Diterbitkan pada 1 Januari 2026, 08:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Konflik sempadan antara Thailand dengan Kemboja kembali memuncak walaupun kedua-dua negara telah mencapai persetujuan menerusi Perjanjian Damai yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025.

Perjanjian tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), serta Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Sebelum itu, Thailand dan Kemboja turut bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat bermula tengah malam pada 28 Julai 2025, hasil Mesyuarat Khas Thailand–Kemboja yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Namun demikian, konflik sempadan yang kembali memuncak sejak 7 Disember 2025 mengorbankan sekurang-kurangnya 23 nyawa di Thailand dan 21 nyawa di Kemboja, selain menyebabkan lebih daripada 900,000 penduduk di kedua-dua negara terpaksa dipindahkan, menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa. Dalam tempoh yang sama, dilaporkan bahawa sejumlah besar pekerja buruh asing telah menyeberangi sempadan untuk pulang ke negara asal masing-masing sejak bulan Julai tahun lepas berikutan kebimbangan terhadap keselamatan diri.

Situasi ini memberikan kesan langsung terhadap sektor industri dan eksport Thailand yang sangat bergantung pada tenaga buruh asing, khususnya dari Myanmar, Laos dan Kemboja. Data rasmi menunjukkan bahawa kira-kira 1.2 juta warga Kemboja, 286,000 warga Laos dan sekitar 2.27 juta warga Myanmar bekerja dan menetap di Thailand. Kekurangan tenaga kerja akibat penghijrahan pulang ini menjejaskan produktiviti sektor perindustrian, sekali gus memberikan impak negatif terhadap prestasi eksport negara tersebut.

Eksport sektor industri Thailand didominasi oleh produk makanan dan negara tersebut dikenali sebagai peneraju global dalam pengeluaran makanan sehingga digelar sebagai “dapur dunia”. Selain makanan, eksport utama Thailand turut merangkumi produk elektrik, komponen automotif dan mesin dengan pasaran utama meliputi negara ASEAN, China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. Sektor perindustrian berorientasikan eksport ini merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi Thailand.

Gangguan di kawasan sempadan akibat konflik yang berlarutan turut memaksa syarikat terlibat mengalihkan laluan logistik melalui Laos, iaitu laluan alternatif yang lebih jauh dan mahal. Keadaan ini menyebabkan peningkatan kos operasi, serta gangguan rantaian bekalan, khususnya dari segi tempoh penghantaran barangan ke destinasi.

Peningkatan kos ini menekan daya saing eksport Thailand dalam pasaran antarabangsa. Sebagai contoh, pada separuh pertama tahun 2025, eksport tepung ubi kayu Thailand kehilangan sebahagian pasaran kepada Vietnam apabila harga produk Vietnam lebih rendah sehingga USD50 (RM1,600) satu tan.

Konflik yang semakin memuncak ini turut mendorong Thailand mempertimbangkan sekatan eksport bahan api ke Kemboja. Walaupun tiada arahan rasmi dikeluarkan setakat ini, Kementerian Tenaga Thailand memaklumkan bahawa eksport minyak ke Kemboja telah dihentikan sejak bulan Jun tahun lalu.

Perkembangan terkini turut menyatakan bahawa Thailand menghentikan penghantaran bahan api ke Laos melalui pintu sempadan susulan kebimbangan bahawa bekalan tersebut diselewengkan ke Kemboja berdasarkan maklumat risikan. Sekiranya sekatan ini berterusan, Kemboja terpaksa mendapatkan sumber bahan api alternatif dari negara lain pada kos yang lebih tinggi. Sebagai rekod, pada tahun 2024 sahaja, Thailand mengeksport lebih daripada 2.2 bilion liter bahan api ke Kemboja.

Selain itu, konflik ini menyebabkan Thailand menutup kesemua 17 lintasan sempadan di tujuh wilayah dan menggantung pergerakan rentas sempadan sepanjang 817 kilometer yang dikongsi dengan Kemboja, melibatkan pergerakan orang ramai, kenderaan dan perdagangan. Penutupan tersebut menjejaskan aktiviti dagangan aktif antara kedua-dua negara dengan kesannya lebih dirasai oleh rakyat Kemboja. Rekod menunjukkan bahawa nilai perdagangan sempadan Thailand–Kemboja mencecah kira-kira RM10.55 bilion pada suku pertama 2025, mencerminkan kepentingan hubungan perdagangan ini kepada kedua-dua negara.

Bagi Kemboja pula, sektor pelancongan antarabangsa mengalami kemerosotan ketara akibat konflik berkenaan. Penurunan mendadak ketibaan pelancong antarabangsa memberikan kesan besar kepada ekonomi negara tersebut memandangkan sektor pelancongan merupakan antara pemacu utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kemboja. Negara itu amat bergantung pada aliran pelancongan serantau, khususnya dari Thailand dan negara jiran lain.

Kejatuhan bilangan pelawat menjejaskan peluang pekerjaan, serta sektor berkaitan dengannya seperti perhotelan, pengangkutan dan peruncitan. Akibatnya, banyak perniagaan berdepan tekanan kewangan dengan sebahagiannya terpaksa mengurangkan kos operasi atau memberhentikan pekerja, sekali gus memburukkan lagi cabaran ekonomi sedia ada.

Kos bantuan ekonomi turut menjadi implikasi besar akibat konflik sempadan ini. Kerajaan kedua-dua negara terpaksa menyediakan pakej bantuan bagi membantu komuniti dan perniagaan yang terjejas di kawasan konflik. Thailand, misalnya, memperuntukkan lebih daripada 201 juta baht (RM26 juta) dalam bentuk bantuan kecemasan kepada mangsa konflik yang melibatkan lebih daripada 260,000 isi rumah di tujuh wilayah sejak pertempuran tercetus pada Julai tahun lalu. Bantuan ini merupakan sebahagian daripada usaha pemulihan ekonomi dan sosial, termasuk sokongan kewangan kepada isi rumah dan pengusaha perniagaan bagi mengekalkan kelangsungan hidup, serta peluang pekerjaan.

Walaupun laporan terkini memaklumkan bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju pada 27 Disember 2025 untuk menghentikan konflik sempadan ini, ketidakpastian masa hadapan masih wujud. Hal ini berikutan sejarah gencatan senjata sebelum ini yang pernah dimungkiri. Ketegangan antara kedua-dua negara sering diibaratkan sebagai bara yang tidak pernah padam. Konflik ini bukan tercetus secara tiba-tiba, sebaliknya berpunca daripada sejarah panjang pertikaian, perjanjian kolonial yang kabur, serta perebutan kawasan strategik yang berkait rapat dengan warisan budaya dan identiti nasional.

Keadaan ini menyebabkan tahap kepercayaan antara Thailand dengan Kemboja berada pada paras yang rendah. Oleh itu, konflik sempadan ini semakin sukar ditangani kerana bukan sahaja melibatkan tuntutan wilayah, malah berkait rapat dengan sentimen nasionalisme, kepentingan strategik dan warisan sejarah yang mendalam.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi