menambah beban pengeluaran dan perbelanjaan pengangkutan. Keadaan ini seterusnya mengurangkan pendapatan boleh guna (disposable income) masyarakat untuk dibelanjakan bagi barangan dan perkhidmatan lain. Hakikatnya, minyak kekal menjadi faktor input domestik yang kritikal dalam sektor pembuatan, pertanian dan pengangkutan.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebelum ini pernah memberikan amaran bahawa konflik geopolitik semasa boleh menyebabkan harga makanan dan tenaga melambung tinggi yang akhirnya memacu kadar inflasi global. Fenomena ini mencetuskan inflasi tolakan kos (cost-push inflation) kerana peningkatan kos pengangkutan dan pengeluaran terpaksa ditanggung oleh para pengguna melalui kenaikan harga barang akhir.
Gangguan terhadap laluan perdagangan utama dunia, khususnya di Selat Hormuz boleh mengurangkan bekalan minyak dan gas global secara mendadak. Selat Hormuz merupakan laluan sempit yang menjadi arteri utama pelayaran kapal tangki minyak ke rantau Asia Tenggara. Sebagai pintu keluar utama bagi gas asli cecair (LNG) dan petroleum dari Timur Tengah, selat ini memainkan peranan terbesar dalam pasaran tenaga global.
Sebagai contoh, sebahagian besar daripada komoditi petroleum dan gas asli cecair dari Timur Tengah diangkut melalui laluan ini dengan destinasi utama ke benua Asia. Kejatuhan mendadak dalam bekalan tenaga akan mencetuskan lonjakan harga runcit bahan api di pam minyak, meningkatkan kos pengapalan dan akhirnya membentuk tekanan inflasi yang parah.
Kekuatan ekonomi sesebuah negara mencerminkan nilai mata wang domestiknya yang secara langsung mempengaruhi daya saing dalam perdagangan dunia. Nilai mata wang yang lemah akan menyebabkan kos barangan import menjadi lebih mahal, sekali gus mendorong berlakunya inflasi import (imported inflation).
Apabila kadar inflasi meningkat secara global, bank pusat seperti Bank Negara Malaysia (BNM) biasanya akan bertindak balas dengan melaksanakan dasar kewangan menguncup melalui kenaikan kadar faedah. Walaupun tindakan ini boleh memperlahankan seketika pertumbuhan ekonomi, langkah tersebut amat diperlukan bagi mengawal kecairan pasaran dan mengekang kenaikan harga barangan daripada terus melonjak tanpa kawalan.
Langkah Intervensi Kerajaan dalam Menangani Krisis Tenaga
Kerajaan yang mendepani krisis kenaikan harga minyak sewajarnya melaksanakan gabungan strategi intervensi jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Langkah ini penting bagi memberikan sokongan kewangan bersasar kepada golongan rentan, di samping merangka pelan peralihan tenaga untuk membina daya tahan terhadap sebarang kejutan ekonomi pada masa hadapan.
Tindakan segera dan polisi jangka masa pendek adalah seperti yang berikut:
Antara reformasi struktur jangka masa panjang termasuklah:
Negara di Asia Tenggara merupakan antara wilayah yang paling terdedah kepada kesan langsung kejutan tenaga global ini. Walaupun terdapat segelintir negara di rantau ini yang bertindak sebagai pengeluar bahan api fosil domestik, sebahagian besarnya kekal sebagai negara pengimport bersih tenaga. Oleh itu, sebarang dasar intervensi dan pemberian subsidi oleh kerajaan haruslah bersifat sementara dan bersasar bagi menjamin kemampanan fiskal negara. Hal ini dikatakan demikian kerana skim subsidi yang bersifat berpanjangan dan tidak telus hanya akan membebankan unjuran belanjawan negara, sekali gus mengecilkan ruang fiskal untuk pembangunan masa hadapan.
Dalam mendepani krisis geopolitik mutakhir ini, beberapa buah negara di rantau Asia Tenggara telah mengambil langkah proaktif dan luar biasa bagi memelihara keutuhan ekonomi domestik masing-masing seperti yang berikut:
Dalam usaha mengekang tekanan inflasi tolakan kos (cost-push inflation) yang menjejaskan kuasa beli rakyat, kerajaan Filipina mengambil pendekatan perundangan yang agresif. Presiden Ferdinand Marcos Jr. secara rasmi telah menandatangani Akta Republik No. 12316.
Melalui penguatkuasaan akta baharu ini, badan eksekutif diberikan kuasa kecemasan khusus untuk menangguhkan atau mengurangkan kadar cukai eksais ke atas produk petroleum secara automatik apabila harga minyak mentah dunia melonjak dan mencecah paras USD80 setong. Langkah intervensi ini bertujuan untuk memberikan ruang bernafas kepada sektor pengangkutan dan pembuatan, sekali gus memastikan kestabilan harga barangan keperluan di pasaran tempatan.
Thailand pula mengambil pendekatan memperkukuh keselamatan tenaga nasional bagi mendepani risiko gangguan bekalan global. Berdasarkan data rasmi terkini yang dikeluarkan oleh Lembaga Dasar Tenaga Thailand (National Energy Policy Office – NEPO), jumlah simpanan petroleum domestik dan unjuran bekalan yang telah disahkan adalah berada pada tahap yang sangat kukuh, iaitu mencukupi untuk menampung keperluan negara selama 108 hingga 110 hari.
Bagi memastikan simpanan strategik ini kekal optimum sewaktu krisis, kerajaan Thailand turut mengambil langkah perlindungan dengan menguatkuasakan Arahan Perdana Menteri No. 3/2026. Arahan tersebut bertindak menghentikan sementara aktiviti eksport minyak ditapis dari kilang penapis tempatan ke pasaran luar, termasuk Singapura. Dasar ini bagi memastikan permintaan domestik diutamakan sepenuhnya dan rantaian ekonomi negara tidak lumpuh akibat kejutan bekalan luar jangka.
Kerajaan Vietnam memilih pendekatan gabungan antara kawalan kawal selia dan sokongan kecairan kewangan bagi menstabilkan pasaran tenaga tempatan. Perdana Menteri, Pham Minh Chinh telah menandatangani Keputusan No. 385/QD-TTg yang menggariskan pelan tindakan kecemasan bagi mendepani turun naik pasaran minyak.
Melalui pelan intervensi ini, kerajaan Vietnam memperuntukkan tambahan dana khas sebanyak VND 8 trilion (bersamaan sekitar USD 303.74 juta) di bawah Keputusan No. 483/QD-TTg. Dana ini disalurkan secara bersasar untuk menyokong syarikat pengimport minyak utama milik negara, mengekalkan formula harga siling runcit dan memastikan rantaian bekalan bahan api ke sektor industri pembuatan yang menjadi tunjang KDNK Vietnam tidak terputus.
Bagi Indonesia, lonjakan harga minyak dunia memberikan impak langsung yang signifikan terhadap struktur bajet negara (APBN). Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia mendedahkan bahawa sekitar 20 peratus hingga 25 peratus daripada keseluruhan import minyak mentah Indonesia adalah bergantung pada bekalan dari Arab Saudi.
Kebergantungan yang tinggi ini mendedahkan ekonomi Indonesia kepada risiko sensitiviti harga. Menurut analisis unjuran fiskal terbaharu, setiap kenaikan harga minyak sebanyak USD1 setong di pasaran global akan meningkatkan defisit fiskal negara tersebut sekitar USD 400 juta akibat lonjakan bebanan subsidi bahan api petrol awam. Situasi ini menuntut kerajaan Indonesia untuk mengimbangi antara pemberian perlindungan sosial kepada rakyat dengan usaha mengekalkan kemampanan fiskal jangka masa panjang negara.
Secara keseluruhannya, kedinamikan yang berlaku di negara jiran ini membuktikan bahawa harga minyak bukan sekadar isu sektor tenaga, sebaliknya merupakan pemboleh ubah makroekonomi yang kritikal. Kenaikan harga bahan api yang tidak terkawal akan mengecilkan pendapatan boleh guna isi rumah memandangkan sebahagian besar perbelanjaan terpaksa dialihkan untuk menampung kos pengangkutan dan tenaga yang meningkat.
Bagi negara net import minyak, situasi ini juga akan memburukkan imbangan dagangan akibat kos barangan import yang lebih mahal. Oleh itu, langkah intervensi seperti pembentukan akta kecemasan di Filipina, pengukuhan simpanan strategik 108 hari hingga 110 hari di Thailand, serta suntikan modal di Vietnam merupakan strategi yang amat perlu dicontohi dalam memelihara kedaulatan ekonomi wilayah daripada terus terkesan oleh polimik geopolitik dunia.