Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam ucaptama bertajuk Catalysing Asia’s Finance for People and Planet semasa Persidangan Global AVPN 2025 di Hong Kong pada 9 September hingga 11 September 2025 yang lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abdul Rasheed Ghaffour menekankan peranan penting Asia sebagai pusat pertumbuhan ekonomi dunia. Namun begitu, beliau turut menggariskan pelbagai cabaran mendesak yang perlu ditangani antaranya termasuklah jurang kesejahteraan sosial dan tekanan berterusan terhadap alam sekitar.
Menurut beliau, dunia kini memasuki suku pertama Abad Asia. Persoalan utama bukan lagi sama ada benua ini akan terus berkembang, tetapi cara pertumbuhan tersebut dapat dibentuk dalam konteks kemajmukan budaya dan ekonomi di seluruh negara Asia.
Data daripada Bank Dunia menunjukkan bahawa walaupun ratusan juta rakyat Asia telah beralih ke kelas pertengahan, sebahagian besar masih bergelut dalam pekerjaan tidak formal, termasuk di negara berpendapatan sederhana atas dan bawah tanpa perlindungan sosial mahupun akses kepada sistem kewangan yang stabil.
Pada masa sama, pertumbuhan ekonomi yang pesat ini menuntut harga yang tinggi daripada alam sekitar. Asia yang kini menjadi enjin utama ekonomi global turut mencatatkan pelepasan karbon tertinggi di dunia.
Kini, pusat graviti ekonomi dunia semakin jelas beralih ke Timur. Dalam tempoh kurang lima tahun, hal ini dijangka berpusat antara dua kuasa besar Asia, iaitu India dengan China dan peralihan ini mungkin berlaku lebih awal daripada jangkaan. Asia kini menyumbang lebih daripada 60 peratus kepada pertumbuhan global, manakala perdagangan intraAsia telah mengatasi jumlah perdagangan dengan negara-negara luar.
Faktor yang mendorong kekuatan ini termasuk lebihan modal jangka masa panjang daripada dana pencen, tabung kekayaan negara dan institusi kewangan Islam yang berkembang pesat, terutamanya di negara seperti Malaysia dan Indonesia. Menurut Abdul Rasheed, struktur kewangan ini memberikan kelebihan unik kepada Asia kerana menekankan perkongsian risiko jangka masa panjang berbanding dengan hanya mengejar keuntungan jangka pendek.
Dalam konteks lebih luas Asia, Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) muncul sebagai pemain utama. Dengan jumlah penduduk melebihi 670 juta orang dan umur penengah sekitar 30 tahun, rantau ini sedang membangun sebagai blok ekonomi yang sangat dinamik. Gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN kini bernilai lebih daripada USD3.9 trilion dan dijangka melonjak melebihi USD5 trilion menjelang tahun 2030. Hal ini menjadikannya ekonomi keempat terbesar dunia selepas Amerika Syarikat, China dan Jerman.
Abdul Rasheed menyifatkan pertumbuhan ASEAN bukan sahaja berskala besar tetapi juga berdaya tahan. Meskipun berhadapan dengan pelbagai krisis seperti krisis kewangan global, pandemik, serta ketidaktentuan geopolitik, rantau ini masih berjaya mengekalkan kadar pertumbuhan purata 4.8 peratus sepanjang dua dekad lalu. Hal ini menjadikan ASEAN antara destinasi utama pelaburan global yang mencari pasaran stabil dan berpotensi tinggi.
Dalam landskap yang semakin rancak ini, Malaysia dilihat berupaya menjadi safe launchpad bagi pelaburan dan inovasi serantau. Kelebihan seperti kestabilan makroekonomi, pasaran modal yang matang, serta sistem kewangan yang berkembang memberikan ruang untuk Malaysia memainkan peranan lebih besar. Antara inisiatif yang menonjol termasuklah projek ASEAN Power Grid yang berpotensi mempercepat peralihan tenaga bersih, terutamanya di negara yang penggunaan elektrik per kapita masih rendah.
Tiga Teras Strategik Menuju Pelaburan Mampan
Abdul Rasheed menggariskan tiga keutamaan utama untuk membolehkan Asia menerajui agenda pelaburan mampan, iaitu penyusunan semula risiko, produktiviti yang inklusif dan pembangunan ekosistem yang menyeluruh.
Pertama, dalam keadaan hutang awam global mencecah lebih daripada USD100 trilion, ruang fiskal negara semakin terhad. Maka, adalah penting untuk menggerakkan sektor swasta melalui mekanisme perkongsian risiko yang lebih berkesan. Di sinilah sistem kewangan Islam memainkan peranan penting dengan instrumen seperti sukuk berasaskan aset sebenar, zakat dan wakaf yang bersifat inklusif dan menyokong pembangunan jangka masa panjang.
Yang kedua, aspek produktiviti yang inklusif turut menjadi tumpuan. Inovasi digital telah membawa berjuta-juta orang ke dalam sistem kewangan formal dan program seperti iTEKAD di Malaysia membuktikan kejayaan pendekatan ini. Melalui gabungan dana zakat, geran dan latihan perniagaan, lebih daripada 9,000 usahawan mikro berjaya meningkatkan pendapatan, serta membuka peluang pekerjaan baharu. Abdul Rasheed melihat model seperti ini sebagai acuan yang boleh diperluas ke seluruh Asia.
Yang ketiga, pembangunan mampan tidak boleh dijalankan secara terpisah. Perkara ini memerlukan ekosistem menyeluruh yang melibatkan kerjasama antara kerajaan dengan sektor swasta, pelabur, pakar teknologi dan komuniti. Malaysia sendiri telah memulakan langkah ini dengan menubuhkan Climate Finance Innovation Lab dan melaksanakan inisiatif Greening Value Chain untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana mengurangkan jejak karbon.
Asia memiliki segala yang diperlukan untuk membina masa hadapan yang lestari merangkumi modal, teknologi, nilai budaya dan ketahanan sosial. Namun begitu, hala tuju masa hadapan bergantung pada kaedah rantau ini memilih untuk memanfaatkan kekuatan tersebut.
Asia mampu mencipta kemakmuran yang akan dikenang oleh generasi akan datang tanpa penyesalan. Tetapi hal ini hanya akan berlaku jika kita berani menyusun semula keutamaan, merangka strategi bersepadu dan bekerjasama melangkaui sempadan.