Diterbitkan pada 5 November 2025, 11:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Timor–Leste yang sebelum ini dikenali sebagai East Timor ialah sebuah negara kecil yang terletak di bahagian timur Pulau Timor. Negara ini berada di bawah pengaruh kolonial Portugis sejak abad ke-17 dengan bandar Dili diisytiharkan sebagai ibu kota pada tahun 1769.

Timor–Leste mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Portugis pada 28 November 1975. Namun demikian, negara ini kemudiannya dikuasai oleh Indonesia sehingga referendum kemerdekaan diadakan pada tahun 1999. Pada 20 Mei 2002, Timor–Leste akhirnya mencapai kemerdekaan dan menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Walaupun telah merdeka, Timor–Leste menghadapi pelbagai cabaran besar, terutamanya dari aspek ekonomi, infrastruktur yang terhad, serta ketergantungan yang tinggi pada sektor minyak dan gas. Sistem demokrasi politik dan tadbir urus negara juga masih dalam proses penambahbaikan. Cabaran ini mendorong Timor–Leste untuk menyertai Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam usaha untuk menjalin hubungan diplomatik dan ekonomi yang lebih erat dengan negara di rantau ini.

Sejak tahun 2011, Timor–Leste telah memohon untuk menyertai ASEAN dan pada tahun 2022 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-41, ASEAN bersetuju secara prinsip untuk menerima Timor–Leste sebagai negara anggota ke-11 tertakluk pada pematuhan kriteria dalam Hala Tuju Keanggotaan Penuh. Timor–Leste secara rasmi menyertai ASEAN semasa majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Impak Politik, Ekonomi dan Sosial

Penyertaan Timor–Leste dalam ASEAN bukan hanya simbolik, tetapi turut membawa banyak rasional yang kukuh dari segi politik, ekonomi dan sosial. Satu daripada faktor utama ialah keperluan negara ini untuk mengakses pasaran dagangan yang lebih luas sebagai langkah awal dalam memperkukuh ekonomi. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Timor–Leste hanya sekitar USD2 bilion dan lebih daripada 40 peratus rakyatnya hidup di bawah paras kemiskinan.

Dengan menyertai ASEAN, negara ini akan mempunyai akses automatik dalam pasaran yang lebih besar seterusnya memberikan peluang untuk perdagangan bebas dan pelaburan pasaran serantau yang dianggarkan bernilai USD3.8 trilion. Hal ini akan membuka peluang baharu dalam sektor penting seperti pelancongan, pertanian dan kemudahan digital.

Sebagai anggota ASEAN, Timor–Leste berpeluang untuk memanfaatkan perjanjian perdagangan serantau seperti Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). AFTA sebagai kawasan perdagangan bebas bertujuan menghapuskan halangan perdagangan antara negara anggota ASEAN, sementara RCEP ialah perjanjian perdagangan terbesar di dunia yang melibatkan negara ASEAN dan rakan dagang utama seperti China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand. Melalui kedua-dua platform ini, Timor–Leste dapat meningkatkan daya saing dan mencapai skala ekonomi yang lebih besar.

Selain itu, penyertaan Timor–Leste dalam ASEAN memberikan peluang kepada Timor–Leste untuk menjalin kerjasama dalam sektor seperti pendidikan dan teknologi. Keanggotaan dalam ASEAN membuka ruang untuk memanfaatkan pelbagai program latihan teknikal, pembangunan sumber manusia dan perpindahan ilmu. Mobiliti pelajar dan pertukaran budaya antara negara Asia akan menjadi lebih mudah, selain peluang untuk terlibat dalam dialog keselamatan, kerjasama maritim dan operasi rentas sempadan.

Pemerkasaan Ekonomi dan Perdagangan

Apabila Timor–Leste menjadi anggota ASEAN, sektor perdagangan negara ini berpotensi berkembang melalui perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dapat mengeksport barangan ke negara jiran. Penurunan tarif dan pengurangan halangan perdagangan melalui AFTA dan RCEP akan mengurangkan kos import barangan asas dan bahan binaan yang merupakan kelebihan bagi negara yang banyak bergantung pada import. Penyertaan dalam ASEAN juga akan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI), memacu perkembangan kapasiti pengeluaran tempatan, meningkatkan kualiti import dan mempercepat pembinaan infrastruktur ekonomi yang diperlukan.

Keanggotaan ASEAN juga akan membolehkan Timor–Leste memanfaatkan lebih banyak peluang dalam sektor pelancongan, perkhidmatan, pertanian dan teknologi. Dalam konteks ini, negara ini dapat memperoleh input berkualiti tinggi, terutamanya dalam bahan binaan dan produk teknologi dengan tarif yang lebih rendah hasil daripada integrasi perdagangan serantau.

Implikasi Ekonomi untuk Malaysia

Penyertaan Timor–Leste dalam ASEAN memberikan Malaysia peluang untuk mengakses pasaran baharu yang lebih terbuka, khususnya dalam sektor pertanian, pelancongan, pembinaan dan industri halal. Malaysia telah bekerjasama dengan Timor–Leste dalam industri halal, serta meningkatkan hubungan penerbangan langsung dari Kuala Lumpur ke Dili. Hal ini membuka peluang bagi syarikat Malaysia untuk mengeksport barangan pengguna, teknologi dan perkhidmatan profesional ke Timor–Leste yang kini lebih terbuka sebagai anggota ASEAN.

Malaysia juga menyokong proses kemasukan Timor–Leste ke ASEAN dan memainkan peranan aktif dalam membantu negara ini memenuhi syarat keanggotaan. Hal ini meningkatkan imej Malaysia sebagai negara yang memainkan peranan kepimpinan dalam ASEAN dan memperkukuh kedudukannya dalam diplomasi serantau. Dengan pengukuhan hubungan ini, Malaysia berpeluang untuk memperluas rangkaian strategik di Asia Tenggara, terutamanya di Laut Banda dan Laut Timor yang akan memberikan manfaat geopolitik dan memperkuat hubungan maritim di rantau ini.

Ternyata, keanggotaan Timor–Leste dalam ASEAN ialah langkah strategik yang mempunyai potensi besar untuk pembangunan ekonomi, sosial dan politik negara tersebut. Penyertaan ini membuka pintu kepada peluang perdagangan, pelaburan dan kerjasama serantau yang lebih kukuh. Walaupun Timor–Leste masih menghadapi cabaran dalam aspek pembangunan, negara ini berada pada tahap yang penting untuk mengintegrasikan diri dalam komuniti ASEAN yang lebih luas.

Bagi Malaysia, penyertaan Timor–Leste dalam ASEAN dilihat sebagai peluang positif dalam memperluas hubungan perdagangan, pelaburan dan diplomasi. Hal ini memberikan peluang untuk membina kerjasama yang lebih erat dalam sektor tertentu, serta meningkatkan imej Malaysia sebagai peneraju dalam membentuk integrasi serantau yang stabil dan inklusif. Dengan kerjasama yang lebih erat dan perancangan ekonomi yang baik, Malaysia dan Timor–Leste dapat menikmati manfaat yang besar, sekali gus memperkukuh kedudukan dalam konteks serantau dan global.

 

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi