Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHari Malaysia merupakan detik istimewa untuk kita sebagai rakyat menghargai pembentukan negara dan menzahirkan kecintaan terhadap tanah air. Satu daripada cara paling bermakna untuk menunjukkan rasa cinta tersebut termasuklah menyemai patriotisme melalui sokongan terhadap barangan tempatan.
Setiap pembelian produk tempatan bukan sekadar memenuhi keperluan harian, malah turut membantu memperkukuh ekonomi negara melalui perbelanjaan domestik. Oleh itu, sudah tiba masanya kita mengubah tabiat membeli dengan mengutamakan produk buatan Malaysia yang setanding dengan jenama antarabangsa dari segi kualiti dan inovasi. Rakyat negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan menjadi contoh terbaik apabila mereka berdiri teguh menyokong produk buatan negara sendiri hingga berjaya menembusi pasaran global.
Kempen Beli Barangan Malaysia
Kempen Beli Barangan Malaysia dilancarkan sejak tahun 1998 dan diperkukuh semula pada tahun 2010. Kempen ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotisme dengan memupuk sokongan terhadap produk tempatan. Kempen Beli Barangan Malaysia bukan sekadar kempen bermusim, sebaliknya harus menjadi gaya hidup rakyat Malaysia yang cinta akan negara.
Setiap sokongan terhadap barangan tempatan menjadikan kita agen perubahan dalam memperluas pasaran produk Malaysia pada peringkat antarabangsa, terutamanya dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu.
Sumbangan Asas Rahmah
Melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara sekali beri menerusi MyKad mulai 31 Ogos hingga 31 Disember 2025, rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas boleh membeli barangan keperluan asas tempatan. Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan, tetapi juga menjadi alat rangsangan ekonomi domestik.
Dengan suntikan lebih daripada RM2 bilion dalam pasaran, peningkatan permintaan terhadap produk tempatan dijangka memberikan kesan berganda seterusnya membantu pengusaha tempatan terus berdaya saing dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Jenama Tempatan, Kualiti Bertaraf Dunia
Hari ini, banyak jenama tempatan telah berjaya membuktikan kemampuan mereka setanding dengan jenama antarabangsa. Jika dahulu produk tempatan mungkin dipandang rendah, namun kini jenama seperti Lewre, BONIA, ZUS Coffee, The Manhattan Fish Market, BOH, PADINI, Vochelle, Appeton, OGAWA dan Good Virtues Co. telah menembusi pasaran luar negara dan diiktiraf atas mutu serta inovasinya.
Ada antara jenama ini sering disangka sebagai produk luar negara kerana penampilan dan kualitinya yang begitu tinggi. Kita seharusnya berbangga dan terus menyokong produk buatan anak tempatan yang telah membuktikan kejayaan mereka pada peringkat global.
Logo Barangan Malaysia
Logo Barangan Malaysia merupakan penanda aras penting yang membantu pengguna mengenal pasti produk tempatan. Tiga logo utama, iaitu “Produk Malaysia”, “Buatan Malaysia” dan “Rekaan Malaysia” bukan sekadar simbol, tetapi jaminan bahawa produk tersebut telah melalui proses penilaian yang teliti.
Logo ini memberikan nilai tambah kepada jenama tempatan dan meyakinkan pengguna akan kualiti serta keselamatan produk. Logo ini juga berfungsi mengubah persepsi negatif terhadap barangan tempatan dan menggalakkan lebih banyak rakyat membuat pilihan yang menyokong ekonomi negara.
Program Jualan RAHMAH MADANI
Faktor harga sering menjadi pertimbangan utama dalam pembelian. Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) mengambil inisiatif ini dengan menawarkan barangan keperluan pada harga subsidi, iaitu 10 peratus hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
Melalui PJRM, pengguna dapat membeli barangan tempatan berkualiti dengan harga berpatutan, manakala pengusaha tempatan terus menerima sokongan melalui peningkatan jualan. Hubungan dua hala ini mewujudkan situasi menang-menang demi kesejahteraan bersama.
Sokongan terhadap produk tempatan memberikan impak langsung kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), iaitu sektor yang menjadi tulang belakang ekonomi negara. Peningkatan jualan membantu memperkukuh aliran tunai PMKS, memperluas perniagaan dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
Sebagai contoh, jenama tempatan dalam industri makanan dan minuman seperti Chatime, Tealive, Mokti, Richiamo dan Marrybrown telah berjaya membina empayar perniagaan hasil sokongan rakyat. Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan dorongan tempatan, produk kita mampu menguasai pasaran, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pengurangan kadar pengangguran.
Patriotisme bukan hanya diluahkan pada Hari Malaysia tetapi juga dizahirkan melalui tindakan harian seperti memilih dan menyokong produk tempatan. Sempena Hari Malaysia ini, marilah kita bersama-sama menghayati semangat cinta akan negara dengan mengutamakan barangan buatan Malaysia.
Tindakan ini bukan sahaja memperkukuh aspirasi Malaysia MADANI berasaskan nilai kebersamaan dan kesejahteraan, malah menyumbang kepada ketahanan ekonomi negara dalam jangka panjang. Inilah masanya untuk membuktikan bahawa cinta terhadap tanah air bukan sekadar kata-kata, tetapi diterjemahkan melalui tindakan yang memberikan impak besar kepada negara.
Selamat Hari Malaysia!