Diterbitkan pada 9 Ogos 2025, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kenaikan kos sara hidup yang semakin membebani rakyat Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini bukan lagi satu isu yang asing. Harga barangan keperluan harian terus meningkat akibat pelbagai faktor global dan domestik sekali gus memberikan kesan ketara kepada isi rumah, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Dalam menghadapi situasi mencabar ini, kerajaan tampil proaktif dengan memperkenalkan pelbagai pendekatan mesra rakyat. Satu daripada inisiatif yang mendapat sambutan hangat ialah Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 11 Januari 2023.

PJRM merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Payung RAHMAH yang bertujuan menyediakan akses kepada barangan keperluan harian pada harga mampu milik, khususnya kepada golongan B40. Program ini diwujudkan bagi meringankan beban rakyat dalam menghadapi tekanan kos sara hidup melalui penawaran harga yang lebih rendah bagi barangan asas seperti beras, minyak masak, gula, ayam, telur, sayur-sayuran, makanan segera, barangan kebersihan diri dan keperluan rumah. Selain itu, PJRM turut menyediakan barangan khusus seperti alat tulis dan beg sekolah menjelang musim persekolahan, malah turut menjual lampin pakai buang dan ubat-ubatan asas yang menjadi keperluan harian rakyat.

Pelaksanaan PJRM merangkumi semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara, termasuk lebih daripada 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 40 zon khas di Wilayah Persekutuan. Program ini direka agar bersifat inklusif bagi memastikan manfaatnya sampai ke semua pelosok negara sama ada di bandar mahupun kawasan pedalaman. Yang menjadikan PJRM unik adalah pendekatan pelaksanaannya yang terbahagi kepada tiga model utama. Model dalam premis dijalankan melalui kerjasama dengan pasar raya besar, pasar mini dan kedai serbaneka, iaitu barangan keperluan dijual di bawah label khas “Jualan RAHMAH MADANI” dan ditandai dengan logo rasmi untuk memudahkan pengguna mengenal pasti produk yang ditawarkan pada harga diskaun.

Selain itu, terdapat model luar premis yang dilaksanakan di kawasan terbuka seperti pasar tani dan tapak komuniti biasanya ketika musim perayaan atau waktu tertentu. Walaupun bukan yang utama, model ini tetap memainkan peranan penting dalam melengkapi pendekatan program secara keseluruhan. Namun begitu, model yang paling inovatif dan mendapat perhatian ialah model bergerak, iaitu pelaksanaan PJRM melalui lori, van atau trak yang membawa barangan keperluan terus ke kawasan luar bandar yang sukar diakses oleh pasar raya. Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos pengguna, malah turut membantu mengurangkan jurang harga antara kawasan bandar dengan luar bandar.

Untuk menambah nilai dan keberkesanan program, PJRM turut diperluas dalam bentuk pelaksanaan bertema. Pendekatan bertema ini diperkenalkan agar jualan yang dianjurkan lebih responsif terhadap keperluan rakyat mengikut musim dan waktu tertentu. Sebagai contoh, PJRM@Pasar memberikan tumpuan kepada pasar basah dan pasar tani dengan penawaran barangan segar seperti ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan. Melalui program ini, peniaga tempatan juga mendapat manfaat apabila hasil pertanian mereka dibawa masuk ke dalam ekosistem RAHMAH, sekali gus menggalakkan pembangunan ekonomi setempat.

Selain itu, PJRM@Kampus pula disasarkan kepada golongan pelajar universiti awam yang sering menghadapi kekangan kewangan. Program ini menawarkan keperluan asas pelajar seperti makanan segera, barangan dapur, kebersihan diri serta alat tulis dengan kerjasama pihak pentadbiran universiti. Pendekatan ini terbukti membantu meringankan beban pelajar, khususnya yang tinggal di kampus atau jauh dari keluarga. Begitu juga dengan PJRM “Kembali ke Sekolah” yang dianjurkan menjelang permulaan sesi persekolahan, menawarkan diskaun untuk pakaian seragam, kasut, alat tulis dan bekalan makanan anak-anak. Semuanya bertujuan memudahkan ibu bapa membuat persiapan persekolahan dengan lebih menjimatkan.

Ketika musim perayaan pula, PJRM turut hadir dengan jualan khas sempena Ramadan dan Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina dan Krismas. Barangan perayaan seperti pakaian, perhiasan rumah, makanan tradisional serta bahan masakan ditawarkan pada harga lebih rendah mengikut keperluan budaya masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Pendekatan ini bukan sahaja meringankan beban pengguna semasa musim perayaan, tetapi juga memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan antara kaum.

Kelebihan besar PJRM ialah keupayaannya memberikan penjimatan nyata kepada pengguna. Diskaun antara 10 hingga 30 peratus mampu menghasilkan penjimatan bulanan yang signifikan. Sebagai contoh, bagi keluarga yang membelanjakan sekitar RM500 sebulan untuk barangan asas, mereka boleh menjimatkan sehingga RM150 melalui pembelian di bawah program ini. Bagi golongan berpendapatan rendah, jumlah ini cukup bermakna kerana boleh digunakan untuk keperluan lain seperti pendidikan anak-anak atau simpanan.

Selain memberikan penjimatan, PJRM turut membantu meningkatkan akses rakyat kepada barangan asas, terutama di kawasan pedalaman yang sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada peruncit tempatan atau orang tengah yang mungkin mengenakan harga lebih tinggi. Melalui model bergerak, barangan keperluan dihantar terus ke kawasan sasaran, mengurangkan kebergantungan kepada perantara dan memastikan harga yang lebih adil untuk pengguna.

Kesan lain yang tidak kurang penting ialah kestabilan harga pasaran. Penyertaan aktif pasar raya dan peniaga dalam program ini mencipta persaingan sihat, memaksa peniaga lain menurunkan harga untuk kekal relevan. Situasi ini membantu mengawal lonjakan harga secara tidak langsung, lantas memberi manfaat menyeluruh kepada pengguna.

Program ini juga menunjukkan komitmen dan keprihatinan kerajaan dalam menangani isu ekonomi rakyat secara menyeluruh dan strategik. PJRM bukan sahaja dilihat sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, tetapi turut membawa kesan jangka sederhana dan panjang, melalui kerjasama rentas agensi dan sektor swasta. Kejayaan pelaksanaannya turut menjadi bukti bahawa tindakan berasaskan data, keperluan setempat dan pendekatan inklusif adalah kunci kepada dasar bantuan yang berkesan.

Secara keseluruhan, Program Jualan RAHMAH MADANI merupakan satu inisiatif berwawasan yang memberikan impak besar kepada kesejahteraan rakyat. Program ini bukan sekadar program jualan murah, tetapi cerminan sebuah kerajaan yang memahami denyut nadi rakyat dan bertindak berdasarkan realiti semasa. Dengan pelaksanaan yang sistematik dan penambahbaikan berterusan, PJRM berpotensi menjadi model kebajikan ekonomi yang unggul dan mampan.

Sebagai pengguna, sokongan masyarakat amat penting untuk memastikan kelestarian program ini. Menghadiri jualan, menyebarkan maklumat, memberi maklum balas dan menyokong kerjasama komuniti akan menjadikan PJRM lebih berkesan. Dalam membina sebuah negara MADANI yang sejahtera dan inklusif, inisiatif seperti PJRM menjadi bukti bahawa kepedulian bukan hanya wacana bahkan diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang nyata dan menyentuh kehidupan harian rakyat.

 

Kredit Foto: Laman Sesawang KPDN
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi