Diterbitkan pada 13 Oktober 2025, 08:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sering diangkat sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia. Dengan sumbangan hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan lebih dua pertiga daripada jumlah pekerjaan di negara ini, tidak dapat dinafikan bahawa PKS memainkan peranan penting dalam membentuk struktur ekonomi nasional. Namun begitu, persoalan yang perlu diteliti ialah sejauh manakah naratif pertumbuhan ekonomi yang positif benar-benar mencerminkan realiti yang dihadapi oleh sektor PKS?

Menurut laporan Bank Negara Malaysia, Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.4 peratus bagi suku kedua tahun 2025. Lonjakan ini disokong oleh beberapa pemacu utama antaranya termasuklah peningkatan permintaan domestik, pemulihan sektor pelancongan, pertumbuhan eksport barangan elektrik dan elektronik, serta pelaburan aktif oleh sektor awam dan swasta. Namun begitu, realiti di lapangan khususnya dalam kalangan PKS, tidak sepenuhnya selari dengan unjuran makroekonomi yang memberangsangkan ini.

Bagi kebanyakan pengusaha PKS, cabaran utama yang membelenggu mereka ialah peningkatan mendadak dalam kos operasi. Kenaikan harga utiliti, bahan mentah dan logistik telah menghakis margin keuntungan yang sedia tipis. Dalam sektor makanan dan minuman misalnya, pengusaha kini berdepan dengan dilema yang sukar, sama ada menaikkan harga produk dengan risiko kehilangan pelanggan atau mengekalkan harga sedia ada tetapi menanggung kerugian. Kelemahan nilai ringgit dan ketidaktentuan rantaian bekalan global hanya memburukkan keadaan.

Tambahan pula, kekangan modal dan akses kepada pembiayaan terus menjadi duri dalam daging bagi kelangsungan PKS. Masih banyak pengusaha bergantung pada pinjaman jangka masa pendek atau modal pusingan yang kecil. Proses permohonan pembiayaan yang ketat dan dokumentasi yang rumit sering kali menjadi halangan, terutamanya bagi perniagaan mikro dan informal. Situasi ini diburukkan lagi dengan kelewatan pembayaran daripada pelanggan korporat yang memberikan kesan langsung terhadap aliran tunai dan kelangsungan operasi harian mereka.

Isu keterbatasan dalam penggunaan teknologi moden turut menjadi faktor penghalang kepada daya saing PKS. Dalam era digital yang serba pantas, masih banyak pengusaha kecil tidak mampu melabur dalam sistem automasi, pemasaran digital atau infrastruktur e-dagang yang efisien. Sedangkan pada masa sama, mereka terpaksa bersaing dengan syarikat besar yang memiliki keupayaan untuk menawarkan harga lebih rendah, promosi berskala besar dan sistem penghantaran yang pantas.

Dalam landskap yang semakin mencabar ini, peranan kerajaan menjadi amat kritikal. Lebih daripada 90 peratus daripada jumlah keseluruhan pertubuhan perniagaan di Malaysia terdiri daripada PKS. Maka, adalah penting untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi diagihkan secara menyeluruh dan saksama, bukan hanya dirasai oleh syarikat gergasi atau pemain industri utama.

Penyelesaian yang tuntas memerlukan pendekatan dasar yang lebih bersasar dan inklusif. Antara langkah yang perlu diberi perhatian termasuklah memperkukuh skim jaminan kredit dan pembiayaan mikro, menyediakan insentif khusus bagi sektor kritikal seperti pembuatan, makanan dan teknologi, serta memperluas akses kepada pasaran digital melalui platform e-dagang tempatan yang lebih adil dan telus. Pendidikan keusahawanan dan pengurusan kewangan juga harus diperhebat untuk melengkapkan pengusaha dengan kemahiran dan strategi yang diperlukan dalam dunia perniagaan yang semakin kompleks.

Ternyata, kejayaan ekonomi sesebuah negara tidak boleh hanya diukur melalui angka pertumbuhan KDNK semata-mata. Perkara ini harus dilihat melalui lensa inklusiviti, iaitu sejauh mana manfaat pertumbuhan itu dapat dinikmati oleh seluruh ekosistem ekonomi termasuk golongan PKS yang menjadi pemacu penting pembangunan sosioekonomi negara. Oleh itu, dasar yang menyokong penyertaan menyeluruh dan pembangunan lestari PKS perlu terus diperkukuh agar tiada kelompok yang terpinggir dalam mengejar aspirasi Malaysia sebagai sebuah ekonomi maju dan mampan.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi